nuffnang

15 Feb 2012

Cirit-Birit Di Kalangan Kanak-Kanak

Pemvaksinan boleh membantu bayi anda menentang punca cirit-birit

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik.

Cirit-birit boleh dikenal pasti daripada kekerapan membuang air besar dan najis cair yang berlarutan selama beberapa hari hingga seminggu. Ia boleh disebabkan oleh jangkitan bakteria seperti Shigella, Escherichia coli, dan virus seperti Rotavirus, dan juga parasit. Punca cirit-birit yang bukan disebabkan jangkitan kuman termasuk intoleransi makanan, tindak balas terhadap ubat tertentu, penyakit usus, atau penyakit lain yang membabitkan fungsi usus.

Bayi lazimnya lebih kerap membuang air besar dan najisnya lembut, lebih-lebih lagi jika menyusu ibu. Bayi baru lahir boleh membuang air besar sehingga 10 kali sehari, manakala bayi berusia 4 bulan mungkin membuang air besar 3 kali sehari. Najis bayi yang baru mula mengambil makanan pejal lebih keras. Awasi kekerapan membuang air besar yang mungkin meningkat secara tiba-tiba atau perubahan pada rupa najisnya. Jika najis nampak lebih lembut dan cair daripada biasa, si manja mungkin mengalami cirit-birit. Bayi kecil yang membuang air besar lebih daripada sekali selepas setiap kali menyusu mungkin juga mengalami cirit-birit.

Ada kalanya, cirit-birit boleh disertakan dengan muntah, demam, hilang selera makan, sakit/kejang perut atau kembung perut.


Bagaimana menjaga bayi anda
  • Tukar lampin si manja anda selepas setiap kali dia membuang air besar.
  • Sapu gel petroleum atau krim pada punggung bayi untuk melegakan kesakitan.
  • Tambah minuman dan teruskan diet biasa bayi.
  • Jika umurnya lebih 6 bulan dan bayi anda mengalami ciritbirit selama lebih 24 jam, anda boleh memberi bijirin, bubur nasi, pisang lenyek, lobak merah lenyek, kentang lenyek, dan makanan berserat tinggi yang lain.
  • Minta makanan tambahan zink daripada doktor anda. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan makanan tambahan zink untuk kanak-kanak yang mengalami cirit-birit selama 10 hingga 14 hari, semasa dan selepas ciritbirit kerana ia mengurangkan tempoh dan tahap keterukan cirit-birit.
  • Jangan beri ubat untuk menghentikan cirit-birit melainkan diarahkan oleh doktor.

Cirit-birit Rotavirus
Rotavirus adalah punca cirit-birit yang kerap dikesan di kalangan kanak-kanak bawah umur 5 tahun. Di Malaysia, 49% daripada kanak-kanak yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Besar Sarawak akibat cirit-birit dilaporkan berpunca daripada rotavirus. Hospital-hospital lain merakamkan angka 20% – 30%.

Ibu bapa boleh memainkan peranan dalam usaha mengurangkan risiko cirit-birit dan jangkitan rotavirus di kalangan bayi mereka. Pemberian susu ibu secara eksklusif sehingga bayi berumur 6 bulan disyorkan kerana ini melenyapkan risiko si manja mengambil makanan tercemar. Susu ibu juga menguatkan sistem imun bayi. Ibu bapa juga boleh memainkan peranan mereka dengan menjaga kebersihan diri dan persekitaran rumah, dan memastikan kebersihan semasa mengendalikan makanan dan air minuman.

Vaksinasi
Vaksin rotavirus boleh didapati di Malaysia sebagai vaksin opsyenal untuk bayi berumur kurang daripada 6 bulan. Vaksin ini mencegah penyakit teruk dengan meniru jangkitan semula jadi. Vaksin diberi melalui mulut, dalam 2 atau 3 dos bergantung pada pengeluar vaksin. Ia diberikan selang 4 minggu kepada bayi berumur antara 6 dan 24 minggu. Vaksin ini boleh didapati di klinik doktor swasta di Malaysia. Anda tidak perlu menghadkan pemberian makanan atau susu sebelum atau selepas vaksinasi.

Lindungi bayi anda dengan vaksin.

No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)