nuffnang

28 Dec 2011

Muntah Di Kalangan Kanak-kanak

Muntah boleh dikaitkan dengan pelbagai gangguan, baik remeh mahupun serius. Anda perlu tahu mengapa si manja muntah supaya tahu bila untuk membawanya berjumpa doktor.

Oleh Profesor Dr Christopher Boey Chiong Meng, Profesor Pediatrik dan Pakar Perunding Gastroenterologi Pediatrik.

Apabila anak anda muntah, kandungan perutnya dipaksa naik ke esofagus dan keluar melalui mulut. Muntah bukan penyakit, tetapi suatu gejala. Ada kalanya ia adalah tanda gangguan atau penyakit tersembunyi.

Anak-anak kecil biasanya akan muntah beberapa kali pada tahun awal usianya kerana muntah adalah tanda penyakit yang biasa dialami oleh kanak-kanak seperti gastroenteritis (disebabkan oleh virus, bakteria atau jangkitan parasit dalam saluran gastrousus), jangkitan bahagian atas saluran pernafasan dan keracunan makanan.

Dalam sesetengah kes, muntah boleh menjadi petanda keadaan seperti saluran penghadaman tersumbat, jangkitan saluran kencing, gangguan pada mekanisme imbangan dalam telinga, hepatitis (radang hati) dan pankreatitis (radang pankreas). Tekanan meningkat dalam otak yang boleh disebabkan oleh kecederaan kepala, pendarahan otak, tumor otak dan jangkitan pada otak seperti meningitis, turut boleh menyebabkan muntah. Si manja memerlukan perhatian serius jika muntah secara berterusan.

Bila perlu Berjumpa Doktor

• Muntah secara berterusan.
• Muntahkan cecair warna hijau kekuningan (hempedu).
• Muntahkan darah (warna merah terang atau coklat).
• Demam atau sakit kepala yang berterusan.
• Meragam atau mengantuk.
• Enggan makan dan tidak boleh menelan cecair.
• Menunjukkan tanda penyahhidrat (badan kekurangan air).
• Mengalami sakit perut yang teruk.
• Mula muntah semula sebaiknya menyambung makanan biasa.

• Jangkitan

Pelbagai virus (seperti rotavirus), bakteria (seperti Escherichia coli dan Salmonella) dan parasit menyebabkan cirit-birit. Kebanyakan kuman ini dijangkiti menerusi sentuhan dengan permukaan yang tercemar, pengambilan air yang tidak dirawat atau tercemar dan susu yang tidak dipasteur, serta pengambilan makanan yang tercemar atau tidak dimasak dengan betul. Ciritbirit juga disebabkan oleh kolera yang disebabkan oleh bakteria Vibro cholerae.

• Intolerans makanan

Ini berlaku apabila si manja menunjukkan tindak balas terhadap ramuan makanan tertentu. Cirit-birit biasanya adalah simptom intolerans makanan (gejala pada gastrousus akibat tidak tahan kepada makanan tertentu) yang paling lazim dialami oleh kanak-kanak, sungguhpun ia boleh disertakan dengan gejala lain seperti muntah, ruam kulit dan berdehit. Susu lembu, putih telur dan gandum adalah antara contoh makanan yang boleh menyebabkan intolerans makanan.

• Sindrom Usus Terganggu

Sindrom usus terganggu atau irritable bowel syndrome (IBS) adalah gangguan usus yang dikaitkan dengan cirit-birit, sakit perut, sembelit atau kombinasi gejala ini. Jika si manja mengalami IBS, ususnya mungkin terlalu sensitif kepada makanan dan tekanan.

Elakkan Nyahhidrat!

Kanak-kanak yang ciri-birit lebih mudah mengalami nyahhidrat atau kekurangan air dalam badan. Jika dibiarkan, keadaan ini boleh mengancam nyawa. Paling penting, pastikan si manja diberi minum air sebanyak mungkin. Disebabkan kekerapan membuang air besar cair, si manja kehilangan banyak air dan garam. Keadaan ini boleh mengancam nyawa, terutama sekali di kalangan kanak-kanak kecil.


Si manja anda mungkin mengalami nyahhidrat jika menunjukkan mana-mana gejala berikut:

  • Matanya cengkung.
  • Jika bayi, ubun-ubunnya lekuk.
  • Kulit kering, berkedut.
  • Sedikit atau tiada air mata
  • bila menangis.
  • Kurang air kencing.
  • Lesu dan meragam.
  • Letih dan pening.

Untuk mengelakkan nyahhidrat, cuba ambil langkah berikut:

  • Beri si manja minum banyak air, sedikit demi sedikit tetapi lebih kerap.
  • Beri si manja Oral Rehydration Salts (ORS) untuk menggantikan bendalir dengan segera.
  • Beri diet biasa jika si manja tidak muntah.
  • Elakkan pemberian makanan yang berminyak, digoreng atau berempah, selama beberapa hari.

Jika si manja masih terlalu kecil dan menjadi nyahhidrat, bawa dia berjumpa doktor.

Petua Mencegah Cirit-birit:

  • Jaga kebersihan. Pastikan anda dan juga si manja membasuh tangan dengan betul dan kerap, lebih-lebih lagi selepas menggunakan tandas dan sebelum menyediakan makanan, dan sebelum makan.
  • Pastikan anda memberi si manja makanan yang dimasak dengan betul dan dihidangkan terus selepas dimasak atau dipanaskan semula. Basuh buah-buahan dan sayuran mentah yang hendak diberikan kepada si manja.
  • Lebih berhati-hati apabila membeli makanan daripada penjaja.
  • Didik anak anda supaya tidak minum air terus daripada paip.

INGATAN: Apabila anak-anak kecil cirit-birit, anda tidak disyorkan memberi ubat-ubatan untuk cirit-birit atau muntah. Bawa si manja berjumpa doktor.


JANGAN Tunggu Lebih Lama!

Bawa si manja anda berjumpa doktor dengan secepat mungkin jika dia mengalami gejala berikut:

  • Bukan sahaja cirit-birit, tetapi juga muntah atau sakit perut teruk.
  • Najisnya berdarah.
  • Demam.
  • Cirit-birit tidak reda dalam masa 24 jam.
  • Air kencing terlalu sedikit.
  • Tidak seperti biasa, kurang responsif.

Muntah Di Kalangan Kanak-kanak

Muntah boleh dikaitkan dengan pelbagai gangguan, baik remeh mahupun serius. Anda perlu tahu mengapa si manja muntah supaya tahu bila untuk membawanya berjumpa doktor.

Oleh Profesor Dr Christopher Boey Chiong Meng, Profesor Pediatrik dan Pakar Perunding Gastroenterologi Pediatrik.

Apabila anak anda muntah, kandungan perutnya dipaksa naik ke esofagus dan keluar melalui mulut. Muntah bukan penyakit, tetapi suatu gejala. Ada kalanya ia adalah tanda gangguan atau penyakit tersembunyi.

Anak-anak kecil biasanya akan muntah beberapa kali pada tahun awal usianya kerana muntah adalah tanda penyakit yang biasa dialami oleh kanak-kanak seperti gastroenteritis (disebabkan oleh virus, bakteria atau jangkitan parasit dalam saluran gastrousus), jangkitan bahagian atas saluran pernafasan dan keracunan makanan.

Dalam sesetengah kes, muntah boleh menjadi petanda keadaan seperti saluran penghadaman tersumbat, jangkitan saluran kencing, gangguan pada mekanisme imbangan dalam telinga, hepatitis (radang hati) dan pankreatitis (radang pankreas). Tekanan meningkat dalam otak yang boleh disebabkan oleh kecederaan kepala, pendarahan otak, tumor otak dan jangkitan pada otak seperti meningitis, turut boleh menyebabkan muntah. Si manja memerlukan perhatian serius jika muntah secara berterusan.

Bila perlu Berjumpa Doktor

• Muntah secara berterusan.
• Muntahkan cecair warna hijau kekuningan (hempedu).
• Muntahkan darah (warna merah terang atau coklat).
• Demam atau sakit kepala yang berterusan.
• Meragam atau mengantuk.
• Enggan makan dan tidak boleh menelan cecair.
• Menunjukkan tanda penyahhidrat (badan kekurangan air).
• Mengalami sakit perut yang teruk.
• Mula muntah semula sebaiknya menyambung makanan biasa.

Melegakan Kerengsaan Si Manja selepas Muntah

• Jangan menahan si manja daripada muntah.
• Jangan beri si manja ubat tahan muntah tanpa nasihat doktor.
• Tolehkan kepala si manja ke sisi atau tunduk ke bawah menghadap singki atau tuala untuk mengelakkannya daripada tersedut muntahnya sendiri.
• Selepas si manja muntah, bantu bersihkan mulutnya dengan air kerana muntah meninggalkan rasa masam.
• Muntah boleh meletihkan dan menakutkan anak anda. Tenangkan perasaannya.
• Pujuk si manja supaya minum air bagi mengelakkan penyahhidratan atau dehidrasi. Rumusan minuman untuk penghidratan semula atau Oral Rehydration Solution (ORS) berkesan menggantikan bendalir tubuh dengan segera. Anda boleh mendapatkan ORS dari kebanyakan klinik dan kedai farmasi.
• Jika si manja boleh mengambil makanan, berikan sedikit sup dan kentang lecek secara lebih kerap. Perut si manja mudah menerima sedikit makanan 4-5 kali sehari berbanding hidangan besar 2-3 kali sehari.
• Elakkan daripada memberi si manja makanan berlemak atau pedas.
• Bagaimanapun, jangan paksa anak anda makan atau minum jika dia benar-benar tidak boleh makan ataupun jika si manja rasa mengantuk. Bawa si manja berjumpa doktor segera.
• Pastikan si manja mendapat rehat secukupnya.
Perhatikan Tanda Penyahhidratan
Kehilangan bendalir badan akibat muntah boleh menyebabkan penyahhidratan, lebih-lebih lagi jika si manja muntah secara berterusan dan disertakan ciritbirit. Jika tidak dirawat, penyahhidratan boleh mengancam nyawa, terutama sekali di kalangan kanak-kanak berusia satu tahun ke bawah. Dapatkan bantuan perubatan dengan segera jika anda mengesyaki si manja mengalami penyahhidratan.


Anak Saya Terselamat Daripada H1N1

Pada usia enam tahun, seorang kanak-kanak terselamat daripada virus berjangkit ini. Ketahui apa yang telah dilalui oleh keluarganya.

