Memahami keperluan untuk mengambil anak angkat dan tanggungjawab yang menyusulinya.
Dr Anjli Doshi-Gandhi, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.
Terdapat banyak sebab orang memilih untuk mengambil anak angkat. Sebab paling penting ialah ketiadaan upaya untuk mendapat anak sendiri (ie kesuburan atau masalah perubatan yang menghalang kehamilan yang selamat).
Jika anda bercadang untuk mengambil anak angkat, anda hendaklah memahami keperluan dan tanggungjawab yang dibawakan oleh keputusan anda. Ini adalah untuk memastikan anda dapat memberikan kehidupan keluarga yang stabil dan sihat.
Pengambilan anak jagaan
Di Malaysia, pasangan yang ingin mengambil anak angkat perlu menjadi penjaga kanak-kanak atau ibu bapa pelihara selama 2 tahun sebelum dibenarkan menjadi ibu bapa angkat yang sah. Pengambilan anak jagaan memberikan tempat tinggal sementara kepada anak yang sedang dalam krisis, contohnya ibu bapa sebenar tidak dapat menjaga anak mereka. Ibu bapa jagaan adalah bukan ibu bapa sah kepada anak tersebut. Permohonan untuk mengambil anak jagaan boleh dibuat melalui Pejabat Kebajikan Daerah yang berdekatan dengan keperluan berikut:
- Pasangan mestilah warganegara Malaysia, berumur antara 25 hingga 60 tahun.
- Pasangan yang sah berkahwin sekurangkurangnya 5 tahun.
- Bagi pasangan yang lebih berusia yang berkahwin kurang daripada 5 tahun, adalah dibenarkan mengambil anak jagaan hanya sekiranya ada masalah kesuburan, komplikasi pada kesihatan kesuburan atau perkahwinan lewat yang menyebabkan kesukaran mengandung.
- Orang perseorangan lelaki hanya boleh memohon untuk mengambil anak jagaan lelaki sahaja, manakala orang perseorangan wanita boleh memohon untuk mengambil anak jagaan lelaki dan perempuan.
- Pasangan haruslah berada dalam keadaan kesihatan yang baik dari segi fizikal dan mental.
- Pasangan mestilah mempunyai hubungan yang baik dan kestabilan segi kewangan, supaya mereka dapat memberikan kehidupan keluarga yang stabil.
- Pasangan tidak mempunyai rekod jenayah.
- Pasangan mampu untuk memberikan persekitaran yang sihat untuk perkembangan dan pembesaran anak tersebut.
- Pasangan menganut agama yang sama dengan anak tersebut.
Pengambilan anak angkat
Pengambilan anak angkat adalah menjadi ibu bapa kepada anak yang tidak boleh tinggal bersama dengan ibu bapa sebenar mereka. Ibu bapa angkat mendapat hak dan tanggungjawab sebagai ibu bapa sebenar. Proses pengambilan anak angkat boleh dibuat selepas 2 tahun di bawah Akta Pendaftaran Pengambilan Anak Angkat 1952 melalui Jabatan Pendaftaran (untuk pasangan muslim dan juga bukan muslim), atau 3 bulan di bawah Akta Pengambilan Anak Angkat 1952 melalui mahkamah (untuk pasangan bukan muslim sahaja).
Angka & Fakta |
Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia |
Cabaran
Sebagai ibu bapa pelihara atau ibu bapa angkat, anda perlu memberikan kasih sayang dan penjagaan yang sewajarnya kepada anak tersebut, memberi perhatian kepada keperluan fizikal, emosi dan pembelajarannya, serta memastikan keselamatan tempat tinggal. Anda perlu membimbing dan membantu perkembangan anak tersebut. Di samping itu, anda mungkin terpaksa berdepan dengan isu emosi, tingkah laku, atau isu perubatan yang mungkin ada kaitan dengan pengalaman kanak-kanak pada masa lepas, seperti penderaan, pengabaian dan perpisahan.
Ada kalanya anda mungkin terpaksa berdepan dengan kenyataan atau pertanyaan sensitif daripada orang lain berhubung dengan pengambilan anak angkat. Bagaimanapun, secara keseluruhannya, amalan mengambil anak angkat kini semakin diterima oleh masyarakat.
Ibu bapa pelihara atau ibu bapa angkat menghadapi banyak cabaran yang biasanya tidak dihadapi oleh ibu bapa kandung. Banyak yang perlu dipelajari dan ditangani mereka. Namun, keseronokan membesarkan anak angkat tak ubah seperti membesarkan anak sendiri.
No comments:
Post a Comment