nuffnang

26 Dec 2011

Jangan Garu!

Cacar air bukan penyakit kanak-kanak sahaja; orang dewasa juga boleh mendapatnya!

Oleh Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik & Kardiologi

Adakah anda fikir cacar air atau cengkering adalah penyakit zaman kanakkanak yang tidak membawa mudarat dan hanya berlaku sekali seumur hidup? Meskipun penyakit virus ini paling kerap menyerang kanak-kanak berumur 6-10 tahun, sebagai orang dewasa, anda juga boleh mendapat penyakit ini, terutama sekali jika anda tidak pernah mendapatnya, atau dalam sesetengah kes, penyakit ini menyerang lagi buat kali kedua.

Jangan Garu!

Cacar air di kalangan orang dewasa

Ramai di antara kita mendapat cacar air semasa kanak-kanak, dan badan kita membina imuniti menentang cacar air sepanjang hayat. Itulah sebabnya cacar air jarang menyerang kali kedua.

Cacar air biasanya lebih serius apabila menyerang orang dewasa. Orang dewasa mendapat lebih banyak lepuh, dan parutnya lebih teruk. Walaupun jarang berlaku, cacar air di kalangan orang dewasa boleh menimbulkan komplikasi yang serius, seperti pneumonia, atau boleh membawa maut. Malah, berbanding kanak-kanak berumur 1-4 tahun, risiko orang dewasa mati akibat cacar air adalah 25 kali lebih tinggi. Kira-kira 21% daripada orang dewasa Malaysia berumur 21-40 tahun tidak pernah dijangkiti cacar air dan berisiko tinggi.

Virus varicella-zoster (VZV) menyerang lagi!

Cacar air berpunca daripada virus varicella-zoster (VZV) dijangkitinya. Meskipun badan kita membina imuniti terhadap VZV selepas serangan pertama, ini tidak bermakna virus ini lenyap daripada badan kita. Virus akan berada dalam keadaan dorman (tidak aktif), khususnya dalam sel saraf dekat saraf tunjang, lama selepas kita sembuh daripada penyakit ini semasa zaman kanak-kanak.

VZV boleh menjadi aktif semula bertahun-tahun kemudian setelah kita dewasa. Apabila virus muncul semula, biasanya dicetuskan oleh sistem imun, ia bergerak di sepanjang saraf ke permukaan kulit. Kali ini, ia menyebabkan penyakit kulit yang menyakitkan, dikenali sebagai kayap. Kemungkinan kesakitan selepas kayap juga akan berterusan setelah ruam pulih.

Adakah kayap berbahaya?

Kayap biasanya muncul hanya pada satu bahagian badan. Umumnya kayap tidak berbahaya, tetapi ia lebih menyakitkan daripada cacar air. Penyakit ini mungkin hanya menyerang selama 2-3 minggu, tetapi ia selalunya menyebabkan kesakitan saraf yang berlarutan selama berbulanbulan selepas ruam hilang. Berbeza dengan cacar air, kayap kurang berjangkit kerana ia bukan penyakit bawaan udara dan kita tidak akan mendapat virus jika orang yang menghidap kayap bernafas atau batuk berdekatan kita.

VZV masih boleh menjangkiti individu yang rentan (iaitu mereka yang belum pernah mendapat cacar air, tidak mengambil vaksin) menerusi sentuhan dengan lepuh pesakit, dan menyebabkan mereka mendapat cacar air. Sebaliknya, kita tidak akan mendapat kayap daripada orang yang dijangkiti cacar air.

Mereka yang lebih berkemungkinan mendapat kayap biasanya berumur lebih 50 tahun, kerana risiko kita mendapat kayap meningkat mengikut usia. Risiko kayap adalah lebih tinggi di kalangan orang yang mengalami masalah perubatan tertentu yang menjejaskan sistem imun (seperti kanser, HIV) atau mengambil ubat yang melemahkan sistem imun (seperti rawatan steroid atau ubat barah).

Cacar air semasa mengandung

Bagi wanita yang belum pernah mendapat cacar air, jangkitan semasa mengandung akan meningkatkan risiko komplikasi kesihatan. Jika wanita mengandung mendapat cacar air di antara 5 hari sebelum dan 2 hari selepas kelahiran boleh menyebabkan cacar air neonatal yang teruk kepada bayi. Jangkitan cacar air di antara minggu 20 dan 28 kehamilan mungkin menyebabkan jangkitan subklinikal pada janin dan berlakunya jangkitan kayap apabila anda masih muda lagi.

Cacar air kongenital boleh berlaku semasa peringkat awal kehamilan (trimester pertama hingga peringkat awal trimester kedua), yang boleh menyebabkan kecacatan bayi apabila lahir, dikenali sebagai "sindrom varisela kongenital", termasuk kurang berat badan bayi semasa lahir dan juga ketidak sempurnanya anggota, kulit dan sistem saraf. Jika ibu mendapat cacar air pada masa akhir kehamilan, bayi mungkin mendapat cacar air neonatal. Cacar air neonatal yang diperolehi dalam tempoh ini biasanya tidak teruk dan tidak membawa komplikasi, kerana antibodi secukupnya daripada badan ibu dipindahkan kepada janin, dan dengan itu risiko komplikasi ke atas janin adalah lebih rendah.

Cegah penyebaran

Tidak kira apa bentuk penyakit, sama ada cacar air atau kayap, virus ini boleh disebarkan daripada orang dewasa kepada kanak-kanak, atau sebaliknya. Selagi badan kita tidak membina daya pertahanan untuk menentang penyakit, selagi itu kita berdepan dengan risiko.

Cara terbaik untuk mencegah cacar air ialah dengan mendapatkan vaksin varisela. Kanak-kanak yang mendapat dua dos suntikan vaksin akan dilindungi daripada mendapat penyakit ini daripada orang di sekeliling mereka, seterusnya menyelamatkan mereka daripada kegelisahan dan komplikasi yang boleh dielakkan. Vaksin cacar air di kalangan orang dewasa membantu mengurangkan gejala serius dan risiko komplikasi, dan juga mengurangkan risiko jangkitan penyakit kepada kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak dilindungi. Dua dos suntikan vaksin diberikan dalam selang masa 4 minggu.

Di Malaysia, campuran vaksin yang mengandungi vaksin varisela yang digabungkan dengan vaksin campakbeguk- rubela (MMR) untuk pelalian kanak-kanak kini sudah boleh didapati. Sungguhpun suntikan vaksin cacar air bukan wajib, vaksin yang menggabungkan empat komponen ini dapat melindungi kanak-kanak daripada empat penyakit, dengan senang dan selamat dalam satu suntikan.

Dengan maklumat yang ada sekarang, kita semua boleh hentikan penularan cacar air dan kayap. Bincang dengan doktor anda berkenaan dengan vaksin varisela.

No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)