Siapa sangka penyakit selesema biasa sebenarnya adalah penyakit yang boleh meragut nyawa? Apabila Damia Bastrisya diserang selesema, Erna Waty Salihuddin, ibu kepada Damia, menyangka ia selesema yang biasa. Si ibu memberi anaknya ubat yang terdapat di rumah dengan harapan ia dapat menyembuhkannya. Tetapi keadaan Damia tidak bertambah pulih. Dalam masa beberapa hari, keadaan Damia menjadi lebih teruk. Dia bukan sahaja batuk, bahkan mula demam.

“Dalam masa beberapa jam, demamnya bertambah teruk. Badannya panas secara mendadak dan menjadi lemah. Saya tahu saya perlu membawa Damia ke hospital apabila dia mula muntah,” kata Erna.

“Si manja dijangkiti H1N1”

Sukar bagi Erna menerima hakikat tersebut apabila doktor memberitahunya tentang berita yang amat ditakuti itu. “Saya sangat sedih bila mendapat tahu anak saya dijangkiti virus H1N1. Saya rasa sungguh tidak berdaya. Saya tidak sangka anak saya sendiri boleh dijangkiti virus pembunuh ini!”

H1N1 ialah virus influenza yang menyebabkan mangsa sakit teruk. Ia pertama kali dikesan pada April 2009. Pada 11 Jun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan H1N1 sebagai wabak pandemik kerana virus itu telah meragut banyak nyawa di banyak negara di dunia. Kes pertama di Malaysia dilaporkan pada 15 Mei. Pada puncak wabak penyakit itu, beberapa sekolah dan universiti ditutup untuk mengawal virus daripada merebak. Pada 30 Oktober, jumlah korban di Malaysia kekal sebanyak 77 kematian dan tidak berubah sejak beberapa bulan yang lepas.

Dalam kes Erna, anaknya telah menunjukkan tanda jelas jangkitan virus H1N1, iaitu demam, batuk, sakit kepala dan keletihan. Sesetengah pesakit mungkin mengalami muntah-muntah dan cirit-birit. Kanak-kanak dan warga emas paling berisiko tinggi, terutama sekali jika mereka menghidap penyakit seperti asma dan sakit jantung.

Pemulihan Segera

Sebaik sahaja dimasukkan ke hospital, Damia diberi cecair intravena kerana mengalami dehidrasi akibat kerap muntah. Sepanjang 5 hari dirawat di hospital, dia mendapat bekalan bendalir, ubat antivirus dan antibiotik secara berterusan, membolehkan keadaannya beransur-ansur pulih.

Seluruh keluarga Erna dikuarantin di rumah selama seminggu, kerana mereka tidak mahu virus tersebut merebak. Mereka juga turut memakai penutup mulut dan hidung dan memastikan diri mereka sentiasa dalam keadaan yang bersih.

Selepas Pengalaman Pahit

“Damia adalah seorang kanak-kanak yang kuat. Dia melawan virus H1N1 yang menjangkitinya. Saya bangga dengannya,” kata Erna, sambil melemparkan senyuman kepada Damia. Melalui pengalaman yang menakutkan itu, Erna belajar bahawa dia tidak boleh mengambil mudah atau memandang ringan apa yang berlaku kepada anaknya.

“Saya sangka ia tidak akan berlaku kepada keluarga saya tetapi ternyatalah meleset. Kita perlu lebih peka dan prihatin terhadap orang lain. Jika anda tidak sihat, sebaikbaiknya jangan keluar rumah. Jangan biarkan orang lain dijangkiti. Segera dapatkan rawatan daripada doktor keluarga anda. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna.”

Beberapa langkah berikut boleh diambil untuk melindungi keluarga anda daripada jangkitan virus H1N1:
• Pastikan anda menutup hidung dan mulut dengan menggunakan tisu apabila bersin atau batuk. Terus buang tisu ke dalam tong sampah.
• Basuh tangan anda dengan sabun dan air sekerap mungkin. Pembersih tangan tanpa alkohol juga amat berguna.
• Jika boleh, cuba elakkan daripada berada dekat dengan orang yang sakit.
• Jika anda sakit, duduk di rumah sekurang-kurangnya selama 24 jam atau sehingga demam turun.
Sentiasa Berwaspada!
Buat sementara waktu, hasil kajian menunjukkan tiada tanda mutasi virus H1N1 kepada bentuk yang lebih berbahaya. Namun, WHO meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada. Walaupun sejak kebelakangan ini kes H1N1 telah berkurangan, terdapat kemungkinan dunia akan menghadapi gelombang kedua virus tersebut, yang mungkin lebih teruk.


Ulser Yang Menyakitkan Dalam Mulut

Apabila anak anda menjerit kesakitan ketika minum jus, mungkin terdapat ulser di dalam mulutnya. Jadi apa yang boleh anda lakukan untuk melegakan kesakitannya?

Oleh Dr Mary Marret, Pakar Runding Pediatrik

The Story Behind The Gut

Ulser mulut adalah kudis kecil berbentuk bulat atau bujur dalam mulut yang menyakitkan. Ulser boleh muncul pada sebelah dalam pipi atau bibir, hujung lidah, atau pada pangkal gusi.

Ulser mulut secara amnya tidak berbahaya, tetapi boleh mengganggu keselesaan kanak-kanak, lebih-lebih lagi apabila ia menyebabkan kesukaran untuk makan, minum, bercakap dan juga tidur. Bagi sesetengah kanak-kanak, ia sungguh menyakitkan sehingga mereka enggan makan, minum atau menggosok gigi. Sesetengah kanak-kanak lebih kerap mengalami ulser mulut berbanding kanak-kanak lain.

Apa yang Anda Perlu Tahu Tentang Ulser Mulut

Ada kanak-kanak lebih mudah mendapat ulser mulut yang berulang-ulang. Masalah ini ada kalanya diwarisi dalam keluarga. Ulser mulut selalunya kecil (kurang daripada 1 sm) berwarna kelabu atau kuning, dengan garisan tepi yang kemerah-merahan. Ia mungkin disebabkan oleh trauma seperti luka atau lelas akibat tergigit lidah secara tidak sengaja, menggosok gigi terlalu kuat, hujung gigi yang kasar atau pengambilan makanan atau minuman yang sangat panas. Ia juga boleh berpunca daripada tekanan, contohnya semasa peperiksaan sekolah. Kekurangan vitamin dan mineral seperti zat besi, folat dan beberapa jenis vitamin B mungkin juga menjadi punca pertumbuhan ulser. Anak anda mungkin mengadu mulutnya rasa berdenyut-denyut atau pedih satu atau dua hari sebelum ulser kelihatan.

Kadangkala ulser mulut disebabkan oleh jangkitan virus seperti penyakit tangan, kaki dan mulut, atau cacar air. Ulser jenis ini mungkin mempunyai kaitan dengan demam dan juga ruam pada bahagian tubuh yang lain.

Apa yang Boleh Anda Lakukan

Ulser mulut cepat sembuh, biasanya dalam tempoh satu atau dua minggu tanpa sebarang rawatan. Namun, jika anak anda amat terganggu dengan kesakitannya yang pedih, terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk melegakan kesakitan anak anda dan mempercepat penyembuhan.

Pilihan makanan

• Elakkan daripada memberi anak anda makanan yang keras, besar potongannya, makanan atau minuman yang sangat panas, makanan masin atau pedas, atau yang berasid (seperti jus oren).
• Beri makanan yang lembut (seperti yogurt, kastard) yang tidak menambah kesakitan.
• Pastikan si manja anda minum banyak air.

Melegakan kesakitan

• Biarkan dia menghisap ais.
• Sapu gel mulut untuk melegakan kesakitan pada bahagian yang berulser.

Untuk mencepatkan penyembuhan

• Pujuk si manja supaya berkumur dengan air garam
• Galakkan dia tidur lebih.
• Galakkan anak anda makan seperti biasa.

Bila Anda Perlu Bawa Anak Berjumpa Doktor

Kadangkala ulser yang banyak bilangannya atau ulser yang tidak sembuh mungkin menunjukkan petanda masalah tersembunyi, seperti jangkitan virus. Bawa anak anda berjumpa doktor jika terdapat tanda berikut:

• Apabila ulser mulut bertambah besar atau dalam.
• Apabila terdapat banyak ulser; ini mungkin petanda penyakit tangan, kaki dan mulut atau jangkitan virus herpes (virus lepuh sejuk).
• Apabila ulser tidak sembuh selepas 2 minggu.
• Apabila terdapat pendarahan yang banyak.
• Apabila ulser disertakan dengan demam atau cirit-birit.
• Apabila anak anda terlalu sukar makan atau minum.

Cerita Di Sebalik Usus

Meninjau perkembangan sistem penghadaman anak anda.

Oleh Profesor Dr Christopher Boey Chiong Meng, Profesor Pediatrik dan Pakar Perunding Gastroenterologi Pediatrik

The Story Behind The Gut

Satu daripada pengalaman paling menyeronokkan dalam hidup kita ialah apabila kita menyambut kedatangan bayi kita ke dalam dunia ini. Sewaktu lahir, bayi anda bergantung sepenuhnya kepada anda untuk hidup – mereka belum dapat bercakap ataupun berjalan lagi. Namun, si manja dapat menikmati manfaat sepenuhnya susu anda kerana sewaktu lahir sistem penghadamannya cukup matang untuk menghadamkan susu ibu.

Pertumbuhan Usus

Apabila janin terbentuk dalam rahim ibu, tiga lapisan sel perlahan-lahan tumbuh untuk menjadi tiga komponen utama tubuh badannya.

Lapisan Pembentukan
1 Sistem saraf dan organ deria
2 Sistem otot, peredaran dan rangka
3 Sistem penghadaman

Usus bayi anda mula terbentuk seawal minggu ke-5 kehamilan. Sistem penghadaman mula berfungsi apabila bayi berada pada bulan ketiga perkembangan janin.

Sehingga bayi mencapai umur 6 bulan, susu ibu hanya boleh diberikan. Setelah itu, sistem penghadaman bayi anda sudah cukup matang untuk menghadamkan makanan yang lebih kompleks dan pepejal, seperti kanji, protein, lemak, vitamin dan mineral. Namun, ibu disarankan supaya terus menyusukan bayi sambil membiasakan mereka secara perlahan-lahan dengan makanan pepejal.

