nuffnang

28 Dec 2011

Penyakit-penyakit Berbahaya

Lindungi si manja anda daripada penyakit pneumokokus yang boleh membawa maut.

Oleh Dato' Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi

Penyakit pneumokokus adalah jangkitan yang berpunca daripada bakteria Streptococcus pneumoniae, juga dikenali sebagai pneumokokus. Bakteria ini boleh menyerang pelbagai bahagian badan, termasuk otak, peparu dan telinga, menyebabkan penyakit serius di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak. Terdapat lebih daripada 90 jenis pneumokokus yang diketahui, dengan 10 jenis yang paling kerap dihidapi dan menyebabkan 62% daripada penyakit invasif di seluruh dunia.

Penyakit-penyakit Berbahaya

Apa yang boleh berlaku akibat pneumokokus?

Pneumokoki boleh menyebabkan beberapa penyakit. Umumnya, terdapat dua jenis penyakit pneumokokus: penyakit invasif dan penyakit bukan invasif.

Penyakit invasif adalah lebih serius yang berlaku di dalam organ penting, atau darah, termasuk:

Pneumonia pneumokokus

  • Penyakit pneumokokus invasif yang paling kerap dialami.
  • Bermula dengan demam, diikuti dengan rasa seram sejuk, batuk, sesak nafas, nafas kencang, sakit dada dan keletihan.
  • Jika tidak dirawat, pneumokokus boleh merebak ke bahagian badan yang lain termasuk bahagian tengah telinga, sistem saraf dan juga darah.

Bakteremia (jangkitan darah

  • Merupakan komplikasi serius yang berlaku apabila bakteria merebak dan menjangkiti darah.
  • Jika tidak dirawat, ia boleh menjejaskan fungsi organ penting yang menyebabkan kegagalan buah pinggang, jantung, dan akhirnya kejutan sepsis. Ia mengakibatkan kegagalan multiorgan dan boleh mengancam nyawa.

Meningitis (keradangan pada selaput otak dan saraf tunjang)

  • Keadaan yang amat serius di mana berlakunya keradangan pada selaput otak.
  • Pesakit selalunya menunjukkan gejala seperti sakit kepala yang teruk, muntah, demam tinggi, tengkuk kejang, sensitif kepada cahaya, keliru dan mengantuk.
  • Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi lebih serius seperti sawan, pening kepala yang lebih ketara dan koma.
  • Komplikasi jangka masa panjang termasuk kerosakan neurologi secara kekal seperti kehilangan pendengaran, kehilangan daya pertuturan dan pembelajaran, buta, kerosakan otak, serebral palsi dan epilepsi.
  • Meningitis adalah antara penyakit yang mencatat kadar kematian paling tinggi, dengan kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak bawah umur 1 tahun.

Bakteremia dan meningitis adalah penyakit yang boleh membunuh dalam masa beberapa jam. Bayi dan kanak-kanak kecil tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi mendapat penyakit ini!

Penyakit bukan invasif sebaliknya, berlaku di luar organ dan darah. Ini termasuk:

Otitis media (jangkitan bahagian tengah telinga)

  • Pesakit mungkin mengalami sakit telinga, sukar tidur, sukar mendengar atau bertindak balas terhadap bunyi, hilang imbangan, sakit kepala, demam dan lelehan daripada telinga.
  • Jangkitan otitis media yang kerap boleh menyebabkan komplikasi serius seperti kehilangan pendengaran, kelewatan perkembangan daya pertuturan dan jangkitan yang merebak ke tisu berhampiran seperti otak.

Sinusitis (keradangan sinus)

  • Pesakit mungkin mengalami sakit kepala, muka rasa tegang, tekanan, demam, lelehan hidung keruh dan kekuningan, rasa saluran hidung tersumbat, sakit tekak dan batuk.
  • Jika tidak didiagnos atau dirawat, ia boleh menyebabkan jangkitan soket mata – yang boleh menyebabkan seseorang kehilangan keupayaan untuk menggerakkan mata atau menjadi buta.

Meskipun kadar penyakit ini lebih kurang berbanding penyakit bakteremia dan meningitis, ia tetap boleh menyebabkan komplikasi serius jika tidak dirawat secara betul.

Cegah penyakit!

Sungguhpun penyakit pneumokokus boleh dirawat dengan antibiotik, besar kemungkinan ia terlalu lewat dikesan dan kebanyakan kes disebabkan penyakit pneumokokus invasif boleh dicegah dengan vaksin. Imunisasi disarankan untuk semua, kerana penyakit pneumokokus boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Bagaimana pun, terdapat kumpulan tertentu yang lebih berisiko mendapat penyakit ini, seperti:

  • Orang dewasa berusia 65 tahun dan ke atas.
  • Kanak-kanak berusia 2 bulan dan ke atas, terutama mereka yang mengalami masalah perubatan yang kronik seperti penyakit paru-paru (kecuali asma), menghidap diabetes, jantung, buah pinggang atau hati.
  • Mereka yang menghidap kanser atau mendapat jangkitan HIV, yang melemahkan sistem imun.
  • Mereka yang mengalami kegagalan fungsi limpa seperti selepas pembedahan mengeluarkan limpa untuk pesakit Thalassemia ataupun disebabkan kemalangan.

Terdapat dua jenis vaksin untuk menentang penyakit pneumokokus: vaksin polisakarida dan vaksin konjugat. Vaksin konjugat pneumokokus disarankan untuk kanak-kanak berusia 2-24 bulan, kerana mereka termasuk dalam kumpulan berisiko paling tinggi. Penggunaan vaksin polisakarida adalah untuk yang umur 2 tahun ke atas seperti yang dinyatakan.

Imunisasi adalah cara utama untuk mencegah banyak penyakit dan untuk mengelakkan kesakitan, kehilangan keupayaan dan juga kematian. Ibu bapa tidak perlu khuatir dengan kesan sampingannya yang jarang berlaku lagipun tidak serius secara semulajadi. Imunisasi adalah cara terbaik untuk menentang penyakit yang boleh membunuh atau melemahkan berjutajuta kanak-kanak dan orang dewasa sepanjang hayat mereka. Anda mempunyai pilihan untuk mengelakkan kematian dan komplikasi serius, dengan memperkasakan diri untuk menentang pneumokokus hari ini!

No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)