nuffnang

15 Feb 2012

Bantu Urus Cirit-birit Bayi Anda

Ketahui cara anda boleh mencegah bayi anda daripada mendapat cirit-birit.

Oleh Dato’ Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Pediatrik

Cirit-birit bertanggungjawab untuk 1.5 juta kematian kanakkanak di serata dunia setiap tahun, menjadikannya punca kedua utama kematian kanak-kanak di bawah usia lima tahun. Ia menyebabkan badan kehilangan banyak air dan garam, yang sangat penting untuk fungsi badan. Kematian akibat cirit-birit biasanya berlaku akibat komplikasi daripada dehidrasi dan kehilangan cecair yang teruk.

Bantu Urus Cirit-birit Bayi Anda

Pertambahan dalam kecairan, kekerapan dan pergerakan usus, boleh menandakan bayi anda sedang mengalami cirit-birit. Bayi yang diberi susu ibu sering mempunyai pergerakan usus yang cepat manakala sesetengah bayi pula mungkin berbeza akibat perubahan diet. Namun demikian, najis yang sangat cair dan berair biasanya merupakan petanda bayi anda sedang mengalami cirit-birit dan anda perlu segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Bahaya Cirit-Birit

Di kalangan bayi, cirit-birit biasanya akan datang bersama gejala seperti sakit perut, muntah, hilang selera makan, keletihan dan kurang aktif daripada biasa dan juga kurang berminat untuk menyusu. Kehilangan air dan garam yang banyak semasa cirit-birit biasanya akan menyebabkan dehidrasi. Dehidrasi yang teruk akan menyebabkan masalah kesihatan yang serius serta boleh membawa maut jika tidak diurus dengan betul. Ketahui lebih lanjut tentang artikel “Kehilangan Air” dalam isu ini yang berkenaan dehidrasi.

Rotavirus – Penyebab Lazim

Apabila dijangkiti rotavirus, bayi akan mengalami demam dan muntah secara tiba-tiba, diikuti dengan cirit-birit. Rotavirus merupakan virus berbentuk roda, yang boleh mengakibatkan gastroenteritis – punca cirit-birit yang paling lazim dalam kanakkanak berusia kurang daripada lima tahun.

Rotavirus sangat berjangkit dan mudah jangkit menerusi sentuhan orang-ke-orang melalui saluran mulut dan najis. Ia boleh dipindahkan menerusi sentuhan najis pada permukaan, lalu mencemari tangan, perabot dan objek seperti barang mainan. Tempoh inkubasi virus ini adalah sangat singkat – 1 hingga 3 hari – dan kanak-kanak sering mengeluarkan virus ini sebelum mula menunjukkan sebarang gejala. Walau bagaimanapun, rotavirus boleh hidup kurang daripada seminggu di udara, hingga berminggu-minggu pada permukaan, dan berminggu-minggu di dalam air. Tambahan lagi, ia tidak mudah dibunuh menggunakan sabun biasa.

Terdapat juga beberapa jenis virus dan bakteria lain yang boleh mengakibatkan cirit-birit di kalangan kanak-kanak. Di sini terdapat beberapa yang lebih lazim:

Virus/ Bakteria Kaedah Pemindahan Kadar Kelangsungan Hidup
Escherichia coli Pengambilan makanan tercemar – susu mentah atau daging yang tidak dimasak betul; sentuhan orangke- orang melalui saluran mulut dan najis. Tempoh inkubasi 3-8 hari, boleh bertahan selama berbulan-bulan dalam sesetengah kawasan lembap dan berair.
Vibrio cholerae Melalui saluran mulut dan najis, berlaku seiring dengan kebersihan yang tidak baik menerusi bekalan air/makanan yang tercemar. Tempoh inkubasi daripada dua jam hingga lima hari dan berada di dalam najis selama 7-14 hari selepas jangkitan.
Shigella Sentuhan langsung orang-ke-orang, pengambilan makanan/ air tercemar. Tempoh inkubasi 1-4 hari.

Cegah Cirit-birit Sebelum Berlaku

Sebagai ibu bapa, ada beberapa cara yang boleh anda ambil untuk mencegah bayi anda daripada mengalami cirit-birit.

  1. Penyusuan badan eksklusif selama enam bulan pertama bayi
    • Susu badan adalah sumber pemakanan bayi yang terbersih. Ia menyingkirkan risiko bayi daripada terambil makanan tercemar yang boleh mengakibatkan cirit-birit. Susu badan juga merupakan sumber cecair dan makanan yang terbaik jika bayi anda sedang mengalami cirit-birit kerana mampu mencegah dehidrasi dan malnutrisi.
    • Susu badan turut mengandungi faktor antimikrobial yang akan membantu meningkatkan sistem imun bayi anda, membawa kepada pemulihan yang cepat semasa sakit.
  2. Amalkan kebersihan yang baik
    • Dalam kebanyakan kes, pemindahan virus penyebab cirit-birit boleh dikurangkan menerusi penjagaan kebersihan yang baik dan betul. Sentiasa basuh tangan anda dan semua peralatan menyusu. Sterilkan peralatan menyusu dengan air panas sebelum digunakan.
    • Basuh tangan anda dengan kerap terutama sekali selepas menggunakan tandas dan setiap kali menukar lampin bayi. Pastikan persekitaran bayi sentiasa bersih dan bebas debu, termasuk cadar dan barang mainan kerana bayi cenderung memasukkan barang ke dalam mulut mereka.
    • Bersih dan disinfek semua objek yang telah tercemar. Buanglah jika perlu, terutama sekali tilam yang telah dicemari najis.
  3. Perbaiki amalan pemberian makanan pelengkap
    • Makanan pelengkap biasanya akan diberi sebagai tambahan kepada susu badan apabila bayi anda berusia enam bulan ke atas. Ini adalah suatu peralihan yang penting dan melibatkan pengendalian makanan yang betul bagi mengelakkan pencemaran. Pastikan makanan dan susu sentiasa segar, dimasak dengan betul dan tidak dibiarkan pada suhu bilik melebihi satu jam.
  4. Perlindungan imunisasi
    • Di Malaysia, vaksinasi untuk rotavirus merupakan vaksin pilihan untuk bayi di bawah usia enam bulan. Vaksin ini diambil secara oral, samada dalam 2 atau 3 dos, dan akan membantu bayi menghadapi jangkitan virus ini dengan kesan yang tidak teruk. Dapatkan nasihat pakar pediatrik anak anda bagi mengetahui lebih lanjut tentang vaksin ini.

Cirit-birit adalah penyakit yang mudah dicegah. Anda hanya perlu membekal dan mengekalkan kebersihan yang baik serta memastikan anak anda terlindung menerusi kaedah lain seperti penyusuan badan secara eksklusif dan vaksinasi.

No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)