Dalam Usus Bayi Anda

Bakteria memainkan peranan penting dalam membantu mengekalkan sistem penghadaman sihat. Sebaik sahaja anda mula menyusukan bayi anda, bakteria baik seperti bifidobakteria yang penting diperkenalkan untuk kesihatan usus bayi. Bilangan bakteria baik dan juga bakteria jahat bertambah dengan cepat dalam beberapa hari pertama hayat bayi untuk membentuk imbangan mikroflora yang sihat dalam usus. Mikroflora usus bayi anda melindunginya daripada jangkitan dan membantu mematangkan sistem imunnya. Tanpa keseimbangan bakteria usus, besar kemungkinan bayi anda akan mengalami kolik atau kembung (gas dan angin dalam abdomen), dan dipercayai si manja lebih berisiko mendapat alahan dan asma apabila dia membesar.

Susu Ibu berbanding Susu Botol

Susu ibu boleh membantu bayi anda menjamin tumbesaran, perkembangan dan kesihatan optimum. Susu ibu kaya dengan antibodi dan hasil kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menyusu ibu kurang mendapat jangkitan gastrousus, telinga, saluran kencing dan pernafasan. Antibodi, kolostrum dan susu ibu juga menggalakkan kolonisasi bakteria baik dalam saluran gastrousus bayi baru lahir.

Mikroflora usus bayi yang diberi susu formula didapati berlainan daripada mikroflora usus bayi yang menyusu ibu. Bilangan bakteria bifidobakteria yang membantu pertumbuhan mikroflora usus sihat di kalangan bayi yang mengambil susu formula adalah jauh berkurangan. Selain daripada itu, faktor bifidogenik yang terdapat dalam susu ibu membantu merangsang pertumbuhan bakteria baik dalam usus, yang mengurangkan risiko cirit-birit dan penyakit usus umum lain.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan supaya ibu menyusukan bayi mereka sepenuhnya selama sekurangkurangnya 6 bulan pertama. Malah, UNICEF dan WHO menggalakkan ibu-ibu menyusukan bayi sehingga dua tahun, jika boleh.

Jaga Kesihatan Sistem Penghadaman Anak Anda

Sistem penghadaman yang sihat adalah penting untuk memastikan anak anda mendapat semua nutrien yang diperlukan untuk membesar dan kekal sihat. Makanan mesti terlebih dahulu diurai dan diserapkan badan dengan betul kerana kanak-kanak yang mengalami malpemakanan mungkin menghadapi masalah penguraian makanan, penyerapan dan metabolisme. Jika salah satu bahagian daripada proses ini rosak, status pemakanan anak anda akan terancam. Ia boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan fizikal dan juga kognitif mereka.

Oleh itu, jika anda mahukan anak-anak anda membesar dengan sihat untuk selama bertahun-tahun yang akan datang, jagalah perut mereka dari sekarang.

Diwarisi Dalam Keluarga

Pelajari keadaan kesihatan lazim yang anak anda boleh warisi dan apa yang boleh anda lakukan untuk membantu.

Oleh Profesor Madya Dr Zarina Abdul Latiff, Pakar Perunding Pediatrik dan Genetisis Klinikal

Diwarisi Dalam Keluarga

“Cantiknya mata anak perempuan awak!” atau “Anak anda mempunyai senyuman yang manis seperti bapanya!” Pujian sedemikian membuatkan ibu bapa merasa bangga. Tetapi, selain daripada ciri fizikal, anak anda boleh mewarisi keadaan kesihatan tertentu daripada ibu bapa. Ciri fizikal atau masalah kesihatan tersebut diwarisi melalui gen. Walaupun ada yang diwarisi secara turun-temurun, ada juga yang berlaku akibat daripada kombinasi gen dengan faktor persekitaran. Sesetengah masalah kesihatan akan kekal tidak aktif sehingga dicetus oleh faktor persekitaran tertentu, hingga menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan anak anda.

Walaupun anda tidak boleh mengubah gen anak anda, anda masih boleh melindunginya jika anda sedar risiko yang dihadapinya. Pelajari gejala yang boleh berlaku supaya anda dapat mengesannya dari awal, dan mengambil langkah untuk mencegah atau mengurangkan gejalanya.

Keadaan yang Lazim Diwarisi (Akibat Interaksi Gen dengan Faktor Persekitaran)

Alahan
Anak anda akan cenderung mendapat alahan walaupun hanya salah seorang ibu bapa mempunyai alahan. Namun, jenis alahan mungkin berbeza antara anda dan anak anda.
Awasi jika: Selsema, hidung tersumbat atau gatal, bersin, gatal telinga dan tekak, gatal mata, ruam dan ‘hives’ (perubahan warna pada kulit).
Tindakan: Pantau makanan yang dia makan dan benda yang disentuh. Bawa anak anda berjumpa doktor jika terdapat sebarang gejala alahan. Kenalpasti pencetusnya (seperti makanan, bulu haiwan, kulapuk, tungau) dan amalkan langkah pencegahan.

Ekzema (dermatitis)
Sejarah keluarga yang mempunyai ekzema atau keadaan alahan lain mendedahkan anak kepada keadaan ini.
Awasi jika: Kulit kering dan gatal, tompok merah dan kasar pada pipi, celah siku, lutut dan buku lali, pada lengan, kulit kepala dan leher.
Tindakan: Elakkan apa yang mungkin menjadi pencetus, seperti persekitaran sejuk dan kering, sabun, makanan alergenik tinggi (seperti telur) dan stres. Bawa anak anda untuk pemeriksaan bagi mendapatkan diagnosis dan rawatan sewajarnya. Ambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah pencetusan .

Masalah penglihatan
Masalah penglihatan yang sering diwarisi adalah rabun dekat, rabun warna dan mata juling.
Awasi jika: Sakit kepala, juling atau mata berair semasa membaca atau menonton TV, mata bersilang, kerap memusing kepala untuk melihat sesuatu objek, sukar membezakan warna merah dan hijau serta warna lain yang mengandungi corak warna ini.
Tindakan: Bawa anak anda untuk pemeriksaan oleh pakar mata jika dia mempunyai sebarang tanda tersebut. Mulakan pemeriksaan mata tahunan daripada usia 1 tahun bagi mengesan masalah mata dari awal.

Migrain
Migrain biasanya akan mula muncul pada usia lebih kurang 8 tahun, tetapi ada kalanya lebih awal bagi sesetengah kanak-kanak.
Awasi jika: Sakit berdenyut-denyut pada dahi, pelipis atau sekitar mata, rasa mual atau muntah, dan peka terhadap cahaya dan bunyi.
Tindakan: Kenalpasti pencetusnya, seperti kepenatan dan sesetengah makanan (seperti keju, coklat, kafein), serta bantu anak anda mengelaknya. Tidur atau mengambil ubat pelega kesakitan boleh melegakan sakit kepala untuk kanak-kanak. Pastikan anak anda berjumpa doktor bagi memastikan tiada penyakit lain yang serius.

Sindrom gangguan usus atau IBS
Jika anda mempunyai IBS, maka anak anda akan berkemungkinan besar untuk mendapatnya.
Awasi jika: Sering kejang perut, kembung perut, selang-seli antara sembelit dan cirit-birit, kolik (pada bayi).
Tindakan: IBS boleh diurus dengan perubahan gaya hidup yang mudah, seperti mengelakkan makanan pencetus (seperti kafein, coklat) dan pengurangan stres. Bawa anak anda berjumpa pakar gastroenterologi pediatrik bagi menyingkirkan sebarang gangguan penghadaman lain yang lebih serius.

Perangkaan
  • Di Malaysia, 1 daripada 3 orang mengalami masalah alahan.
  • Di negara barat, kejadian ekzema kanak-kanak adalah sebanyak 10%-16%.
  • 10% daripada populasi dunia mempunyai rabun warna, dan biasanya di kalangan lelaki.
  • Migrain berlaku pada 5%-10% di kalangan kanak-kanak sekolah di Amerika Syarikat.
  • Di Amerika Syarikat, IBS dilaporkan berlaku sebanyak 6% pada pelajar sekolah pertengahan (umur 11-14 tahun) dan 14% bagi pelajar sekolah menengah (14-18 tahun).

Bebaskan Anak Anda Daripada Ancaman Cacing

Jauhkan cacing dengan langkah mudah menjaga kebersihan.

Oleh Dr Selvakumar Sivapunniam, Pakar Perunding Pediatrik

Jangkitan cacing adalah masalah biasa, terutama sekali di kalangan kanak-kanak kecil. Mereka mudah dijangkiti cacing kerana tabiat gemar memasukkan benda ke dalam mulut dan tidak membasuh tangan. Sungguhpun jangkitan cacing gelang, komplikasi seperti kekurangan zat makanan dan gangguan usus boleh berlaku jika dibiarkan dan tidak dirawat

Bebaskan Anak Anda Daripada

Terdapat beberapa jenis cacing yang berlainan dalam perut manusia seperti cacing gelang, cacing kerawit dan cacing pita. Cacing parasit yang paling biasa terdapat dalam perut ialah cacing peniti, juga dikenali sebagai cacing benang. Ia sangat kecil, panjang lebih kurang 2-13mm, halus dan berwarna putih. Walaupun cacing benang boleh memasuki usus sesiapa sahaja, kanak-kanak lebih mudah dijangkiti.

Kitaran Hidup

Apabila seorang kanak-kanak dijangkiti cacing benang, cacing betina akan keluar pada waktu malam untuk bertelur di keliling dubur. Jika kanak-kanak menggaru dubur, telur pindah ke tangan dan celah kuku jari, seterusnya ke objek lain yang disentuh seperti makanan dan berus gigi. Telur cacing, yang boleh hidup sehingga dua minggu, akan ditelan apabila orang lain memasukkan objek yang dicemari telur cacing ke dalam mulut mereka. Telur ini masuk ke dalam badan dan menetas dalam usus, seterusnya memulakan kitaran hidup sekali lagi.

Adakah Anak Anda Dijangkiti Cacing?

Jangkitan cacing benang agak sukar untuk dikenal pasti. Perhatikan tanda dan gejala berikut:

  • Kegatalan dubur, dan juga vagina di kalangan kanak-kanak perempuan, terutama sekali pada waktu malam.
  • Cacing dewasa kadang kala boleh dilihat dalam najis – halus, putih, seperti benang kapas.
  • Cacing keluar ke sekeliling dubur selepas anak tidur.
  • Kurang selera makan, gelisah dan rengsa.

