nuffnang

24 Dec 2011

Kebaikan Khasiat Telur!

Kaya dengan nutrien dan serba guna di dapur
Oleh Profesor Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan

Kebanyakan orang mengaitkan telur dengan kolesterol. Memang telur mengandungi kolesterol, tetapi jika dijadikan sebahagian daripada diet rendah lemak yang sihat, kemungkinan besar ia tidak menaikkan tahap kolesterol. Hakikat yang lebih penting ialah telur mempunyai nilai pemakanan yang tinggi, lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak. Khasiat kebaikannya kepada kesihatan jauh melebihi kemudaratan.

Telur membentuk sebahagian daripada Piramid Panduan Makanan untuk Kanak-Kanak. Ia dikategorikan sebagai makanan protein tinggi yang sebaris dengan ikan, daging, ayam dan kacang. Selain membekalkan protein, telur juga kaya dengan nutrien yang diperlukan oleh kanak-kanak.

Mengapa Telur?

  • Rendah kalori dan lemak
  • Mengandungi Vitamin A, yang penting untuk penglihatan, pertumbuhan sel amnya dan untuk kesihatan kulit
  • Mengandungi zat besi, vitamin B, vitamin D, mineral dan asid amino yang penting
  • Sumber kolina, nutrien penting yang membantu mengawal otak, sistem saraf dan sistem kardiovaskular

Terdapat banyak cara anda boleh menyediakan sajian telur yang lazat seperti telur rebus, sandwic telur, telur dadar atau ditambah dalam nasi goreng. Anda juga boleh mencuba resipi berikut:

Telur Dalam Poket

Masa penyediaan: 20 minit
Hidangan: Untuk 4 orang

Ramuan
4 biji telur
1/4 cawan susu
1/3 cawan bawang besar, dicincang
1 cawan daun bayam, dicincang
Garam dan lada sulah secukup rasa
1/2 cawan keju cheddar kurang lemak
2 keping roti pita gandum penuh, dipotong dua

Cara Menyediakan

  1. Pukul telur bersama susu, bawang, bayam dan garam dan lada sulah secukup rasa.
  2. Panaskan kuali tidak melekat hingga suhu sederhana tinggi. Tuangkan adunan telur ke dalamnya.
  3. Kacau telur hingga separuh pejal tetapi masih lembap.
  4. Sebelum telur pejal, masukkan keju dan hangatkan sehingga keju cair.
  5. Buka potongan separuh pita dan isi 1/4 adunan telur ke dalamnya.
  6. Hidangkan semasa panas.
Kandungan nutrien setiap hidangan

Kalori : 216 kcal
Protein : 16 g
Lemak : 8 g
Kolesterol : 200 mg
Kalsium : 185 mg


No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)