Peraturan dan disiplin perlu dipatuhi semua; bukan kanak-kanak sahaja!
Oleh Dr M Swamenathan, Pakar Perunding Psikiatri
Adakah anda sering pening kepala akibat Si Cilik anda berumur 3 tahun enggan mendengar kata? Dia enggan mengemas barang mainan, pergi mandi dan langsung tidak mahu makan sayur-sayuran tidak kira bagaimana anda memujuknya! Ibu bapa merupakan model terbaik untuk anak mereka kerana kebanyakan kanak-kanak akan mengikut konsep "Bapa borek, anak rintik". Jadi, anak anda mungkin mendapat kedegilannya daripada ibu atau bapanya!
Bapa Borek, Anak Rintik
Secara amnya, kanak-kanak akan membesar mengikut jejak langkah ibu bapa mereka. Ibu bapa merupakan model peranan anak daripada saat mereka dilahirkan, jadi sebab itulah penting bagi ibu bapa untuk menanam tabiat baik daripada usia awal. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa kanak-kanak dengan ibu bapa yang merokok berkemungkinan besar menjadi perokok. Begitu juga dengan kanak-kanak yang dibesarkan dengan keganasan rumah tangga akan lebih berkemungkinan membesar menjadi seorang yang suka bermusuhan serta agresif.
Selain itu, pastikan anda tidak memilih dan sebaliknya makan semua jenis sayuran kerana ini akan mengajar anak anda untuk menghabiskan semua sayuran hijau mereka, sama ada mereka suka atau tidak.
Pemodelan peranan
Sebenarnya, pemodelan peranan boleh menjadi alat yang amat efektif jika ibu bapa tahu menggunakannya dengan betul. Ibu bapa sering bercakap tentang mendisiplinkan anak mereka, tetapi mereka sendiri gagal mendisiplinkan diri sendiri. Ibu bapa perlu kuat berusaha dan kawal diri jika ingin menjadi contoh teladan yang baik kepada anak mereka.
Kanak-kanak akan lebih cenderung menghormati dan mematuhi ibu bapa yang mengamalkan apa yang mereka ajar. Jika anda mahu mereka mengemas dan membersihkan sesuatu, maka anda sendiri perlu mengemas dan membersihkan persekitaran anda.
Cuba dengar diri sendiri
Adakah anda sering memberitahu anak anda untuk membuat sesuatu yang anda sendiri enggan buat? Bagaimana anak anda hendak mendengar cakap anda jika anda sendiri tidak berbuat demikian? Sebenarnya, kanak-kanak cukup peka dan bijak untuk menyedari ibu atau bapa mereka hanya mengomong kosong atau benar-benar mengamalkan apa yang diajar. Di sini ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan apabila ingin anak berkelakuan baik:
- Buatlah seperti yang dikatakan: Tindakan lebih bermakna daripada katakata; oleh yang demikian, tindakan anda akan lebih mempengaruhi anak anda berbanding kata-kata anda. Cuba lakukan sendiri apa yang anda ingin mereka lakukan. Ini akan memastikan anak anda meneladani anda dan akan lebih berkesan daripada menggunakan ugutan atau ganjaran.
- Peraturan untuk semua: Peraturan rumah, seperti mengemas dan menjaga kebersihan patut diamalkan semua dan bukannya anak sahaja. Ini mengajar anak anda untuk menghormati serta mematuhi peraturan, dan akhirnya akan melaksanakannya secara sukarela dan bukan kerana takut.
- Kepimpinan melalui teladan: Mungkin agak sukar bagi kanak-kanak kecil untuk memahami konsep seperti peradaban atau hormat. Satu cara untuk mengajar anak anda adalah dengan sentiasa beradaban baik dan hormatkan orang lain apabila berinteraksi!
- Kekeliruan emosi: Kanak-kanak mudah keliru tentang emosi. Mereka mungkin sangka anda tidak sayangkan mereka lagi apabila marahkan mereka. Jelaskan dan pastikan mereka faham bahawa walaupun anda marah pada mereka apabila berbuat sesuatu yang salah, namun anda masih sayangkan mereka.
Kenal pasti semua perkara positif yang boleh anda jadikan contoh kepada anak anda, seperti menghormati diri dan orang lain, kesabaran, murah hati, baik hati dan disiplin diri. Tanamkan tabiat baik seperti makan secara sihat, membaca untuk mengembangkan pengetahuan serta bersenam untuk kesihatan fizikal dan mental. Pastikan anak anda nampak anda melakukan semua ini kerana mereka akan percaya apa yang mereka lihat dan berkeinginan mengamalkannya!
No comments:
Post a Comment