Memudaratkan atau Tidak?

Cacing benang biasanya tidak memudaratkan, tetapi sering menyebabkan kegatalan dan rasa tidak selesa di keliling dubur. Tetapi jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh menyebabkan komplikasi selanjutnya. Sebagai parasit, cacing menyukarkan badan untuk menyerap nutrien penting, yang boleh menimbulkan masalah perkembangan kognitif dan fizikal, kekurangan vitamin A dan zat besi, anemia dan masalah malnutrisi lain. Jangkitan teruk boleh menyebabkan sakit abdomen manakala anak gadis pula boleh mengalami lelehan vagina dan masalah membuang air kecil sekiranya cacing bertelur dalam vagina atau salur kencing mereka.

Diagnosis dan Rawatan

Cacing benang biasanya boleh dikesan melalui “ujian pita”. Sepotong pita jernih ditekap pada kulit keliling dubur untuk mengutip telur dan diperiksa di bawah mikroskop. Semua anggota keluarga perlu dirawat, tidak kira sama ada mereka dijangkiti atau tidak, untuk mengelakkan jangkitan. Ubat seperti pil Mebendazole yang boleh kunyah perlu diambil untuk membunuh cacing dalam usus. Ini disusuli dengan langkah menjaga kebersihan untuk mencegah jangkitan dan jangkitan semula.

Menjauhkan daripada Cacing …

Mencegah jangkitan daripada merebak memerlukan beberapa langkah mudah dan amalan menjaga kebersihan.

  • Basuh semua baju tidur, seluar dalam serta cadar, selimut dan sarung bantal selepas rawatan.
  • Pastikan anak anda membasuh tangan mereka sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.
  • Pastikan kuku mereka sentiasa pendek.
  • Tegah mereka daripada menggigit kuku dan menggaru keliling dubur.
  • Pastikan mereka memakai seluar dalam yang bersih setiap hari.
  • Mandikan mereka setiap pagi untuk mengurangkan pencemaran telur.
Jangan Berkaki Ayam!

Cacing daripada tanah seperti cacing kerawit boleh dipindah kepada manusia apabila tanah dicemari najis yang dihurung telur parasit. Biasanya, di kawasan yang tidak mempunyai sistem tandas yang betul, jangkitan merebak melalui mulut (air atau hasil tanaman tercemar), tangan kotor dan tembusan melalui kulit (berkaki ayam). Ia menyebabkan loya, kelesuan dan kehilangan selera makan. Oleh sebab cacing ini ‘mencuri’ nutrien yang diperlukan oleh badan kita, ia mesti dirawat untuk mencegah kekurangan zat makanan dan anemia.

Kehilangan Air

Dehidrasi mungkin tidak dianggap serius, tetapi di kalangan kanak-kanak keadaan ini boleh membawa maut.

Oleh Dr Yong Junina Fadzil, Pakar Perunding Pediatrik

Kehilangan Air

Dehidrasi bermaksud kekurangan cecair di dalam badan yang berpunca dari kekurangan pengambilan air atau kehilangan air berlebihan. Risiko dehidrasi lebih tinggi di kalangan kanakkanak kecil dan bayi kerana luas permukaan badan yang lebih besar. Kandungan air di dalam badan mereka juga kurang berbanding dengan orang dewasa.

Kita kehilangan air dan garam galian melalui peluh, air kencing dan kumbuhan. Biasanya, kadar kehilangan air seimbang dengan kadar pengambilan air. Tetapi, keadaan seperti cirit birit dan muntah mengakibatkan ketidakseimbangan, menyebabkan kehilangan air dan garam galian dalam masa singkat. Keadaan menjadi lebih teruk jika mereka juga muntah. Manakala berpeluh dengan berlebihan apabila pendedahan kepada suhu yang tinggi juga boleh menyebabkan dehidrasi

Gejala dan Tanda Dehidrasi

Dehidrasi boleh dibahagikan kepada tiga tahap. Kanak-kanak yang mengalami dehidrasi ringan mungkin tidak menunjukkan tanda yang amat ketara. Namun, keadaan boleh menjadi teruk dalam masa yang amat singkat

Ringan
• Lidah dan mulut yang masih lembap.
• Dahaga. Kanak-kanak besar berupaya menyatakan mereka dahaga. Kanak-kanak kecil akan meminta air lebih kerap.
• Warna dan kuantiti air kencing yang biasa.

Sederhana
• Lidah dan mulut kering.
• Dahaga.
• Air kencing berkurangan dan bewarna pekat.
• Mata cengkung. Untuk bayi, ubun juga berlekuk.
• Kehilangan ketegangan kulit. Kulit dicubit dan dilepaskan tidak kembali tegang.
• Tekanan darah mungkin normal atau rendah.

Teruk
• Lidah dan mulut amat kering.
• Lesu dan mungkin separa sedar.
• Kulit berasa sejuk apabila disentuh. Berlaku kekejangan otot.
• Air kencing sangat sedikit atau tiada air kencing.
• Tiada air mata apabila menangis.
• Kehilangan ketegangan kulit yang amat ketara.
• Kadar degupan jantung yang sangat laju.
• Tekanan darah yang sangat rendah.
• Nadi yang lemah.

Rawatan Dehidrasi

Dehidrasi dirawat dengan memberi cecair serta garam galian secukupnya melalui mulut atau secara intravena.

Cecair seperti air kosong dan jus perlu kerap diberikan. Penyusuan susu ibu juga boleh diteruskan. ORS (oral rehydration solution) turut digunakan untuk menggantikan kehilangan cecair serta garam galian Bubur nasi didapati berkesan untuk mengurangkan ciritbirit. Pisang, sumber kalium, adalah penting. Kekurangan kalium yang hilang semasa muntah dan cirit-birit menyebabkan kelemahan otot dan degupan jantung yang tidak sekata jika ketara.

Anda boleh terus memberikan susu formula seperti biasa. Sekiranya cirit-birit disebabkan masalah intoleransi laktosa, doktor mungkin menasihati supaya menukar kepada susu tanpa laktosa untuk sementara waktu.

Jika si manja sakit dan enggan makan atau minum, berikan serpihan ais untuk dihisap; ia lebih menyeronokkan dan membekal sumber cecair untuk merawat dehidrasi. Elak daripada minuman berkafein atau bergula tinggi. Kafein adalah diuretik, yang menyebabkan kencing berlebihan dan meningkatkan kehilangan air. Gula pula meningkatkan kekerapan membuang air besar.

Sentiasa pastikan anak anda minum banyak air setiap hari, dan lebih air apabila anda melihat tanda awal penyakit seperti muntah dan cirit-birit – JANGAN tunggu hingga anda melihat tanda dehidrasi. Jika terdapat tanda atau gejala yang membimbangkan, atau jika si manja tidak pulih selepas 3-4 hari, segera bawa anak anda berjumpa doktor.

Kematian Akibat Dehidrasi

Cirit-birit merupakan punca kematian kedua dikalangan kanak-kanak dibawah umur 5 tahun. Kebanyakannya berumur kurang daripada 2 tahun. Kehilangan air serta garam galian yang banyak dalam masa beberapa hari menyebabkan badan mengalami kekurangan air serta garam galian yang penting untuk badan berfungsi secara normal. Sekiranya tidak dirawat, maut berlaku akibat kegagalan fungsi organ.

Keracunan Makanan

Walaupun terdapat kesedaran tinggi terhadap kebersihan makanan, namun masalah keracunan makanan di kalangan kanak-kanak Malaysia masih membimbangkan.

Oleh Profesor Dr Christopher Boey Chiong Meng, Profesor Pediatrik dan Pakar Perunding Gastroenterologi Pediatrik

Keracunan makanan berlaku apabila keradangan perut dan/atau usus berlaku disebabkan oleh pengambilan makanan tercemar. Selalunya tanda keracunan makanan akan muncul dalam masa dua hingga 24 jam setelah makan. Bergantung kepada tahap keracunan, mereka yang mengalami keracunan makanan mungkin juga akan mengalami demam dan seram sejuk, najis berdarah serta dehidrasi. Walaupun keracunan makanan kerap berlaku dan biasanya merupakan sejenis penyakit yang ringan, namun kadangkala ia boleh membawa maut, terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Keracunan Makanan

Bakteria Berjangkit Punca Keracunan

Keracunan makanan biasanya berpunca daripada agen toksik atau agen berjangkit. Agen toksik adalah seperti racun perosak pada buah-buahan dan sayuran, makanan eksotik yang tidak disediakan dengan betul (seperti siput), atau cendawan beracun.

Kebanyakan kes keracunan makanan di Malaysia adalah disebabkan pencemaran makanan yang dicemari oleh agen berjangkit. Makanan yang mengandungi virus, bakteria dan parasit berbahaya membebaskan racun yang menyebabkan keradangan pada lapisan usus. E. coli, Salmonella, Shigella dan Staphylococci adalah bakteria berjangkit umum penyebab keracunan makanan.

Amalan Kebersihan Mengelakkan Pencemaran Makanan

Amalan kebersihan yang kurang memuaskan atau penyediaan makanan yang tidak betul biasanya punca pencemaran makanan. Pengendali makanan harus amalkan kebersihan sendiri dan memastikan kawasan penyediaan makanan sentiasa bersih. Makanan juga harus disimpan dengan betul dan pada suhu yang sesuai. Amalan penyediaan makanan berikut harus dipraktikkan:

  1. Sediakan makanan dengan berhati-hati
    • Basuh semua buah-buahan dan sayuran sehingga bersih.
    • Jangan sediakan makanan tanpa bersarung tangan jika tangan luka.
    • Gunakan peralatan memasak (pisau/papan memotong) yang berasingan bagi bahan mentah dan makanan dimasak.
    • Pastikan makanan dinyahbeku sepenuhnya di bawah aliran air bersih sebelum memasak.
    • Masak makanan (daging, ayam itik, telur dan makanan laut) dengan sepenuhnya.
    • Panaskan semula makanan yang telah dimasak dengan menyeluruh. Makanan seperti sup dan rebusan dipanaskan sehingga mendidih.

  2. Hidangkan makanan dengan baik
    • Hidangkan makanan yang telah dimasak secepat mungkin dalam pinggan mangkuk bersih.
    • Jangan biarkan makanan pada suhu bilik lebih daripada dua jam.

