nuffnang

5 Jan 2012

Jangan Menangislah, Sayang

Oleh Prof Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik

-

Bayi pada lazimnya menangis. Namun, ada di antara mereka yang menangis dengan lebih kerap, lebih kuat dan untuk masa yang lebih lama daripada apa yang anda boleh tahan. Jika bayi anda bersifat begini, soalan-soalan di bawah mungkin akan menolong anda mengenalpasti sebabsebabnya.

Soalan # 1:
Adakah bayi berasa tidak selesa?

J: Tukarkan lampin bayi sekiranya ia basah. Jika anda nampak tanda-tanda merah pada punggung bayi, kemungkinan ia adalah ruam lampin. Tanggalkan lampin, bersihkan bayi dan biarkan beliau tidak memakai lampin untuk sehari dua. Bawa si manja anda berjumpa dengan doktor jika ruam berterusan. Keadaan yang terlalu sejuk atau panas juga boleh menyebabkan bayi menangis. Jika si manja berpeluh dan berasa panas, biarlah dia memakai pakaian yang nipis. Jika badannya terasa sejuk, panaskan badan si manja dengan selapis pakaian lagi atau bedungnya dengan menggunakan selimut.

Soalan # 2:
Adakah bayi dalam kesakitan?

J: Kesakitan pasti akan menyebabkan bayi menangis. Bayi yang memakai lampin kain kadang kala tercucuk dengan pin. Lampin pakai-buang pula boleh mempunyai tepi yang kasar yang boleh menyebabkan
kesakitan pada bayi.

Soalan # 3:
Adakah Bayi Lapar?

J: Ini merupakan satu daripada sebab asas kenapa bayi menangis. Jika anda belum dapat mengenali tangisan yang menandakan bahawa dia lapar, cuba susukannya. Bayi akan menyusu jika dia lapar.


Soalan # 4:
Adakah perasaan bayi berubah?

J: Bayi mungkin akan menangis apabila keadaan perasaannya berubah akibat dikejut dari tidur, dimandikan walaupun tidak mahu, dan sebagainya. Mendukung dan menyanyi kepadanya boleh mengembalikan keadaan perasaan seperti sedia kala.

Soalan # 5:
Adakah ini sifat semulajadi bayi?

J: Bayi yang ‘susah dijaga’ biasanya menangis dengan mudah kerana cepat naik marah atau tidak selesa dengan perubahanperubahan. Jika anak anda seorang bayi yang ‘susah dijaga’, bersabarlah bila dia merungut. Jika bayi memerlukan masa yang lebih lama untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru, dia mungkin mempunyai sifat ‘lambat panas’ (slow-to-warmup). Perkenalkan perubahan-perubahan secara beransur-ansur dan berikan masa untuk menyesuaikan dirinya. Jika bayi senang untuk ditenteramkan dengan memenuhi keperluannya, dia mungkin bersifat ‘mudah dijaga’. Jika bayi lapar, susukannya. Jika dia menangis semula selepas makan, periksa sama ada kain lampinnya sudah basah atau kotor.

Soalan # 6:
Adakah bayi mengalami kolik?

J: Jika perut bayi kembung dan dia mengangkat kakinya dan melepaskan angin sambil menjerit untuk beberapa jam pada satu masa (biasanya di antara pukul 6.00 petang dan 12.00 tengah malam), dia mungkin mengalami kolik. Sehingga 28 peratus bayi mengalami keadaan ini dan biasanya ia berlaku semasa minggu ke 2 hingga 6 selepas dilahirkan. Selagi bayi boleh berhenti meragam selepas beberapa jam dan bertenang sepanjang hari, anda tidak perlu terlalu risau. Tingkahlaku bayi yang mengalami kolik biasanya bukanlah satu tanda penyakit (seperti hernia, intususepsi atau jangkitan air kencing) dan tidak membawa kesan yang berterusan ke atas bayi. Namun, tidaklah mudah untuk mententeramkan bayi yang mengalami kolik walaupun ada cara-cara yang boleh dicuba. Lebih kurang 85 peratus kes kolik berakhir ketika bayi berumur kira-kira 3 bulan.

Soalan # 7:
Adakah bayi sakit?

J: Bayi akan menangis secara tidak berhenti sekiranya dia sakit. Bunyi tangisannya mungkin berbeza daripada biasa. Jika bayi demam, muntah atau mengalami cirit-birit, bawakan dia berjumpa dengan doktor dengan segera.

MENGATASI MASALAH KOLIK

  1. Apabila bayi mengalami kolik, cuba dukung bayi dan dakapkan perutnya pada dada anda, atau dukung beliau dengan menggunakan barut. Anda juga boleh baringkan bayi supaya perutnya menghadap ke bawah (meniarap) dan urut belakangnya dengan perlahan-lahan. Cuba juga letakkan bayi di mana dia boleh mendengar bunyi berentak stabil.

  2. Jika keadaan bayi menyebabkan anda berasa runsing, jumpa doktor supaya dia boleh memastikan bahawa tidak ada sebab-sebab perubatan yang menyebabkan bayi menangis.

  3. Seperti ditunjukkan oleh kajian, dukung bayi dengan lebih kerap pada waktu siang kerana ia mungkin mengurangkan kolik atau meragam pada waktu petang.

  4. Jika anda merokok, berhentilah. Ahli-ahli penyelidik dari Denmark telah mendapati bahawa jika ibu merokok lebih daripada 15 batang rokok sehari semasa mengandung atau selepas melahirkan anak, peluang bayi untuk mendapat kolik adalah 2 kali ganda berbanding bayi yang ibunya tidak merokok.

  5. Jika bayi diberi susu ibu, ada kemungkinan bayi sensitif kepada sesuatu makanan di dalam diet anda. Elakkan produk tenusu, kafein, bawang, kobis dan lain-lain makanan yang mungkin disyaki. Jika kolik berlaku akibat sensitiviti terhadap makanan, ia akan berkurangan dalam sehari dua selepas anda mengubah pemakanan anda.

  6. Elakkan dari memberi jus buah-buahan kepada bayi sebelum dia berumur 6 bulan. Sesetengah bayi yang berumur 4 hingga 6 bulan dan pernah mengalami kolik didapati lebih mudah mengalami kembung perut, ketidakselesaan dan gangguan semasa tidur selepas meminum jus epal dan jus pir.

  7. Jangan sekali-kali menggoncang-goncang bayi kerana ia boleh menyebabkan pendarahan dalam otak, buta dan juga maut.

  8. Jika tangisan bayi menyebabkan anda berasa tegang, marah atau cemas, berikan bayi kepada orang lain untuk menjaganya dan keluar dari rumah. Walaupun hanya sejam atau dua ia akan membantu anda mengekalkan sikap yang positif.

  9. Jika bayi anda boleh menyebabkan anda tidak dapat mengawal perasaan marah, apatah lagi seorang pengasuh dan pembantu rumah. Pastikan anda menasihati pembantu anda tentang bahaya sindrom menggoncang bayi.
URUT UNTUK BAYI YANG LEBIH CERIA
Disamping mendukung atau menepuk bayi, anda juga boleh mengurutkan bayi untuk menenangkannya apabila dia kelihatan mahu menangis. Urutan dapat merehatkan bayi, melegakan kesakitan dan meningkatkan fungsi pencernaan. Ia juga meningkatkan kesihatan bayi secara keseluruhannya dengan meningkatkan peredaran darah di samping membantu penyerapan nutrien dan peningkatan berat badan.

No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)