nuffnang

28 Dec 2011

Dengar… Adakah Si Manja Berdehit?

Asma memang bukan penyakit luar biasa, tetapi belajar cara untuk menguruskan anak yang menghidap asma mungkin baru bagi sesetengah ibu bapa.

Oleh Dr Norzila Mohamed Zainudin, Pakar Perunding Kanan Pediatrik & Respiratori

Dengar… Adakah Si Manja Berdehit?

Anda pernah dengar seseorang merungut sesak nafas kerana asma? Atau ternampak seseorang menggunakan ubat sedut (inhaler) untuk membolehkannya bernafas? Meskipun asma bukan sejenis penyakit luar biasa, ia masih merupakan misteri dalam dunia perubatan moden. Sehingga sekarang, puncanya masih tidak diketahui dan tiada ubat untuk menyembuhkannya. Kanak-kanak boleh mendapat asma jika seorang anggota keluarga menghidapnya kerana ia adalah penyakit keturunan yang diwarisi dalam keluarga. Kemungkinan setiap kanak-kanak mendapat asma adalah 6%, tetapi meningkat kepada 30% jika salah seorang ibu atau bapa menghidapnya dan kepada 70% jika kedua-dua ibu dan bapa menghidapinya.

Umumnya, asma adalah satu keadaan yang berlaku apabila saluran udara ke peparu mengecil atau tersumbat, mengakibatkan gejala seperti batuk, berdehit, pendek nafas dan sesak dada. Pesakit yang menghidap asma sering menyamakan serangan asma seperti bernafas melalui penyedut minuman dalam mulut sambil menutup hidung!

Adakah si manja anda menghidap asma?

Melihat anak tiba-tiba tercungap-cungap untuk bernafas boleh menjadi pengalaman menakutkan bagi ibu bapa, kerana kanakkanak lebih mudah mendapat asma dengan saluran udara yang lebih sempit daripada orang dewasa. Semua serangan asma memerlukan perhatian segera dan rawatan perubatan, tetapi ibu bapa boleh mengenali tanda amaran awal serangan, seperti:

  • Batuk. Ada kalanya, batuk adalah satu-satunya gejala serangan asma. Jika anak anda kerap batuk, terutama sekali pada waktu malam dan tidak menghidap punca penyakit lain, ini mungkin menandakan dia akan diserang asma. Tambahan pula, jika dia batuk yang berterusan selama 2 minggu atau lebih, tanpa sebab yang nyata, besar kemungkinan dia menghidap asma.
  • Sukar bernafas. Jika anak anda sukar bernafas, tekap telinga anda ke dadanya dan dengar dengan teliti. Bunyi dalam dadanya mungkin menandakan serangan asma. Dengarkan sebarang bunyi berdehit, bunyi nafas yang kuat dan cepat, dan perhatikan sama ada si manja bernafas dengan hidung kembang, atau jika dia kerap cuba mendeham. Kanak-kanak asma juga sering berdehit apabila bernafas secara normal.
  • Sentiasa perhatikan. Pastikan jika anak anda menunjukkan gejala fizikal lain seperti muntah, berpeluh dan kulit pucat yang boleh menandakan serangan asma. Dia juga mungkin mengadu rasa sesak atau tidak selesa dalam dada.

Pencetus asma

Kebanyakan penghidap kanak-kanak yang mewarisi asma daripada anggota keluarganya. Bagaimanapun, ada juga mereka diserang asma disebabkan pendedahan faktor persekitaran (asma atopik). Pencetus serangan asma mungkin berbeza antara individu, dan ia adalah penting bagi anda mengetahui apa pencetus asma anak anda.

Bagi sesetengah kanak-kanak, gejala asma mereka menjadi lebih buruk apabila menyedut pencetus seperti asap rokok, bau atau udara tercemar, wap cat dan semburan aerosol. Bahan ini mudah merengsakan bahagian atas saluran pernafasan dan tisu peparu, menyebabkan kanak-kanak berdehit, batuk, dan hidung atau mata berair. Ada kalanya asma boleh dicetuskan oleh cuaca; pendedahan kepada udara sejuk atau udara terlalu panas boleh menyebabkan anak anda diserang asma.

Awas!

