nuffnang

15 Feb 2012

Menerima Suntikan Vaksinasi Atau Tidak?

Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Pediatrik & Neonatologi dan
Ahli Jawatankuasa Pengurusan Positive Parenting, menjawab persoalan anda.

“Saya dengar bahawa sesetengah vaksin seperti vaksin polio boleh menyebabkan penyakit tersebut dan bukan mencegahnya. Adakah lebih selamat jika anak saya tidak menerima vaksinasi itu?”

Kanak-kanak telah mendapat lebih banyak kebaikan daripada vaksinasi berbanding dengan program pencegahan penyakit lain yang terdapat dalam sejarah perubatan. Kerana vaksinasi begitu berkesan dan sudah hampir membasmi kebanyakan penyakit yang serius, ada ibubapa yang mula bertanya dan memikir semula jika ia benar-benar bermanfaat.

Adakah vaksin masih diperlukan? Adakah kebaikannya masih melebihi segala risiko yang dibawanya? Jawapan kepada kedua-dua soalan ini ialah YA.

Dahulu, sebelum terdapatnya vaksin:
  • Beribu-ribu kanak-kanak telah menjadi lumpuh setiap tahun akibat polio.
  • Rubella pula menjadi punca kecacatan kelahiran pada bayi baru lahir dan akhirnya menyebabkan kecacatan mental.
  • Difteria merupakan punca utama kematian kanak-kanak sekolah.
  • Kuman Haemophilus influenzae jenis b(Hib) merupakan punca utama penyakit meningitis (jangkitan pada selaput otak) yang telah menyebabkan kecederaan otak yang kekal.
  • Batuk kokol yang juga dikenali sebagai ‘penyakit batuk 100 hari’ pula telah membunuh ramai kanak-kanak, terutama yang berumur di bawah 1 tahun.

Vaksin Batuk Kokol
Penjelasan terbaik ialah dengan menggunakan contoh vaksin yang mempunyai paling banyak kesan sampingan, iaitu vaksin pertusis atau batuk kokol.

Vaksin pertusis yang lama telah dikaitkan dengan kesan sampingan dan ini telah mengakibatkan sesetengah ibu bapa enggan memberikan vaksin tersebut kepada anak mereka. Oleh kerana publisiti negatif tentang vaksin ini, negara Jepun telah berhenti menggunakannya pada tahun 1975. Berikutan dengan ini, terdapat 13,000 kes batuk kokol serta 113 kematian. Sebelum tahun 1975, hanya terdapat 400 kes dan tiada seorang pun kanak-kanak yang mati akibat vaksin pertusis!

Kebaikan vaksin sememangnya mengatasi risiko kesan sampingan yang kecil. Kini, ibu bapa tidak perlu runsing memikirkan vaksin yang perlu diberikan kepada anak-anak mereka. Sekarang terdapat vaksin pertusis yang baru (pertusis tanpa sel) yang kurang mempunyai kesan sampingan dan boleh diberikan kepada semua kanak-kanak.

Vaksin Polio
Mengenai polio pula, terdapat dua jenis vaksin. Yang pertama adalah vaksin poliovirus yang hidup tetapi lemah. Ia dititiskan ke dalam mulut kanak-kanak (vaksin polio oral atau OPV). Jenis kedua ialah vaksin poliovirus yang telah mati dan diberikan dalam bentuk suntikan (vaksin polio tidak aktif atau IPV). Imunisasi lazim secara ‘OPV’ telah dilakukan di Malaysia sejak tahun 1972. Program ini amat berkesan dan kini tiada sebarang kes polio di Malaysia sejak 1985.

OPV telah dipilih kerana ia berkesan, senang diberi, murah dan melindungi kita seumur hidup. Walaupun demikian, OPV dikaitkan dengan kesan sampingan yang jarang sekali berlaku, tetapi serius. Lebih kurang 1 dalam sejuta kanak-kanak yang diberikan dos pertama mungkin mendapat penyakit polio dan menjadi lumpuh. Ia dikenali sebagai Kelumpuhan Poliomielitis Akibat Vaksin.

IPV turut memberikan manfaat yang sama dengan OPV, tetapi tanpa menyebabkan VAPP. Berikutan kemajuan dalam teknologi serta cara pengeluaran vaksin, IPV kini boleh diberikan dalam suntikan yang sama dengan vaksin-vaksin lain yang lazim diberikan. Kini satu vaksin gabungan IPV dengan difteria, pertusis, tetanus dan Hib (vaksin 5 dalam 1) dan hepatitis B (vaksin 6 dalam 1) dapat diberikan dengan satu suntikan sahaja.

No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)