  3. Simpan makanan dengan betul
    • Bahan mentah dan makanan masak harus disimpan dalam bekas berasingan apabila menyimpankannya di dalam peti sejuk.
    • Elakkan daripada memberikan lebihan makanan tertinggal yang disediakan lebih daripada dua hari yang lalu.

Bila Anda Patut Berjumpa Doktor

Jangan pandang ringan pada keracunan makanan kerana cirit-birit yang teruk dan muntah boleh menyebabkan dehidrasi yang berbahaya terutamanya di kalangan kanakkanak muda. Bawa si manja berjumpa doktor jika:

  • Dia masih sangat muda (berusia dua tahun ke bawah).
  • Loya, muntah, atau cirit-birit yang berlarutan lebih daripada dua hari.
  • Demam, seram sejuk, atau najis berdarah.
  • Muntah apabila minum apa jua cecair.
  • Mempunyai penyakit atau jangkitan berkaitan dengan sistem imun yang lain.
  • Bertutur dengan tidak jelas, mengalami kelemahan otot, penglihatan berganda, atau kesukaran untuk menelan.

Mengendalikan Keracunan Makanan

Food Poisoning

Sekiranya anak anda mengalami keracunan makanan yang tidak serius, di mana dia muntah berkadang-kala dan cirit-birit yang minimum, ia biasanya akan reda dalam masa dua hingga tiga hari. Anda boleh melegakan si manja dengan tip penjagaan di rumah seperti berikut:

  • Jangan berikan makanan pejal sehingga dia berhenti muntah.
  • Berikan minum air dengan sedikit tetapi kerap untuk mengelakkan dehidrasi.
  • Apabila muntah berhenti, berikan makanan mudah dihadam seperti bubur, roti atau pisang.
  • Jangan berikan ubat yang dibeli tanpa preskripsi untuk menghentikan cirit-birit.
  • Periksa makanan yang telah dimakannya dalam masa 24 jam yang lalu.
  • Jika terdapat sebarang keraguan, dapatkan bantuan perubatan awal.

Bayi Kuning…

Kekuningan apabila lahir adalah lebih daripada biasa.

Oleh Profesor Dr Christopher Boey Chiong Meng, Profesor Pediatrik dan Pakar Perunding Gastroenterologi Pediatrik

Jaundis merujuk kepada kekuningan pada bahagian putih mata (sklerae), kulit dan membran mukus. Apabila ini berlaku pada bulan pertama hayat bayi, ia dinamakan jaundis neonatal. Ia berlaku di kalangan 50-60% bayi pada minggu pertama hayat mereka. Keadaan ini amat biasa berlaku, maka menyebabkan ibu bapa tidak menghiraukan kebahayaan atau komplikasi yang mungkin tertimbul.

Bayi Kuning

Jaundis Lazim di Kalangan Bayi

Apabila sel darah merah dipecahkan, bilirubin akan dibentuk dan dilepaskan ke dalam saluran darah. Bilirubin disalurkan ke dalam hati untuk diproses dan kemudian dikeluarkan daripada badan menerusi najis. Justeru, jika pemecahan sel darah merah meningkat atau hati tidak berupaya untuk memproses bilirubin, jaundis akan berlaku.

Sebelum kelahiran bayi, bilirubin disalurkan melalui plasenta supaya diproses dan dikeluarkan oleh ibu. Sebaik sahaja bayi dilahirkan, hatinya mengambil alih tugas ini, tetapi bayi memerlukan masa untuk menyesuaikan diri kepada keadaan. Oleh itu, tahap bilirubin selalunya lebih tinggi di kalangan bayi baru lahir. Tahap bilirubin yang tinggi menyebabkan kulit kekuningan, yang biasanya muncul dan memuncak antara hari ke-2 dan hari ke-4, dan hilang dalam masa 2 minggu. Ini dinamakan jaundis fisiologi. Ia adalah punca jaundis neonatal yang paling biasa dan selalunya tidak membahayakan bayi.

Jaundis Berbahaya: Jaundis Patologi

Sesetengah kes jaundis boleh membawa maut. Jaundis patologi adalah penularan jaundis yang cepat dalam masa 24 jam hayat bayi disebabkan pemecahan sel darah merah yang berlebihan. Ini seterusnya menyebabkan peningkatan mendadak tahap bilirubin, kerana hati bayi tidak berupaya untuk memproses bilirubin dengan cukup pantas.

Pemecahan sel darah merah secara berlebihan dan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti jangkitan di kalangan bayi baru lahir, ketidakserasian kumpulan darah Resus ibu dan bayi atau kekurangan enzim metabolisme (glukosa-6-fosfate dehidrogenase) untuk metabolisme sel darah merah. Dalam kes lebih serius, sawan atau perubahan dalam ketegangan otot boleh berlaku jika tidak dirawat dengan segera. Malah, kerosakan otak dan kematian juga boleh berlaku. Oleh itu, mendapatkan nasihat perubatan lebih awal adalah amat penting jika bayi anda mengalami jaundis.

Menurunkan Tahap Jaundis

Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan oleh doktor untuk mengurangkan jaundis, seperti:

  • Fototerapi – menggunakan lampu khas yang boleh memecahkan bilirubin dalam kulit, supaya ia boleh dikeluarkan ke dalam hempedu atau air kencing dengan mudah.
  • Penukaran transfusi – dalam proses ini, darah bayi dikeluarkan dalam jumlah kecil dan digantikan dengan darah penderma.

Tanda Penyakit Gangguan Hati

Apabila najis bayi lebih pucat daripada biasa, ada kalanya menjadi putih sama sekali, ia boleh menandakan masalah perubatan lebih serius. Situasi sebegina disebabkan sekatan sebahagian atau sepenuhnya saluran hempedu, iaitu saluran yang menghubungkan hati dengan usus. Contoh penyakitnya adalah seperti hepatitis berpunca daripada virus di mana keradangan hati disebabkan oleh satu daripada virus hepatitis. Manakala atresia saluran hempedu luar hepar adalah ketiadaan sebahagian atau sepenuhnya saluran hempedu antara hati dan usus.

Apa yang perlu Diawasi?

Jika bayi anda mengalami mana-mana gejala berikut, jumpa doktor dengan segera:

  • Warna najis. Najis bayi berwarna putih, kelabu atau kuning pucat manakala air kencing gelap.
  • Kulit kuning. Kulit menjadi lebih kuning, bermula dari muka dan mata, turun ke dada, perut dan akhirnya kaki.
  • Lesu. Bayi lesu, pucat dan tidak bermaya.
  • Tempoh jaundis yang berlarutan lebih daripada tiga minggu.
  • Kehilangan berat badan. Tidak berselera minum susu atau berat badan tidak bertambah.
  • Sawan. Bayi rengsa dan diserang sawan.

Jangan pandang ringan dan menganggap jaundis sebagai keadaan biasa yang tidak memerlukan perhatian perubatan. Sebaliknya, awasi gejala berlainan yang mungkin diperlihatkan oleh bayi anda. Ia mungkin menandakan masalah perubatan terselindung yang lebih serius.

Atresia Hempedu

Memahami keadaan ini di kalangan bayi dan cara penyakit boleh diuruskan.

Oleh Profesor Dr Christopher Boey Chiong Meng, Profesor Pediatrik dan Pakar Runding Gastroenterologi Pediatrik

Atresia hempedu atau biliary atresia (BA) adalah sejenis penyakit serius yang dilaporkan seluruh dunia, antara 1 dalam 8,000 hingga 15,000 bayi yang baru dilahirkan. BA menyebabkan gangguan kepada aliran hempedu yang boleh mengakibatkan masalah kesihatan serius.

Atresia Hempedu

Peranan hempedu

Hempedu ialah cecair yang dihasilkan oleh hati untuk membantu penghadaman dan penyerapan lemak dan vitamin larut lemak dalam usus kecil. Hempedu juga membantu membawa bilirubin dari hati ke usus untuk dikumuhkan.

Duktus hempedu yang sihat dan normal – di dalam dan di luar hati – membenarkan hempedu untuk mengalir dari hati ke pundi hempedu, sebelum hempedu dikumuhkan ke dalam usus untuk menjalankan fungsinya.

Namun begitu, apabila seorang bayi menghidap BA, duktus hempedunya tidak ada, rosak atau tersekat. Aliran hempedu yang terjejas menyebabkan kerosakan hati, lantas menjejaskan banyak fungsi badan pada masa yang sama. Penyakit ini boleh membawa maut jika tidak dirawat.

Punca BA masih tidak diketahui, tetapi dipercayai disebabkan oleh pelbagai faktor. Yang diketahui setakat ini adalah BA tidak diwarisi, dan jarang dialami lebih daripada sekali dalam keluarga yang sama. Ia juga tiada kaitan dengan ubat yang diambil oleh wanita semasa hamil.

Jenis BA

BA “Selepas Lahir”

  • Ini adalah jenis BA yang paling umum, yang berlaku sejurus selepas lahir.
  • Bayi baru lahir mungkin nampak sihat semasa lahir, tetapi tandanya lebih jelas dalam tempoh beberapa minggu selepas dilahirkan.

BA “Janin”

  • BA jenis ini jarang berlaku dan disebabkan oleh duktus hempedu yang tidak terbentuk dengan baik semasa bayi masih janin.
  • Bayi dengan BA “janin” juga mungkin mempunyai kecacatan lahir lain pada jantung, limpa, salur darah atau usus.

Memerhatikan tanda penyakit

Tanda pertama atresia hempedu ialah jaundis atau kekuningan pada kulit dan bahagian putih mata. Tanda umum lain termasuk najis yang berwarna pudar dan air kencing gelap. Bagi BA “selepas lahir”, bayi biasanya dilahirkan selepas tempoh kandungan yang mencukupi dan berat badan yang sewajarnya. Sebaliknya, bayi yang menghidap BA “janin” kemungkinan kekurangan berat badan.

Ibu bapa perlu sedar jaundis boleh juga berlaku di kalangan ramai bayi yang baru lahir pada beberapa hari pertama kehidupan. Jaundis fisiologi yang tidak berbahaya ini biasanya pulih dalam masa 2 minggu. Namun dalam BA, bayi akan mengalami jaundis berpanjangan dan najis yang berwarna pudar.

Jika BA disyaki, bayi akan dirujuk kepada pusat di mana terdapat pakar pediatrik dan pakar bedah pediatrik yang berpengalaman untuk mengesan dan merawat penyakit ini.

