Menyedari tanda dan gejalanya dapat membantu mencegah kesan yang boleh memudaratkan kesihatan kanak-kanak.
Oleh Profesor Dr Christopher Boey Chiong Meng, Profesor Pediatrik & Pakar Perunding Gastroenterologi Pediatrik
Intususepsi adalah satu keadaan akut yang berlaku apabila satu bahagian usus menggelongsor masuk ke dalam satu bahagian lagi ('penteleskopan'). Ini menyebabkan sekatan yang menghalang laluan makanan dalam usus.
Akibat daripada dinding usus terhimpit, berlakunya tekanan yang mengurangkan pengaliran darah ke bahagian yang terjejas. Jika tidak dirawat, kekurangan darah akan menyebabkan tisu dinding usus mati.
Kematian tisu boleh mengakibatkan dinding usus terkoyak atau berlubang, mendedahkan pelapik rongga abdomen kepada jangkitan. Pendarahan teruk dan penyahhidratan juga boleh berlaku dengan sangat cepat.
Fakta & angka |
---|
Southeast Asian J Trop Med Public Health. 2008 |
Apa yang menyebabkan intususepsi?
Intususepsi boleh berlaku di kalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa, tetapi keadaan ini paling kerap dialami oleh kanak-kanak berusia 6 bulan hingga 2 tahun. Kanak-kanak lelaki lebih kerap mengalami intususepsi daripada kanak-kanak perempuan.
Bagi kanak-kanak di bawah umur 3 tahun, kebanyakan punca kes intususepsi tidak diketahui. Manakala terdapat faktor pencetus atau 'lead point' yang didapati dalam satu perempat kes kanak-kanak yang berumur 3 tahun ke atas. Contoh pencetus termasuk divertikulum Meckel, ketumbuhan usus dan keabnormalan polip atau saluran darah dalam usus. Jangkitan gastrousus juga boleh menyebabkan intususepsi.
Tanda dan gejala
Intususepsi biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak yang dahulunya adalah sihat. Tanda pertama intususepsi mungkin mendadak, bayi menangis dengan kuat disebabkan sakit abdomen. Bayi akan mengekot apabila menangis. Ini mungkin diikuti dengan muntah. Kesakitan abdomen akan kerap berlaku secara berkala. Antara selang masa tersebut, si anak mungkin kelihatan baik tetapi lama-kelamaan, dia menjadi lesu.
Tanda dan gejala lain mungkin termasuk:
- Muka pucat
- Muntah
- Perut bengkak
- Najis bercampur darah dan lendir
- Cirit-birit
- Demam
- Penyahhidratan
- Lesu
Intususepsi perlu diberi perhatian perubatan dengan secepat mungkin untuk mengelakkan komplikasi teruk atau kematian. Jika si manja anda menunjukkan gejala di atas, segera dapatkan bantuan perubatan.
Rawatan
Jika dirawat awal, peluang untuk pulih adalah cerah. Jika rawatan dilengahkan, komplikasi mungkin timbul dan boleh mengancam nyawa bayi dan kanak-kanak kecil. Kanak-kanak yang mengalami kesakitan perut kembung yang berlaku kerap secara berkala (atau 'kolik') dengan muntah perlukan permerhatian lanjutan.
Jika intususepsi disyaki, doktor akan menjalankan prosedur enema, pemeriksaan X-ray atau imbasan ultrasound. Sebaik sahaja disahkan, intususepsi biasanya dirawat dengan enema udara atau barium.
Semasa prosedur enema, tiub kecil yang lembut dimasukkan ke dalam rektum (dubur) dan udara dilepaskan ke dalam usus menerusi tiub ini. Udara bergerak masuk ke dalam usus, dan bahagian yang terbelit, jika ada, akan dilihat menerusi imbasan X-ray. Pada masa yang sama, tekanan udara menolak balik usus kepada kedudukan normal dan melepaskan usus daripada sekatan.
Enema barium bertindak dengan cara yang sama seperti enema udara, kecuali campuran cecair barium digunakan bagi menggantikan udara.
Jika prosedur ini berjaya, rawatan selanjutnya tidak diperlukan. Tetapi, jika prosedur enema gagal membetulkan keadaan, atau jika usus terkoyak (usus berlubang), si manja perlukan pembedahan untuk melepaskan usus yang terperangkap. Jika perlu, sebarang tisu usus yang mati akan dibuang semasa pembedahan.
Disebabkan intususepsi boleh berlaku lagi selepas rawatan, si manja biasanya perlu berada di hospital selama 2-3 hari sehingga dia boleh makan dan buang air besar secara normal.
Intususepsi tidak boleh dicegah. Bagaimanapun, dengan penjagaan perubatan yang betul dan segera, peluang pemulihan adalah hampir 100% dan komplikasi dan kematian boleh dielakkan. Jangan lengah untuk mendapatkan bantuan perubatan jika si manja anda mengalami gejala yang tersebut di atas.
No comments:
Post a Comment