nuffnang

15 Feb 2012

Lindungilah Hati Anak Anda

Anak anda telah diberikan vaksin Hepatitis B, tetapi tahukah anda penyakit
hepatitis lain boleh memudaratkannya? Ketahuinya dan cara-cara untuk melindungi anak anda.

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik.

Hati merupakan suatu organ penting dalam badan anda. Ia membantu memproses nutrien, menyingkirkan toksin, melawan jangkitan, menyimpan tenaga, dan menghentikan pendarahan. Untuk membolehkan hati anda berfungsi dengan sempurna, anda perlu melindunginya daripada pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan kerosakan hati. Salah satunya ialah hepatitis.

Apakah Hepatitis?
Hepatitis adalah radang hati, biasanya disebabkan oleh jangkitan virus. Terdapat enam jenis virus hepatitis iaitu A, B, C, D, E dan G. Hepatitis A, B dan C adalah jenis yang paling biasa. Penyakit hepatitis berbeza dari segi ketenatan, cara penyebaran, ciri-ciri epidemik, dan langkah pencegahan. Hepatitis boleh menyebabkan hati membengkak dan hilang keupayaannya untuk berfungsi. Di samping itu, ia juga boleh membawa kepada sirosis (parut), kegagalan hati, malah juga barah hati.

Gejala-gejala Hepatitis:

  • Loya/muntah-muntah
  • Kurang selera makan
  • Lemah badan dan letih lesu
  • Demam
  • Sakit pada bahagian kanan atas abdomen
  • Mata dan kulit menjadi kuning (jaundis)
  • Cirit-birit
  • Air kencing yang gelap
  • Najis berwarna pucat

Hepatitis A
Hepatitis A adalah penyakit yang pulih dengan sendiri dalam beberapa minggu. Jarang sekali berlakunya kerosakan hati yang kekal di kalangan orang sihat. Virus Hepatitis A didapati dalam najis orang yang dijangkiti. Biasanya jangkitan berlaku apabila pesakit memakan makanan atau minuman yang dicemari najis tersebut. Makanan laut yang tidak dimasak dengan sempurna seperti kerang yang dicemari oleh najis atau kumbahan juga merupakan medium penyebaran Hepatitis A.

Hepatitis A di kalangan kanak-kanak bawah usia 6 tahun lazimnya tidak menunjukkan apa-apa gejala. Hanya 10% kanak-kanak yang dijangkiti menghidap jaundis. Sebaliknya, jangkitan menyebabkan penyakit klinikal di kalangan kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa, dengan kejadian jaundis dalam lebih daripada 70% kes.

Apakah Statistiknya?

Hepatitis A adalah meluas di Asia Tenggara. Di Malaysia, terdapat 497 kes pada tahun 2000, dan menurun kepada 107 kes pada tahun 2004. Ini menunjukkan bahawa sanitasi telah dipertingkatkan, dan juga sebab ramai orang tidak menghidap penyakit ini pada masa mereka kanak-kanak. Walau bagaimanapun, wujud risiko pendedahan terhadapnya semasa dewasa.

Hepatitis B
Hepatitis B boleh menyebabkan penyakit hati kronik dan berpotensi mengancam nyawa. Kecenderungan Hepatitis B berkembang menjadi suatu penyakit kronik bergantung kepada usia seseorang yang dijangkiti. Semakin muda usia seseorang, semakin tinggi risikonya. Jangkitan kronik berlaku dalam 90% daripada bayi yang dijangkiti sewaktu lahir, 30% daripada kanak-kanak pada usia 1-5 tahun dan 6% daripada orang yang dijangkiti selepas umur 5 tahun. Berita baiknya adalah vaksin Hepatitis B termasuk dalam Program Imunisasi Malaysia sejak tahun 1989.9.

Apakah Statistiknya?

Di Malaysia, kelaziman hepatitis B adalah paling tinggi di kalangan komuniti Cina. Dianggarkan bahawa terdapat hampir 1 juta pembawa virus Hepatitis B (HBV) (5.24% daripada jumlah penduduk). Kadar pembawa adalah paling tinggi di kalangan kaum Cina (5-7%), lebih rendah di kalangan kaum Melayu (2-3%) dan paling rendah di kalangan kaum India (<1%).


Pembandingan antara Hepatitis A & B
Hepatitis A
Hepatitis B
Tempoh pengeraman 15 hingga 50 hari 6 minggu hingga 6 bulan
Cara transmisi Laluan tinja oral Bendalir badan atau darah
Kumpulan berisiko
tinggi

Orang yang tinggal bersama orang yang dijangkiti

Orang yang melancong ke negara yang mungkin mempunyai jangkitan yang lebih tinggi (sanitasi yang kurang baik)

Kanak-kanak yang pergi ke pusat jagaan harian

Kakitangan di pusat penjagaan harian

Makan makanan tercemar yang tidak disediakan dengan sempurna

Bayi yang ibunya dijangkiti penyakit

Pesakit yang menerima transfusi darah yang tidak disaring

Pengguna dadah yang
berkongsi jarum

Orang yang melakukan persetubuhan dengan
pasangan yang dijangkiti

Orang yang tinggal bersama individu yang dijangkiti

Orang yang terdedah kepada peralatan tatu yang tidak disteril.

Pencegahan
Hepatitis A boleh dicegah melalui amalan kebersihan yang baik. Walau bagaimanapun, perlindungan terbaik untuk anak anda daripada Hepatitis A & B adalah melalui vaksin.

Vaksin Hepatitis A, didapati di Malaysia bagi mereka yang sudah menjangkau usia 1 tahun. Dua dos diberikan pada jarak 6 bulan diperlukan bagi keimunan penuh terhadap Hepatitis A. Tempoh perlindungan ialah 14-20 tahun bagi kanak-kanak dan sekurang-kurangnya 25 tahun bagi dewasa. Malah pernah dilaporkan bahawa vaksin tersebut adalah 85% lebih berkesan untuk perlindungan terhadap virus itu.

Vaksin Hepatitis B, vaksin pertama yang berkaitan secara tidak langsung kepada pencegahan barah hati, adalah vaksin mandatori di bawah Program Imunisasi Malaysia sejak tahun 1989. Keimunan penuh memerlukan pemberian tiga dos. Vaksin Hepatitis B ialah 90% berkesan dalam perlindungan terhadap virus, akibat kronik virusnya, dan barah hati. Perlindungannya berterusan sekurangkurangnya 20 tahun dan boleh jadi sepanjang hayat.

Perkembangan Vaksin bagi Hepatitis
Suatu gabungan vaksin bagi Hepatitis A dan B kini didapati untuk mereka berusia melebihi 16 tahun. Ia menggabungkan Hepatitis A tidak aktif dan rekombinan Hepatitis B. Vaksin ini perlu diberi dalam 3 dos. Di samping itu, vaksin Hepatitis B juga boleh digabungkan dalam vaksin primer Difteria, Pertusis (batuk kokol), Tetanus (kancing gigi), Haemophilus Influenzae jenis b (Hib) dan vaksin polio yang menjadikannya vaksin 6-dalam-1 yang didapati di klinik.

Teknologi hari ini telah mewujudkan perlindungan terhadap Hepatitis A & B dan juga mengurangkan suntikan sambil meningkatkan penyakit-penyakit yang dicegah. Lebih banyak lagi vaksin akan dihasilkan pada masa depan.

No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)