PERHATIAN!

Jika bayi baru lahir anda mempunyai najis yang berwarna pudar, kelabu atau putih atau masih mengalami jaundis lebih daripada 2 minggu, bawa si manja bertemu doktor untuk pemeriksaan untuk kemungkinan penyakit hati.

Rawatan untuk BA

Penyakit atresia hempedu tidak boleh dirawat dengan ubat. Satu-satunya rawatan barisan pertama untuk memperbaiki aliran hempedu dan mengurangkan demam kuning ialah prosedur pembedahan yang dinamakan Kasai portoenterostomi. Sebelum prosedur ini diperkenalkan, kadar kematian bagi BA ialah hampir 100%.

Keperluan khasiat pemakanan penghidap BA

Soal pemakanan mungkin menimbulkan masalah bagi kanakkanak BA. Disebabkan kekurangan atau ketiadaan hempedu dalam saluran usus, penghadaman dan penyerapan lemak dan vitamin tertentu terjejas dengan ketara. Kanak-kanak ini juga mempunyai kadar metabolisme lebih tinggi daripada kanakkanak sihat, jadi mereka memerlukan lebih banyak kalori.

Jika anak anda menghidap BA, anda boleh mengambil langkah yang sewajarnya untuk memastikan bahawa keperluan kesihatannya tidak terjejas:

  • Dapatkan nasihat pakar pediatrik dan pakar diet.
  • Berikan pemakanan yang seimbang.
  • Sajikan tiga hidangan tetap sehari dan snek ringan antara sajian.
  • Sokong diet pemakanan dengan vitamin, contohnya, vitamin A, D, E dan K.
  • Minyak trigliserida rantaian sederhana (MCT) boleh ditambah kepada makanan dan minumannya untuk memberikan lebih banyak kalori dan membantu tumbesarannya. Berbanding lemak jenis lain, MCT lebih mudah dihadam tanpa hempedu.

Prosedur Kasai

  • Dilakukan untuk membentuk duktus terbuka untuk menetapkan semula aliran hempedu daripada hati kepada usus.
  • Duktus rosak di luar hati dibuang dan digantikan dengan gelungan usus bayi itu sendiri. Ini membolehkan hempedu mengalir dari hati ke usus.
  • Prosedur ini bukan penawar bagi BA, tetapi selagi hempedu terus mengalir, kemungkinan survival jangka panjang.

Pemindahan hati

  • Pilihan ini perlu dipertimbangkan apabila prosedur Kasai tidak berjaya (masih belum cukup aliran hempedu).
  • Ia merupakan rawatan yang diterima dengan baik bagi kanak-kanak BA dan penyakit hati peringkat akhir.
  • Hati yang rosak dikeluarkan dan digantikan dengan hati baru daripada penderma.
  • Ramai kanak-kanak kekal sihat dalam jangka panjang selepas pemindahan; penjagaan berterusan diperlukan

Hentikan Penyebaran

Influenza adalah ancaman kepada kanak-kanak sepanjang tahun, fahami bahayanya dan cara untuk mencegahnya.

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik & Kardiologi Pediatrik

Jangkitan virus influenza, ada kalanya dipanggil “flu”, amat mudah merebak, menyebabkan gejala umum seperti demam, sakit kepala dan sengal otot, dan juga hidung tersumbat, sakit tekak, hidung berair dan batuk. Pada masa dahulu, penduduk di negara tropika dan separuh tropika menganggap influenza sebagai masalah yang hanya dialami di negara barat yang beriklim lebih sejuk.

Hentikan Penyebaran

Bagaimanapun, sistem pengawasan influenza di Malaysia dan negara jiran sentiasa menunjukkan bahawa influenza adalah punca utama penyakit di kalangan kanak-kanak. Sejak tahun 1997, apabila jenis virus influenza yang biasanya terdapat dalam burung (A/H5N1) dikesan di kalangan manusia di Asia Timur, kerajaan telah memperbaiki dan memperluas pengawasan influenza. Selain mengenal pasti virus baru yang boleh menyebabkan wabak global yang serius (atau pandemik), sistem pengawasan ini memberi maklumat berharga mengenai siapa yang mendapat influenza dan jangka masa jangkitan ini paling banyak berlaku dalam setahun. Di Malaysia, jangkitan influenza berlaku sepanjang tahun, dan memuncak antara Mei-Jun dan Ogos-September. Pengetahuan ini dapat membantu pegawai kesihatan dan doktor membuat keputusan lebih baik untuk mencegah influenza menerusi vaksinasi dan merawat jangkitan influenza di kalangan kanakkanak yang lebih berisiko mendapat komplikasi serius.

Memahami asas

Tanggapan umum influenza bahawa ia bukan penyakit biasa dan bukan penyakit teruk perlu diubah. Virus influenza sentiasa tersebar di merata dunia, menyebabkan berjuta-juta orang jatuh sakit dan kerugian besar dari segi ekonomi, khususnya mengakibatkan ramai tidak dapat bekerja dan ke sekolah, serta berjuta-juta orang terpaksa mendapatkan rawatan. Selang antara waktu yang tidak dapat diramalkan, virus baru boleh muncul, menjangkiti ramai orang yang tidak mempunyai pelalian. Ia boleh mencetuskan wabak pandemik, seperti pada 2009 apabila virus influenza H1N1 muncul. Setakat bulan Ogos 2010, lebih 214 negara dilanda pandemik influenza H1N1, mengakibatkan lebih 18,449 kematian dilaporkan. Di Malaysia sahaja, sehingga Mei 2010, sebanyak 14,772 kes yang disahkan H1N1 dan 87 kematian dilaporkan.

Memahami asas

Tanggapan umum influenza bahawa ia bukan penyakit biasa dan bukan penyakit teruk perlu diubah. Virus influenza sentiasa tersebar di merata dunia, menyebabkan berjuta-juta orang jatuh sakit dan kerugian besar dari segi ekonomi, khususnya mengakibatkan ramai tidak dapat bekerja dan ke sekolah, serta berjuta-juta orang terpaksa mendapatkan rawatan. Selang antara waktu yang tidak dapat diramalkan, virus baru boleh muncul, menjangkiti ramai orang yang tidak mempunyai pelalian. Ia boleh mencetuskan wabak pandemik, seperti pada 2009 apabila virus influenza H1N1 muncul. Setakat bulan Ogos 2010, lebih 214 negara dilanda pandemik influenza H1N1, mengakibatkan lebih 18,449 kematian dilaporkan. Di Malaysia sahaja, sehingga Mei 2010, sebanyak 14,772 kes yang disahkan H1N1 dan 87 kematian dilaporkan.

Amalan menjaga kebersihan seperti kerap membasuh tangan, menutup mulut bila bersin dan batuk, dan berehat di rumah apabila sakit, boleh membantu mengurangkan penyebaran influenza. Namun, dalam realiti, amalan ini sukar dilakukan, terutama sekali oleh kanakkanak dan dalam keadaan sesak. Kaedah paling berkesan untuk mencegah jangkitan influenza ialah dengan vaksinasi tahunan.

Bersin

Jangkitan influenza amat mudah merebak kerana virusnya mudah disebar daripada seorang kepada seorang menerusi titisan apabila seorang yang dijangkiti batuk, bersin atau bercakap. Virus daripada titisan bersin boleh menjangkiti orang yang menyedutnya apabila mereka bernafas. Virus influenza juga merebak apabila seseorang menyentuh permukaan atau objek yang tercemar.

Kita boleh menyebarkan influenza sebelum disedari diri kita dijangkiti. Kita boleh menyebar virus kepada orang lain bermula sehari sebelum penyakit ini menunjukkan gejalanya dan sehingga 5 hari selepas kita jatuh sakit apabila mereka mula menunjukkan gejalanya. Kanak-kanak yang dijangkiti selalunya mengalami gejala gastrousus seperti loya, muntah dan cirit-birit.

Fahami risikonya!

Kebanyakan orang yang dijangkiti influenza pulih dalam masa 2 minggu. Bagaimanapun, sesetengah orang, termasuk kanakkanak, boleh mengalami komplikasi perubatan lain seperti pneumonia, jangkitan telinga tengah, masalah neurologi dan radang jantung kerana sistem imun mereka yang belum cukup kuat.


Menjauhkan masalah

Jika dibiarkan, virus influenza boleh menyebabkan wabak di rumah, sekolah dan kalangan orang ramai. Vaksinasi adalah langkah paling penting untuk mencegah jangkitan influenza. Disebabkan virus sentiasa berubah, vaksinnya sentiasa dikemas kini untuk memastikan ia dapat melindungi kita daripada jenis virus yang sedang merebak. Terdapat stren utara dan stren selatan, bergantung kepada wabak musim sejuk dua hemisfera bumi. Oleh itu, kita perlu mengambil vaksin influenza setiap tahun. Vaksin influenza 2010-2011 paling baru mampu melindungi kita daripada tiga jenis virus – influenza A (H3N2 dan H1N1) dan influenza B – influenza paling biasa pada masa ini.

Tahukah anda bahawa jangkitan influenza boleh menyebabkan komplikasi penyakit lain yang lebih serius?

Penyakit berkaitan influenza boleh membawa maut

Influenza biasanya tidak membawa maut; tetapi memberi kesan terhadap masalah perubatan lain yang lebih serius seperti pneumonia, yang boleh menyebabkan kematian. Contohnya, dianggarkan 36,413 pesakit influenza pneumonia dimasukkan ke hospital di Thailand dari 2005 hingga 2008, menyebabkan 322 kematian. Kira-kira separuh daripada pesakit adalah kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah dan juga orang dewasa berumur 50 tahun ke atas. Influenza mungkin nampak seperti penyakit ringan; tetapi komplikasi serius disebabkan jangkitan terbukti boleh membawa maut.

Selepas pandemik 2009

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), influenza A(H1N1) sudah melepasi tahap pandemik, iaitu virus H1N1 bukan sahaja sudah merebak seluruh dunia, bahkan ramai orang dalam semua peringkat sudah membina imunisasi terhadap virus ini. Tambahan lagi, dalam beberapa bulan kebelakangan, tiada kes besar dilaporkan di negara beriklim sejuk. Tetapi, ini tidak bermakna kita boleh berpeluk tubuh; kita mesti mengurangkan risiko kita mendapat jangkitan influenza kerana virus H1N1, dan juga virus lain, masih terus berkeliaran di seluruh dunia.