Antara pencetus dalam rumah yang boleh mencetuskan serangan asma termasuk:

  • Bulu binatang peliharaan, bulu burung, sisik/kelemumur, air kencing atau air liur bintang peliharaan.
  • Hama debu dalam rumah.
  • Kulat dan spora.
  • Tahi lipas, bangkai lipas.
  • Asap tembakau.
  • Minyak wangi, semburan rambut, losen wangi.
  • Bahan pencuci, racun serangga, wap cat.

Elakkan perengsa!

Cara terbaik untuk membantu kanak-kanak asma ialah dengan mengelakkan pencetus perengsa. Tetapi kadang-kadang pencetus ini – seperti kucing, udara sejuk atau debunga – tidak boleh dielakkan dan ubat diperlukan untuk menguruskannya. Dalam kes ringan, tanda asma di waktu siang adalah kurang daripada sekali semingggu dan gejala di waktu malam adalah kurang daripada dua kali sebulan dan kanak–kanak ini sihat di waktu lain, mereka hanya perlu mengambil ubat asma hanya apabila mendapat serangan. Ubat penyelamat atau pelega ini (bronkodilator seperti agonis beta tindakan singkat (SABA) dan antikolinergik) bertindak cepat untuk membuka saluran udara bagi membolehkan si manja bernafas.

Kanak–kanak yang hanya mengalami tanda asma di waktu siang lebih dari sekali seminggu, tanda malam lebih dari dua kali sebulan, dan mengalami serangan yang menganggu tidur dan aktiviti, mereka memerlukan ubat pencegah sedutan corticosteroids setiap hari. Sekiranya masih tidak terkawal, ubat sedutan pengawal ditambah iaitu agonis beta tindakan lama (LABA atau anti leukotriene). Kanak-kanak perlu dipantau oleh doktor dari masa ke masa secara berkala.

Ubat asma yang paling kerap digunakan selalunya disembur melalui alat penyedut atau inhaler, ditekup pada mulut dan ditekan untuk melepaskan kabut ke dalam peparu apabila disedut. Kanak-kanak tidak digalakkan menggunakan ubat sedutan melalui teknik ini kerana ia memerlukan kordinasi. Mereka memerlukan alat corong dengan face mask atau mouth piece. Ubat ini mengembangkan saluran udara, untuk memudahkan kanak-kanak bernafas. Ubat sedut lebih digemari berbanding ubat makan, kerana ubat yang disedut boleh sampai terus ke peparu, meninggalkan sedikit, atau tiada kesan sampingan.

Cegah serangan

Ubat memainkan peranan penting dalam pengurusan asma; namun, cara terbaik untuk mengawal asma adalah pencegahan serangan. Anda boleh mengambil langkah berikut untuk memastikan persekitaran si manja bebas daripada pencetus serangan asma.

  • Sentiasa pastikan rumah anda bersih daripada habuk atau bulu binatang peliharaan dengan memvakum permaidani dan tikar yang dibentangkan dalam rumah. Hindarkan hama debu – cuci cadar dan langsir dengan kerap, rendam dengan air panas terlebih dahulu sebelum membasuh. Jangan benarkan binatang peliharaan masuk ke dalam bilik tertentu dan pastikan binatang kesayangan anda dimandikan selalu untuk mengurangkan sisik/kelemumur.
  • Jika cuaca atau pencemaran udara mencetuskan asma, anda mungkin perlu memastikan si manja anda bermain dalam rumah apabila cuaca buruk atau udara tercemar.
  • Dengan apa cara sekalipun, jangan benarkan sesiapa merokok dalam rumah! Asap rokok tidak baik untuk peparu, walaupun bagi individu normal, dan boleh memburukkan gejala di kalangan mereka yang menghidap asma. Elakkan anak anda dari asap rokok di dalam atau di luar rumah!

Bukan mudah bagi seisi keluarga jika anak anda menghidap asma. Dengan penjagaan dan pengurusan yang betul, keluarga anda boleh hidup dalam keadaan yang hampir normal. Ramai kanak-kanak sembuh sepenuhnya daripada asma atau kurang mengalami serangan apabila mereka besar. Doktor percaya, apabila kanak-kanak membesar, saluran udara mereka akan membesar dan memudahkan lagi udara keluar dan masuk, mengurangkan kekerapan mereka mendapat serangan. Jangan anggap asma sebagai masalah ringan, dan sentiasa pastikan anda mempunyai simpanan ubat di rumah. Asma yang tidak dikawal boleh menyebabkan serangan lebih teruk, dan seterusnya boleh membawa maut jika tidak segera diberi rawatan kecemasan.

No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)