nuffnang

15 Feb 2012

Elakkan Cacar Air


Dengan adanya vaksin varisela, anak anda tidak
perlu menderita lagi daripada bintil-bintil merah yang gatal.

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik.

Cacar air atau Varisela adalah penyakit jangkitan yang kerap berlaku di kalangan kanak-kanak berusia antara 6 dan 10 tahun. Disebabkan oleh virus varicella-zoster, ia berjangkit kepada badan seseorang dan merebak di saluran pernafasan dan bahagian nodus limfa dalam tempoh 2-3 hari. Virus kemudiannya memasuki aliran darah dan ke hati, limpa dan organ-organ lain. Kebanyakan daripada kita membina imuniti sepanjang hayat terhadap cacar air selepas jangkitan pertama. Virus juga menjadi tidak aktif di kalangan urat saraf selama bertahun-tahun.

Gejala bermula 10 hingga 21 hari selepas pendedahan virus, bermula dengan demam, sakit kepala, sakit tekak, hilang selera makan dan keletihan. Bintil-bintil merah akan muncul pada keseluruhan badan. Kanak-kanak mengalami gejala yang lebih ringan dan mempunyai

kurang lepuh berbanding orang dewasa. Komplikasi biasa di kalangan kanakkanak adalah jangkitan sekunder dan parut pada kulit terlibat, manakala ensefalitis (keradangan otak) jarang berlaku.

Kayap
Kayap/herpes zoster adalah ruam lepuh yang menyakitkan dan berterusan selama 2-3 minggu. Ini berlaku apabila virus varisela yang tidak aktif kekal berhampiran saraf tunjang, diaktifkan semula lama selepas penyakit cacar air yang awal.

Kira-kira 10-20% orang yang telah menghidap cacar air mengalami kayap, biasanya di kalangan dewasa yang umur menjangkaui 50 tahun atau apabila keimunan badan berkurungan. Ia tidak berbahaya, tetapi mungkin sangat menyakitkan dan kerap menyebabkan sakit saraf yang berpanjangan selama beberapa bulan selepas ruam telah pulih.

Nasihat Rawatan Di Rumah:

  • Mandi dengan air suam.
  • Losyen calamine boleh melegakan ruam yang gatal.
  • Antihistamin yang dipreskripsi boleh meredakan kegatalan.
  • Pastikan anak anda mendapat cecair dan pemakanan yang mencukupi.
  • Berikan makanan yang sejuk, lembut dan tawar. Elakkan makanan berasid dan bergaram.
  • Berikan parasetamol, atau acetaminophen, sekiranya anak anda mengalami demam.
  • Potong kuku jari anak anda. Biarkan dia memakai sarung tangan sewaktu tidur untuk mengelaknya daripada menggaru kerana ia mengakibatkan jangkitan bakteria sekunder dan parut.
  • Jangan beri aspirin untuk meredakan kesakitan atau demam di kalangan kanak-kanak.

Lindungilah Keluarga Anda Yang Tersayang
Virus varisela sangat mudah berjangkit dan senang merebak melalui sentuhan langsung dengan seorang yang telah dijangkiti, melalui bersin atau batuk, atau apabila terkena bendalir daripada lepuh cacar air. Jangkitan secara tidak langsung adalah melalui sentuhan permukaan tercemar. Virus ini mudah berjangkit 2 hari sebelum ruam muncul sehingga semua lepuh telah kering.

Ramai kanak-kanak dijangkiti melalui sentuhan secara langsung dengan adik-beradiknya yang telah dijangkiti. Jauhkan anak anda yang dijangkiti daripada adik-beradiknya dan pastikan dia kerap mencuci tangannya agar jangkitan tidak merebak.

Acyclovir, suatu agen antivirus, hanya berkesan sekiranya diberikan pada peringkat awal jangkitan.

Cacar Air Di Kalangan Wanita Hamil dan Bayi yang Baru Lahir
Jangkitan cacar air pada peringkat awal kehamilan boleh mengakibatkan kecacatan lahir, kadar kelahiran yang rendah atau kecacatan anggota pada janin. Sekiranya ibu dijangkiti dalam tempoh 10 hari selepas melahirkan anak, bayi yang baru lahir boleh mengalami jangkitan yang boleh mengancam nyawanya. Ibu yang imun boleh melindungi bayinya daripada jangkitan dalam bulan bulan pertama bayi, kerana keimunannya boleh disalurkan kepada bayi melalui plasenta dan susu ibu. Oleh itu, menyusui anak dengan susu ibu amatlah penting!

Vaksin Varisela
Di Malaysia, vaksin varisela boleh didapati sejak tahun 1997. Ia mengandungi virus hidup varicella zoster yang telah dilemahkan. Vaksin diberikan melalui suntikan subkutan. Untuk kanak-kanak, dua dos vaksin varisela disarankan, dengan sekurang-kurangnya tiga bulan di antara dos pertama dan dos kedua.

Vaksin ini dilaporkan 95% lebih berkesan dalam mencegah jangkitan dari tahap sederhana hingga ke tahap serius. Sekalisekala, penerima vaksin masih boleh menghidap cacar air, tetapi pada bentuk penyakit yang sederhana, dengan mengalami lepuh dan gejala yang kurang.

Disarankan bagi:

  • Kanak-kanak sihat antara 12 bulan dan 12 tahun.
  • Orang yang berusia melebihi 12 tahun dan belum pernah menghidap cacar air.
  • Ahli keluarga yang tidak imun serta mempunyai sistem imun yang lemah.
  • Wanita yang tidak imun sebelum kehamilan ataupun selepasnya.
  • Mereka yang menerima vaksin hendaklah mengelak daripada kehamilan selama 2 bulan.
  • Sekiranya anda tidak imun dan berada berhampiran orang yang dijangkiti. Penyakit ini boleh dielak jika antibodi atau vaksin diberikan pada peringkat awal.

Vaksin MMR-V tetravalen boleh didapati tidak lama lagi di negara ini. Vaksin ini memberi perlindungan daripada empat penyakit – campak, beguk, rubela dan cacar air. Ia boleh mengurangkan suntikan yang diberi kepada si manja sambil memberi pencegahan kepada penyakit penyakit yang sama.

Bincang dengan doktor anda sekiranya anda mempunyai apa-apa pertanyaan berhubung dengan cacar air atau vaksin varisela.

No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)