Lindungi diri anda dan keluarga anda sekarang!

Setiap orang berumur 6 bulan ke atas dinasihatkan mengambil vaksin influenza setiap tahun. Risiko kanak-kanak berumur bawah 6 bulan mengalami komplikasi serius daripada jangkitan influenza adalah lebih tinggi, tetapi disebabkan mereka terlalu muda untuk menerima vaksin ini, si penjaga atau penghuni yang tinggal bersama mereka patut mengambil vaksin untuk melindungi bayi supaya bayi dilindungi daripada jangkitan.

Terdapat orang lain yang berisiko tinggi dan patut diberi keutamaan untuk menerima vaksin influenza. Mereka termasuk:

  • Orang yang mengalami masalah pernafasan kronik seperti asma dan penyakit jantung dan peparu.
  • Wanita mengandung.
  • Orang dewasa berumur 65 tahun ke atas.
  • Kanak-kanak berumur kurang 5 tahun, terutama sekali bawah 2 tahun.
  • Orang obes
  • Mereka yang menjaga bayi dan kanak-kanak seperti penjaga taska dan jururawat.

Anda hendaklah melindungi diri anda sendiri dan keluarga tersayang daripada virus influenza. Amalkan gaya hidup sihat dan bersih, dan pastikan anda sekeluarga mengambil vaksin influenza tahunan. Ia cara paling baik dan paling selamat untuk memastikan keluarga anda dilindungi daripada influenza. Virus influenza menjangkiti kanak-kanak Malaysia sepanjang tahun. Mainkan peranan anda untuk melindungi anakanak anda daripada jangkitan influenza dan menghentikan penyebaran virus ini.

Dengar… Adakah Si Manja Berdehit?

Asma memang bukan penyakit luar biasa, tetapi belajar cara untuk menguruskan anak yang menghidap asma mungkin baru bagi sesetengah ibu bapa.

Oleh Dr Norzila Mohamed Zainudin, Pakar Perunding Kanan Pediatrik & Respiratori

Dengar… Adakah Si Manja Berdehit?

Anda pernah dengar seseorang merungut sesak nafas kerana asma? Atau ternampak seseorang menggunakan ubat sedut (inhaler) untuk membolehkannya bernafas? Meskipun asma bukan sejenis penyakit luar biasa, ia masih merupakan misteri dalam dunia perubatan moden. Sehingga sekarang, puncanya masih tidak diketahui dan tiada ubat untuk menyembuhkannya. Kanak-kanak boleh mendapat asma jika seorang anggota keluarga menghidapnya kerana ia adalah penyakit keturunan yang diwarisi dalam keluarga. Kemungkinan setiap kanak-kanak mendapat asma adalah 6%, tetapi meningkat kepada 30% jika salah seorang ibu atau bapa menghidapnya dan kepada 70% jika kedua-dua ibu dan bapa menghidapinya.

Umumnya, asma adalah satu keadaan yang berlaku apabila saluran udara ke peparu mengecil atau tersumbat, mengakibatkan gejala seperti batuk, berdehit, pendek nafas dan sesak dada. Pesakit yang menghidap asma sering menyamakan serangan asma seperti bernafas melalui penyedut minuman dalam mulut sambil menutup hidung!

Adakah si manja anda menghidap asma?

Melihat anak tiba-tiba tercungap-cungap untuk bernafas boleh menjadi pengalaman menakutkan bagi ibu bapa, kerana kanakkanak lebih mudah mendapat asma dengan saluran udara yang lebih sempit daripada orang dewasa. Semua serangan asma memerlukan perhatian segera dan rawatan perubatan, tetapi ibu bapa boleh mengenali tanda amaran awal serangan, seperti:

  • Batuk. Ada kalanya, batuk adalah satu-satunya gejala serangan asma. Jika anak anda kerap batuk, terutama sekali pada waktu malam dan tidak menghidap punca penyakit lain, ini mungkin menandakan dia akan diserang asma. Tambahan pula, jika dia batuk yang berterusan selama 2 minggu atau lebih, tanpa sebab yang nyata, besar kemungkinan dia menghidap asma.
  • Sukar bernafas. Jika anak anda sukar bernafas, tekap telinga anda ke dadanya dan dengar dengan teliti. Bunyi dalam dadanya mungkin menandakan serangan asma. Dengarkan sebarang bunyi berdehit, bunyi nafas yang kuat dan cepat, dan perhatikan sama ada si manja bernafas dengan hidung kembang, atau jika dia kerap cuba mendeham. Kanak-kanak asma juga sering berdehit apabila bernafas secara normal.
  • Sentiasa perhatikan. Pastikan jika anak anda menunjukkan gejala fizikal lain seperti muntah, berpeluh dan kulit pucat yang boleh menandakan serangan asma. Dia juga mungkin mengadu rasa sesak atau tidak selesa dalam dada.

Pencetus asma

Kebanyakan penghidap kanak-kanak yang mewarisi asma daripada anggota keluarganya. Bagaimanapun, ada juga mereka diserang asma disebabkan pendedahan faktor persekitaran (asma atopik). Pencetus serangan asma mungkin berbeza antara individu, dan ia adalah penting bagi anda mengetahui apa pencetus asma anak anda.

Bagi sesetengah kanak-kanak, gejala asma mereka menjadi lebih buruk apabila menyedut pencetus seperti asap rokok, bau atau udara tercemar, wap cat dan semburan aerosol. Bahan ini mudah merengsakan bahagian atas saluran pernafasan dan tisu peparu, menyebabkan kanak-kanak berdehit, batuk, dan hidung atau mata berair. Ada kalanya asma boleh dicetuskan oleh cuaca; pendedahan kepada udara sejuk atau udara terlalu panas boleh menyebabkan anak anda diserang asma.

Awas!

Antara pencetus dalam rumah yang boleh mencetuskan serangan asma termasuk:

  • Bulu binatang peliharaan, bulu burung, sisik/kelemumur, air kencing atau air liur bintang peliharaan.
  • Hama debu dalam rumah.
  • Kulat dan spora.
  • Tahi lipas, bangkai lipas.
  • Asap tembakau.
  • Minyak wangi, semburan rambut, losen wangi.
  • Bahan pencuci, racun serangga, wap cat.

Elakkan perengsa!

Cara terbaik untuk membantu kanak-kanak asma ialah dengan mengelakkan pencetus perengsa. Tetapi kadang-kadang pencetus ini – seperti kucing, udara sejuk atau debunga – tidak boleh dielakkan dan ubat diperlukan untuk menguruskannya. Dalam kes ringan, tanda asma di waktu siang adalah kurang daripada sekali semingggu dan gejala di waktu malam adalah kurang daripada dua kali sebulan dan kanak–kanak ini sihat di waktu lain, mereka hanya perlu mengambil ubat asma hanya apabila mendapat serangan. Ubat penyelamat atau pelega ini (bronkodilator seperti agonis beta tindakan singkat (SABA) dan antikolinergik) bertindak cepat untuk membuka saluran udara bagi membolehkan si manja bernafas.

Kanak–kanak yang hanya mengalami tanda asma di waktu siang lebih dari sekali seminggu, tanda malam lebih dari dua kali sebulan, dan mengalami serangan yang menganggu tidur dan aktiviti, mereka memerlukan ubat pencegah sedutan corticosteroids setiap hari. Sekiranya masih tidak terkawal, ubat sedutan pengawal ditambah iaitu agonis beta tindakan lama (LABA atau anti leukotriene). Kanak-kanak perlu dipantau oleh doktor dari masa ke masa secara berkala.

Ubat asma yang paling kerap digunakan selalunya disembur melalui alat penyedut atau inhaler, ditekup pada mulut dan ditekan untuk melepaskan kabut ke dalam peparu apabila disedut. Kanak-kanak tidak digalakkan menggunakan ubat sedutan melalui teknik ini kerana ia memerlukan kordinasi. Mereka memerlukan alat corong dengan face mask atau mouth piece. Ubat ini mengembangkan saluran udara, untuk memudahkan kanak-kanak bernafas. Ubat sedut lebih digemari berbanding ubat makan, kerana ubat yang disedut boleh sampai terus ke peparu, meninggalkan sedikit, atau tiada kesan sampingan.

Cegah serangan

Ubat memainkan peranan penting dalam pengurusan asma; namun, cara terbaik untuk mengawal asma adalah pencegahan serangan. Anda boleh mengambil langkah berikut untuk memastikan persekitaran si manja bebas daripada pencetus serangan asma.

  • Sentiasa pastikan rumah anda bersih daripada habuk atau bulu binatang peliharaan dengan memvakum permaidani dan tikar yang dibentangkan dalam rumah. Hindarkan hama debu – cuci cadar dan langsir dengan kerap, rendam dengan air panas terlebih dahulu sebelum membasuh. Jangan benarkan binatang peliharaan masuk ke dalam bilik tertentu dan pastikan binatang kesayangan anda dimandikan selalu untuk mengurangkan sisik/kelemumur.
  • Jika cuaca atau pencemaran udara mencetuskan asma, anda mungkin perlu memastikan si manja anda bermain dalam rumah apabila cuaca buruk atau udara tercemar.
  • Dengan apa cara sekalipun, jangan benarkan sesiapa merokok dalam rumah! Asap rokok tidak baik untuk peparu, walaupun bagi individu normal, dan boleh memburukkan gejala di kalangan mereka yang menghidap asma. Elakkan anak anda dari asap rokok di dalam atau di luar rumah!

Bukan mudah bagi seisi keluarga jika anak anda menghidap asma. Dengan penjagaan dan pengurusan yang betul, keluarga anda boleh hidup dalam keadaan yang hampir normal. Ramai kanak-kanak sembuh sepenuhnya daripada asma atau kurang mengalami serangan apabila mereka besar. Doktor percaya, apabila kanak-kanak membesar, saluran udara mereka akan membesar dan memudahkan lagi udara keluar dan masuk, mengurangkan kekerapan mereka mendapat serangan. Jangan anggap asma sebagai masalah ringan, dan sentiasa pastikan anda mempunyai simpanan ubat di rumah. Asma yang tidak dikawal boleh menyebabkan serangan lebih teruk, dan seterusnya boleh membawa maut jika tidak segera diberi rawatan kecemasan.

