Kekuningan apabila lahir adalah lebih daripada biasa.
Oleh Profesor Dr Christopher Boey Chiong Meng, Profesor Pediatrik dan Pakar Perunding Gastroenterologi Pediatrik
Jaundis merujuk kepada kekuningan pada bahagian putih mata (sklerae), kulit dan membran mukus. Apabila ini berlaku pada bulan pertama hayat bayi, ia dinamakan jaundis neonatal. Ia berlaku di kalangan 50-60% bayi pada minggu pertama hayat mereka. Keadaan ini amat biasa berlaku, maka menyebabkan ibu bapa tidak menghiraukan kebahayaan atau komplikasi yang mungkin tertimbul.
Jaundis Lazim di Kalangan Bayi
Apabila sel darah merah dipecahkan, bilirubin akan dibentuk dan dilepaskan ke dalam saluran darah. Bilirubin disalurkan ke dalam hati untuk diproses dan kemudian dikeluarkan daripada badan menerusi najis. Justeru, jika pemecahan sel darah merah meningkat atau hati tidak berupaya untuk memproses bilirubin, jaundis akan berlaku.
Sebelum kelahiran bayi, bilirubin disalurkan melalui plasenta supaya diproses dan dikeluarkan oleh ibu. Sebaik sahaja bayi dilahirkan, hatinya mengambil alih tugas ini, tetapi bayi memerlukan masa untuk menyesuaikan diri kepada keadaan. Oleh itu, tahap bilirubin selalunya lebih tinggi di kalangan bayi baru lahir. Tahap bilirubin yang tinggi menyebabkan kulit kekuningan, yang biasanya muncul dan memuncak antara hari ke-2 dan hari ke-4, dan hilang dalam masa 2 minggu. Ini dinamakan jaundis fisiologi. Ia adalah punca jaundis neonatal yang paling biasa dan selalunya tidak membahayakan bayi.
Jaundis Berbahaya: Jaundis Patologi
Sesetengah kes jaundis boleh membawa maut. Jaundis patologi adalah penularan jaundis yang cepat dalam masa 24 jam hayat bayi disebabkan pemecahan sel darah merah yang berlebihan. Ini seterusnya menyebabkan peningkatan mendadak tahap bilirubin, kerana hati bayi tidak berupaya untuk memproses bilirubin dengan cukup pantas.
Pemecahan sel darah merah secara berlebihan dan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti jangkitan di kalangan bayi baru lahir, ketidakserasian kumpulan darah Resus ibu dan bayi atau kekurangan enzim metabolisme (glukosa-6-fosfate dehidrogenase) untuk metabolisme sel darah merah. Dalam kes lebih serius, sawan atau perubahan dalam ketegangan otot boleh berlaku jika tidak dirawat dengan segera. Malah, kerosakan otak dan kematian juga boleh berlaku. Oleh itu, mendapatkan nasihat perubatan lebih awal adalah amat penting jika bayi anda mengalami jaundis.
Menurunkan Tahap Jaundis
Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan oleh doktor untuk mengurangkan jaundis, seperti:
- Fototerapi – menggunakan lampu khas yang boleh memecahkan bilirubin dalam kulit, supaya ia boleh dikeluarkan ke dalam hempedu atau air kencing dengan mudah.
- Penukaran transfusi – dalam proses ini, darah bayi dikeluarkan dalam jumlah kecil dan digantikan dengan darah penderma.
Tanda Penyakit Gangguan Hati
Apabila najis bayi lebih pucat daripada biasa, ada kalanya menjadi putih sama sekali, ia boleh menandakan masalah perubatan lebih serius. Situasi sebegina disebabkan sekatan sebahagian atau sepenuhnya saluran hempedu, iaitu saluran yang menghubungkan hati dengan usus. Contoh penyakitnya adalah seperti hepatitis berpunca daripada virus di mana keradangan hati disebabkan oleh satu daripada virus hepatitis. Manakala atresia saluran hempedu luar hepar adalah ketiadaan sebahagian atau sepenuhnya saluran hempedu antara hati dan usus.
Apa yang perlu Diawasi?
Jika bayi anda mengalami mana-mana gejala berikut, jumpa doktor dengan segera:
- Warna najis. Najis bayi berwarna putih, kelabu atau kuning pucat manakala air kencing gelap.
- Kulit kuning. Kulit menjadi lebih kuning, bermula dari muka dan mata, turun ke dada, perut dan akhirnya kaki.
- Lesu. Bayi lesu, pucat dan tidak bermaya.
- Tempoh jaundis yang berlarutan lebih daripada tiga minggu.
- Kehilangan berat badan. Tidak berselera minum susu atau berat badan tidak bertambah.
- Sawan. Bayi rengsa dan diserang sawan.
Jangan pandang ringan dan menganggap jaundis sebagai keadaan biasa yang tidak memerlukan perhatian perubatan. Sebaliknya, awasi gejala berlainan yang mungkin diperlihatkan oleh bayi anda. Ia mungkin menandakan masalah perubatan terselindung yang lebih serius.
No comments:
Post a Comment