Tips Cinta – Indahnya cinta jika bersulam keikhlasan. Moleknya cinta
andai setia yang dipertaruhkan dan untungnya bercinta jika berkekalan
sampai bila-bila. Namun panas yang diharapkan sampai ke petang, siapa
sangka hujan turun ditengah hari.
Puas sudah membajai cinta, dibumbui
dengan kasih dan sayang, membelai dan memupuknya dengan penuh
tanggungjawab namun pasangan yang bertakhta di sanubari tetap berubah
hati. Terlalu sukarkah mencintai isteri atau sememangnya si suami tidak
pernah mensyukuri?
Datuk Ustaz Ismail Kamus membincangkan: “Perempuan umpama cermin, mesti cermat dan halus bila berhadapan dengan mereka.”
Lebih-lebih yang bergelar isteri. Sensitif, cepat kecil hati, merajuk
dan minta dipujuk memang sifat wanita. Sebenarnya bukan susah melayan
isteri.
Seorang suami yang pandai mengambil
hati, memujuk rayu jika diperlukan, bercakap lemah lembut dan rajin
bergurau senda, ia sudah cukup dan memadai.
Perhatikan hasilnya, si isteri akan
sanggup bersusah payah menyediakan makan dan minum di samping
menguruskan rumah tangga, malah sanggup pula ke hulu ke hilir menambah
pendapatan suami. Walaupun hidup dalam serba kekurangan, insya-Allah
hidup pasangan begini akan rukun damai sampai bila-bila.
Bagaimanapun hal ini merujuk kepada
wanita yang melimpah ruah dengan kasih dan sayang. Mengutamakan rumah
tangga dan berusaha menceriakannya walaupun si suami bukan berpangkat
besar atau mempunyai wang yang banyak. Apabila ditujukan kepada wanita
yang memegang prinsip, ada wang abang sayang, tak ada duit abang
melayang lain pula penyudahnya.
Jika yang dicintai itu adalah wang, yang disayang itu adalah kemewahan, memang rumah tangga tidak bahagia dan aman.
Kerana yang diburu adalah wang dan harta, maka bila ada kedua-duanya di
depan mata, si isteri akan berasa nikmat kebahagiaan namun bila
semuanya melayang, wanita begini akan berasa terlalu kecewa dan bersusah
hati, ujarnya.
Beliau menambah, “Bagaimanapun kalau
dikatakan, peranan wang membeli kasih dan sayang, ia memang berkait
antara satu dengan yang lain. Namun wang itu sekadar dijadikan sebagai
alat dan bukan matlamat. Wang berperanan menyenangkan pasangan membina
rumah tangga.
Mendapatkan sebuah rumah untuk keluarga,
memiliki kenderaan dan apabila berlaku sebarang bencana, wang dapat
merungkai masalah yang melingkari. Jika mengandaikan wang untuk membeli
cinta dan mengeratkan kasih dan sayang, tandanya kita sudah tersilap
menafsir.
Sepatutnya utamakan nilai kasih dan
sayang yang diberikan oleh suami atau isteri, justeru andai suatu hari
kita ditimpa musibah dan hidup dalam serba kekurangan, tidaklah cepat
melatah.
Cuba perhatikan mereka yang tinggal di
kampung. Ada pasangan yang hidup melarat dan menderita kerana tidak
mempunyai wang yang banyak, namun ikatan kekeluargaan erat dan sendat
dengan kasih dan sayang,” jelasnya.
Beliau tidak menafikan, wanita sekarang
lebih ramai yang celik mata dan sedar tentang perlunya membelai cinta
sampai ke tua, sedangkan lelaki asal ada orang yang menguruskan rumah
tangga sudah memadai. Golongan begini, malas hendak memupuk atau
membajainya walaupun mereka mampu melakukan.
Wanita ketara sudah celik mata. Ini dapat diperhatikan dalam ceramah atau syarahan. Mereka lebih banyak jika dibandingkan dengan kaum Adam. Sekiranya intipati ceramah mengenai pasangan, pihak si isteri akan mudah terima dan berusaha berubah apatah lagi jika kena dengan cara dan pendekatan yang betul.
Sebaliknya si lelaki yang turut
mendengar tetapi kurang menghayati. Jika terima pun dengan perasaan
sombong dan egonya dan memang sukar mengubah kesilapan.
No comments:
Post a Comment