Menggunakan Antibiotik Dengan Bijak

Antibiotik berguna untuk merawat pelbagai jenis penyakit berjangkit, tetapi penyalahgunaan boleh membawa lebih kemudaratan daripada kebaikan.

Oleh Profesor Madya Dr Yasmin Abu Hanifah, Pakar Mikrobiologi Perubatan

Kadang-kala, anak anda mungkin diberikan antibiotik oleh doktor apabila dia jatuh sakit. Tetapi tahukah anda bahawa antibiotik boleh membawa risiko kepada anda dan orang lain jika tidak digunakan dengan cara yang betul? Baca rencana ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang antibiotik dan juga cara anda menggunakan jenis ubat ini untuk melindungi kesihatan anak dan keluarga anda.

Menggunakan Antibiotik Dengan Bijak

Apakah kegunaan antibiotik?

Antibiotik, seperti makrolida, penisilin dan sefalosporin, adalah bahan kimia untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria dan kulat tertentu. Antibiotik bertindak dengan membunuh bakteria atau merencat pertumbuhannya, dan seterusnya membenarkan sistem daya pertahanan imun semulajadi untuk membasmikannya. Antibiotik tidak dapat menentang jangkitan yang disebabkan oleh virus. Keberkesanan antibiotic bergantung kepada dos dan kekerapan, dan juga jenis mikrob yang ia bertindak. Kesan sampingan yang tidak diingini seperti demam, ruam, loya, cirit-birit mungkin berlaku. Antibiotik diberi melalui oral, intravena untuk jangkitan yang lebih teruk, atau topikal seperti krim, salap pada kulit, atau titisan pada mata.

Kekebalan antibiotik

Antibiotik lazimnya berkesan untuk merawat jangkitan bakteria. Namun begitu, kebelakangan ini kes kekebalan antibiotik yang semakin meningkat membimbangkan seluruh dunia.

Kekebalan antibiotik ialah keupayaan bakteria atau kulat untuk menentang tindakan antibiotik, membolehkan mereka terus membiak walaupun dengan kehadiran antibiotik. Antibiotik menjadi kurang berkesan terhadap patogen yang kebal.

Akibatnya, bakteria terus membiak dan menular, menyebabkan penyakit berpanjangan, kerumitan serius dan juga kematian. Untuk merawat kes yang tegar, doktor mungkin perlu memberikan antibiotik lebih kuat atau bentuk rawatan lain, yang mungkin lebih mahal dan memberikan lebih banyak kesan sampingan. Tambahan lagi, bakteria yang mempunyai ketahanan antibiotik yang masih hidup boleh disebarkan kepada orang lain dan menyebabkan jangkitan yang sukar dirawat.

Apa yang menyebabkan ketahanan antibiotik?

Lebih lama sesuatu antibiotik digunakan, lebih tinggi risiko kekebalan terhadapnya. Kekebalan dikaitkan dengan penyalahgunaan antibiotik seperti preskripsi ubat sendiri, terlebih guna antibiotik sebagai profilaksis atau untuk pencegahan jangkitan semasa mengembara, atau salahguna dalam pembiakan binatang ternakan. Contohnya adalah:

  • Apabila antibiotik kerap digunakan untuk tujuan yang salah, seperti dalam jangkitan virus, dimana antibiotik sememangnya tidak bertindak ke atas virus. Bakteria yang terdedah kepada antibiotik akan membina strategi menentangnya. Akhirnya, antibiotik menjadi kurang berkesan terhadap bakteria yang perlu dirawat,
  • Pesakit tidak mematuhi preskripsi. Jika anda tidak mengambil antibiotik mengikut jadual, tidak habis mengambil antibiotik mengikut preskripsi atau berkongsi antibiotik, antibiotik mungkin tidak mencukupi untuk menghapuskan semua bakteria. Bakteria yang masih hidup boleh membiak dan membina kekebalan antibiotik.

Perkara yang perlu diketahui oleh ibu bapa

Berikut adalah perkara yang perlu anda ketahui untuk memastikan antibiotik terus berfungsi secara berkesan untuk kebaikan anak anda apabila dia mengambil ubat dan juga mencegah daripada membina mikroorganisma yang kebal antibiotik.

  • Antibiotik hanya boleh diberikan atas arahan doktor
  • Patuhi arahan yang diberikan, iaitu jangan berhenti sehingga habis semua ubat yang diberikan mengikut preskripsi, walaupun anak anda bermula pulih, dan jangan ambil lebih atau mengabaikan dos.
  • Antibiotik diberikan mengikut kes. Ubat yang diberikan kepada anak anda adalah berasaskan diagnosis doktor terhadap anak anda. Antibiotik yang diberikan untuk anak anda tidak harus dikongsi dengan orang lain, walaupun mereka kelihatan menghidap penyakit yang sama.

Penting!

Jika doktor anda tidak berpendapat bahawa anak anda mempunyai jangkitan bakteria, JANGAN berikan antibiotik kepada anak anda tanpa preskripsi doktor dengan menggunakan sisa ubat. Pemberian preskripsi sendiri boleh mendatangkan bahaya. Mengambil antibiotik yang salah tidak akan membuatkan anak anda lebih sihat dan mungkin menyebabkan kekebalan terhadap antibiotik.

Memahami Intususepsi

Menyedari tanda dan gejalanya dapat membantu mencegah kesan yang boleh memudaratkan kesihatan kanak-kanak.

Oleh Profesor Dr Christopher Boey Chiong Meng, Profesor Pediatrik & Pakar Perunding Gastroenterologi Pediatrik

Intususepsi adalah satu keadaan akut yang berlaku apabila satu bahagian usus menggelongsor masuk ke dalam satu bahagian lagi ('penteleskopan'). Ini menyebabkan sekatan yang menghalang laluan makanan dalam usus.

Akibat daripada dinding usus terhimpit, berlakunya tekanan yang mengurangkan pengaliran darah ke bahagian yang terjejas. Jika tidak dirawat, kekurangan darah akan menyebabkan tisu dinding usus mati.

Kematian tisu boleh mengakibatkan dinding usus terkoyak atau berlubang, mendedahkan pelapik rongga abdomen kepada jangkitan. Pendarahan teruk dan penyahhidratan juga boleh berlaku dengan sangat cepat.

Fakta & angka

  • Intususepsi adalah salah satu punca yang paling banyak menyebabkan sekatan usus di kalangan bayi dan kanak kanak.
  • Di Malaysia, 62 kes intususepsi dilaporkan di kalangan kanak-kanak kecil dari 2000-2003; 74.2% daripada keskes tersebut membabitkan kanak-kanak berusia kurang 1 tahun.

Southeast Asian J Trop Med Public Health. 2008
Sep;39(5):848-55

Apa yang menyebabkan intususepsi?

Intususepsi boleh berlaku di kalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa, tetapi keadaan ini paling kerap dialami oleh kanak-kanak berusia 6 bulan hingga 2 tahun. Kanak-kanak lelaki lebih kerap mengalami intususepsi daripada kanak-kanak perempuan.

Memahami Intususepsi

Bagi kanak-kanak di bawah umur 3 tahun, kebanyakan punca kes intususepsi tidak diketahui. Manakala terdapat faktor pencetus atau 'lead point' yang didapati dalam satu perempat kes kanak-kanak yang berumur 3 tahun ke atas. Contoh pencetus termasuk divertikulum Meckel, ketumbuhan usus dan keabnormalan polip atau saluran darah dalam usus. Jangkitan gastrousus juga boleh menyebabkan intususepsi.

Tanda dan gejala

Intususepsi biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak yang dahulunya adalah sihat. Tanda pertama intususepsi mungkin mendadak, bayi menangis dengan kuat disebabkan sakit abdomen. Bayi akan mengekot apabila menangis. Ini mungkin diikuti dengan muntah. Kesakitan abdomen akan kerap berlaku secara berkala. Antara selang masa tersebut, si anak mungkin kelihatan baik tetapi lama-kelamaan, dia menjadi lesu.

Tanda dan gejala lain mungkin termasuk:

  • Muka pucat
  • Muntah
  • Perut bengkak
  • Najis bercampur darah dan lendir
  • Cirit-birit
  • Demam
  • Penyahhidratan
  • Lesu

Intususepsi perlu diberi perhatian perubatan dengan secepat mungkin untuk mengelakkan komplikasi teruk atau kematian. Jika si manja anda menunjukkan gejala di atas, segera dapatkan bantuan perubatan.

Rawatan

Jika dirawat awal, peluang untuk pulih adalah cerah. Jika rawatan dilengahkan, komplikasi mungkin timbul dan boleh mengancam nyawa bayi dan kanak-kanak kecil. Kanak-kanak yang mengalami kesakitan perut kembung yang berlaku kerap secara berkala (atau 'kolik') dengan muntah perlukan permerhatian lanjutan.

Jika intususepsi disyaki, doktor akan menjalankan prosedur enema, pemeriksaan X-ray atau imbasan ultrasound. Sebaik sahaja disahkan, intususepsi biasanya dirawat dengan enema udara atau barium.

Semasa prosedur enema, tiub kecil yang lembut dimasukkan ke dalam rektum (dubur) dan udara dilepaskan ke dalam usus menerusi tiub ini. Udara bergerak masuk ke dalam usus, dan bahagian yang terbelit, jika ada, akan dilihat menerusi imbasan X-ray. Pada masa yang sama, tekanan udara menolak balik usus kepada kedudukan normal dan melepaskan usus daripada sekatan.

Enema barium bertindak dengan cara yang sama seperti enema udara, kecuali campuran cecair barium digunakan bagi menggantikan udara.

Jika prosedur ini berjaya, rawatan selanjutnya tidak diperlukan. Tetapi, jika prosedur enema gagal membetulkan keadaan, atau jika usus terkoyak (usus berlubang), si manja perlukan pembedahan untuk melepaskan usus yang terperangkap. Jika perlu, sebarang tisu usus yang mati akan dibuang semasa pembedahan.

Disebabkan intususepsi boleh berlaku lagi selepas rawatan, si manja biasanya perlu berada di hospital selama 2-3 hari sehingga dia boleh makan dan buang air besar secara normal.

Intususepsi tidak boleh dicegah. Bagaimanapun, dengan penjagaan perubatan yang betul dan segera, peluang pemulihan adalah hampir 100% dan komplikasi dan kematian boleh dielakkan. Jangan lengah untuk mendapatkan bantuan perubatan jika si manja anda mengalami gejala yang tersebut di atas.

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)