nuffnang

15 Feb 2012

Suntikan Minima Untuk Perlindungan Sepenuhnya

Vaksin kombinasi dapat memberikan anak anda perlindungan sepenuhnya
serta mengurangkan ketidakselesaannya, malah memudahkan anda.

Oleh Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik

Sebagai ibubapa, kita membuat keputusan setiap hari bagi anak anak kita. Dari alat permainan ke keselamatan, pemakanan ke vaksin, kita membuat keputusan supaya anak-anak kita akan selalu sihat dan sejahtera.

Menurut satu tinjauan antarabangsa yang dijalankan oleh Ipsos Belgium, sebuah syarikat tinjauan utama di Belgium, vaksinasi merupakan salah satu keputusan yang mudah bagi ibubapa: 42% ibu Malaysia berasa yakin bahawa mereka dapat membuat pilihan vaksinasi yang wajar. Kebanyakan ibu berpendapat bahawa vaksinasi adalah satu keperluan (79%) dan juga pelaburan dalam kesihatan anak-anak mereka (75%).

Sungguhpun keperluan dan keberkesanan vaksin dalam melindungi anak anda dari penyakit merbahaya tidak boleh dipertikaikan, 36% ibu Malaysia masih bimbang apabila memikirkan kesakitan yang anak mereka bakal rasai.

Kebimbangan ibu ini memang perkara biasa dan ia boleh dikurangkan dengan mengguna vaksin kombinasi: satu vaksin yang memberi imunisasi kepada penyakit-penyakit merbahaya yang disenaraikan dalam jadual imunisasi wajib seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Persatuan Pediatrik Malaysia.

Vaksin kombinasi yang mencegah penyakit-penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertusis (batuk kokol), dan/atau polio memang lama ada. Vaksin kombinasi baru memasukkan Hib (Haemophilus influenzae jenis b) dan hepatitis B menjadikan vaksin kombinasi 5-dalam-1 dan 6-dalam-1.

Difteria
Difteria ialah satu jangkitan bakteria yang serius di mana ia menjejaskan saluran pernafasan dan kadangkala, kulit. Ia boleh menyebabkan lumpuh, kegagalan jantung dan masalah pernafasan yang tenat. Jangkitan bakteria ini boleh menyebabkan komplikasi yang serius malah kematian sekiranya ia menjangkiti kanak-kanak kecil dan orang tua.

Tetanus
Juga dikenali sebagai 'kancing gigi', bakteria tetanus memasuki badan melalui kulit yang cedera seperti terbakar, patah atau luka. Apabila bakteria memasuki luka, ia mengeluarkan toksin yang boleh menjejaskan sistem saraf dan memberi kesakitan yang amat sangat, sakit kepala, kaku dan kekejangan. Kekejangan yang teruk boleh berlaku sehingga menyebabkan keretakan pada tulang belakang. 10% daripada kes tetanus membawa kepada maut.

Pertussis
Dikenali sebagai batuk kokol, jangkitan bakteria yang mudah berjangkit ini akan menyebabkan batuk teruk yang berpanjangan serta kesukaran bernafas. Pertussis juga boleh membawa kepada jangkitan bahagian dalam telinga, bronkitis, pneumonia, sawan dan kerosakan otak. Ia adalah sangat merbahaya sekiranya dijangkiti oleh bayi berumur 6 bulan ke bawah – 1 dalam setiap 200 bayi yang dijangkiti berakhir dengan kematian.

Hib
Sejenis bakteria yang dikenali sebagai Haemophilus influenzae jenis b, Hib akan menyebabkan jangkitan telinga dan saluran pernafasan dan merupakan faktor utama meningitis di kalangan kanak kanak berumur 2 tahun ke bawah. Hib adalah penyakit berbahaya – hingga 10% bayi yang dijangkiti akan mati dan 30% pula menderita komplikasi yang serius seperti cacat mental, palsi serebrum, pekak, epilepsi dan buta.

Polio
Polio ialah satu jangkitan virus yang menyebabkan pelbagai kesan – dari kesakitan sederhana ke ketidakupayaan kekal hingga kematian. Dalam kes-kes serius, jangkitan polio akan menyebabkan kelumpuhan otot-otot yang mengawal pernafasan dan berjalan. Anggota badan yang dijangkiti polio boleh menjadi cacat. Sebelum vaksin digunakan secara meluas, polio telah menyebabkan ramai kanakkanak dan orang dewasa menjadi cacat. Polio telah dihapuskan di Malaysia tetapi ada kes kes dari negara jiran yang boleh dibawa masuk.

Hepatitis B
Hepatitis B ialah jangkitan virus yang mengakibatkan radang hati. Ia berjangkit dari ibu yang dijangkiti kepada bayinya atau sentuhan dengan darah pembawa Hepatitis B. Bayi yang dijangkiti ketika lahir biasanya menjadi pembawa Hepatitis B. Walaupun mereka kelihatan sihat selama beberapa tahun seterusnya, masih terdapat simptomsimptom yang akhirnya menyebabkan kerosakan hati seperti kanser hati. Sehingga kini tiada rawatan khusus untuk Hepatitis B.

Terdapat vaksin kombinasi lain seperti MMR (untuk beguk, campak dan rubella), dan MMRV (campuran varisela atau cacar air) yang akan dibincang dalam isu-isu akan datang. Vaksin kombinasi mengurangkan suntikan yang diberi kepada anak sambil memberi perlindungan yang sama.

No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)