Apakah kedudukan cinta di dalam Islam? Adakah Islam
memusuhi cinta? Adakah sebegini kejam sebuah agama yang disifatkan
menepati fitrah? Bolehkan kita bercinta?
Jawapan Pakar Cinta:
Sebenarnya Islam tidak memusuhi cinta. Malah Islam memandang tinggi
persoalan cinta yang tentunya merupakan perasaan dan fitrah yang
menjiwai naluri setiap manusia. Namun, cinta di dalam Islam perlulah
melalui pelbagai peringkat keutamaannya yang tersendiri :
1. Cinta kepada Allah
Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehiudupan manusia ialah
cinta kepada Allah. Ketinggian nilai taqarrub Al-Abid kepada Khaliq
dapat dikesan melalui cinta murni mereka kepada Pencipta.
Tanpa cinta kepada Allah perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang
bererti sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali
dan dan menyintai Allah.
Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di mihrab
pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang
mantap. Firman Allah SWT :
“Walaupun demikian),
ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk
menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan
mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang
beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah…”
- (Surah Al-Baqarah ayat : 165)
Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu mukmin
lantaran keagungan nilai dan ketulusan ihsan-Nya.Namun menjadi suatu
kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat
kepada-Nya.
Cinta Allah umpama satu anugerah yang tertinggi dan tidak mungkin
sesiapa dapat memilikinya kecuali didahulukan dengan pengorbanan yang
mahal. Cinta Allah adalah syarat yang utama untuk meletakkan diri di
dalam barisan pejuang-pejuang kalimah Allah SWT.
Firman Allah SWT (yang bermaksud) :
“Wahai orang-orang yang
beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi
murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka
dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut
terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap
orang-orang kafir…” – (Surah Al-Maidah, ayat 54)
2. Cinta Kepada Rasulullah SAW dan Para Anbiya’
Apabila manusia berada di dalam kegelapan yang begitu kelam,maka
diutuskan pembawa obor yang begitu terang untuk disuluhkan kepada
manusia ke arah jalan kebenaran.
Sayang, pembawa obor tersebut terpaksa bergelumang dengan lumpur yang
begitu tebal dan menahan cacian yang tidak sedikit untuk melaksanakan
tugas yang begitu mulia.
Pembawa obor tersebut ialah Rasulullah SAW. Maka adalah menjadi satu
kewajipan kepada kepada setiap yang mengaku dirinya sebagai muslim
memberikan cintanya kepada Rasulullah dan para ambiya’.
Kerana kecintaan inilah, para sahabat sanggup bergadai nyawa
menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai demi mempertahankan
Rasulullah SAW. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan
Muslim menyebut :
Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda:
Tiga perkara, jika terdapat di
dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperolehi
kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih
daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak
suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari
kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam
Neraka.
- (Bukhari : no. 15, Muslim : no. 60, Tirmizi : no. 2548 Nasaie : no. 4901)
Namun, dalam suasana kita sekarang yang begitu jauh dengan Rasulullah
SAW dari segi masa, adakah tidak berpeluang lagi untuk kita memberikan
cinta kepada Rasulullah SAW? Sekalipun Rasulullah SAW telah meninggalkan
kita jauh di belakang, sesungguhnya cinta terhadap baginda boleh
dbuktikan melalui kepatuhan serta kecintaan terhadap sunnahnya.
Oleh yang demikian, orang yang memandang hina malah mengejek-ngejek
sunnah Rasulullah SAW tentunya tidak boleh dianggap sebagai orang yang
menyintai Rasulullah SAW.
3. Cinta Sesama Mukmin
Interaksi kasih sayang sesama mukmin adalah merupakan pembuluh utama
untuk menyalurkan konsep persaudaraan yang begitu utuh. Cinta sesama
mukmin inilah yang mengajar manusia supaya menyintai ibubapanya.
Malah mengherdik ibubapa yang bererti merungkaikan talian cinta
kepada keduanya adalah merupakan dosa besar sebagaimana yang disebut di
dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya:
“Ketika kami bersama
Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda: Mahukah aku ceritakan kepada
kamu sebesar-besar dosa besar: Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan
Allah, mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata
palsu..”
- (Hadis riwayat Bukhari, no. 5519, Muslim : no. 126)
Alangkah indahnya sebuah agama yang mengajar penganutnya agar
menghormati dan menyintai kedua ibubapanya yang telah melalui susah
payah untuk membesarkan anak-anak mereka. Di manakah lagi keindahan yang
lebih menyerlah selain daripada yang terdapat di dalam Islam yang
mengajar umatnya dengan pesanan :
“Dan hendaklah engkau
merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu,
dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah
rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih
sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
- (Surah Israk, ayat 24)
Selain daripada cinta kepada kedua ibubapa ini, Islam juga meletakkan
cinta sesama mukmin yang berimana sebagai syarat kepada sebuah
perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah SAW. Hayatilah
betapa dalamnya maksud firman Allah SWT :
“Nabi Muhammad (s.a.w)
ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras
dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan
sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama
sendiri (umat Islam)”
- (Surah Al-Fath, ayat 29)
Malah, Al-Quran sendiri menukilkan betapa pujian melangit yang
diberikan oleh Allah SWT kepada golongan Ansar yang ternyata menyintai
golongan Muhajirin dengan cinta suci yang berasaskan wahyu Ilahi. Malah
dalam keadaan mereka berhajat sekalipun, keutamaan tetap diberikan
kepada saudara-saudara mereka dari golongan Muhajirin. Firman Allah SWT
yang bermaksud :
“Dan orang-orang
(Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka,
mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada
pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada
orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan
orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri,
sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. ..”
- (Surah Al-Hasyr, ayat 9)
Bukankah ini yang telah diajar oleh Islam? Maka di tengah-tengah
kecaman keganasan yang dilemparkan kepada Islam pada hari ini, kenapa
tidak masyarakat antarabangsa malah umat Islam sendiri melihat bahawa
betapa agungnya unsur kasih sayang dan cinta yang terdapat di dalam
Islam?
Namun, betapa agungnya cinta di dalam Islam, begitu jualah agungnya
penjagaan Islam sendiri terhadap umatnya agar sama sekali tidak
mencemarkan kesucian cinta dengan kekotoran nafsu.
Itulah cinta di dalam Islam. Ia tidak dapat tidak haruslah diasaskan
di atas dasar keimanan kepada Allah. Alangkah ruginya cinta yang lari
dari landasan iman. Akan hanyutlah jiwa-jiwa yang menyedekahkan dirinya
untuk diperlakukan oleh ‘syaitan cinta’ sewenangnya-wenangnya.