nuffnang

28 Dec 2011

Mak, Perut Saya Sakit!

Mengenali tanda apendisitis mampu mengurangkan komplikasinya

Oleh Dr Yong Junina Fadzil, Pakar Perunding Pediatrik

Apendisitis kerap dijadikan diagnosis oleh ibu bapa dan penjaga. Malah, ia juga penuh dengan mitos dan cerita palsu. Seseorang juga mungkin kerap mendengar ibu bapa melarang anak mereka memakan biji jambu ataupun melompat selepas makan, yang boleh menyebabkan apendisitis. Tetapi, apakah apendisitis dan bagaimanakah seseorang mengalaminya?

Mak, Perut Saya Sakit!

Apendiks adalah kantung kecil berbentuk seakan-akan jari; sebahagian daripada usus besar yang dikenali sebagai caecum, yang terletak di bahagian sebelah kanan bawah abdomen. Biarpun fungsi apendiks tidak jelas, kajian menunjukkan bahawa apendiks terlibat dalam beberapa fungsi imun badan. Oleh demikian, sesetengah percaya bahawa apendiks yang sihat atau tidak bermasalah tidak patut disingkirkan dan dibuang.

Apendisitis adalah keadaan di mana apendiks mengalami keradangan. Ia mungkin berlaku apabila terdapat halangan pada ruang masuk apendiks tersebut, mengakibatkan pengumpulan mukus atau lendir. Bakteria yang lazimnya hidup di dalam apendiks itu berganda, seterusnya mengakibatkan apendiks membengkak dan mendapat jangkitan.

Jika radang apendiks tidak dikeluarkan, ia mungkin pecah dan jangkitan akan merebak ke seluruh abdomen. Jika terlepas masa, jangkitan boleh merebak ke dalam saluran darah lalu menyebabkan kesakitan teruk dan maut.

Beberapa tanda yang perlu diawasi....

Selain daripada kesakitan abdomen, tanda lain antaranya adalah:

  • Hilang selera makan.
  • Loya dan muntah.
  • Demam.

Terdapat juga keadaan lain yang mungkin seakan-akan apendisitis seperti:

  • Mesenterik adenitis. Keadaan ini berlaku apabila limfa noda pada abdomen menjadi bengkak, biasanya disebabkan oleh jangkitan virus.
  • Jangkitan keradangan usus, yang termasuk penyakit Crohn dan kolitis ulseratif.
  • Jangkitan saluran kencing.

Merawat apendisitis

Jika anda mengesyaki anak anda mengalami apendisitis, segera bawanya berjumpa dengan doktor. Abdomen anak anda akan diperiksa untuk tanda kesakitan dan sensitiviti. Selain itu, ujian darah akan menunjukkan adanya tanda jangkitan. Ujian kencing dijalankan agar memastikan bukan berlakunya jangkitan saluran kencing. Imbasan ultrabunyi pada abdomen mungkin dijalankan untuk mengesahkan keradangan apendiks.

Apendisitis biasanya akan dirawat dengan membuang radang apendiks itu melalui satu kaedah yang dikenali sebagai apendektomi. Kaedah ini boleh dilakukan melalui pembedahan kecil yang meninggalkan parut yang amat kecil daripada dahulu, dan masa rawatan hospital yang lebih singkat. Namun, rawatan untuk apendiks pecah tidak begitu mudah disebabkan kaviti dalam abdomen perlu dibersihkan agar jangkitan tidak berlaku. Antibiotik juga diperlukan dalam kes sebegini dan masa hospital yang lebih lama.

Bolehkah apendisitis dicegah? Mungkin tidak. Namun terdapat bukti bahawa ia jarang berlaku di kalangan mereka yang kerap memakan makanan berserat. Sehingga adanya pencegahan yang lebih mantap, kita boleh membantu mencegah anak anda daripada menderita akibat komplikasi lanjut yang disebabkan oleh apendiks pecah dengan mendapatkan rawatan awal.

Sakit Perut!

Jika si manja anda mengadu sakit pada bahagian abdomen, tanyalah dia:

  • Lokasi kesakitan. Kesakitan apendisitis biasanya bermula berhampiran dengan pusat, seterusnya beralih ke bawah menghala ke arah sebelah kanan; sakitnya sekejap ada sekejap hilang pada permulaannya, dan kemudian menjadi lebih konsisten dan mendadak. Namun, ia tidak semestinya benar bagi kanak-kanak, terutamanya yang sangat muda.
  • Tahap kesakitan. Bertambah teruk apabila masa berlalu dan mungkin boleh muntah.
  • Gangguan kesakitan. Kesakitan lebih dirasai apabila berjalan atau batuk.

No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)