Sarapan merupakan salah satu daripada sajian terpenting bagi anak anda.
Pakar pemakanan menyarankan semangkuk bijirin yang diperkuat untuk sarapannya.
Tetapi adakah bijirin benar-benar baik untuk anak anda?
Mari ketahui dengan lebih lanjut.
Oleh Prof Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan
|
Seperkara yang perlu diingat bila memilih bijirin ialah jangan biarkan anak anda membuat pilihan atau keputusan terakhir. Syarikat bijirin sudah bijak mengiklankan jenama mereka menerusi televisyen dengan menggunakan watak kartun untuk menarik perhatian kanak-kanak. Sudah tentulah anak anda akan memilih jenama yang mereka minati kerana khasiat dan kebaikan bijirin bukanlah perkara yang penting bagi mereka. Di samping itu, anak anda juga mungkin memilih bijirin yang paling lazat, yang biasanya paling manis dan mengandungi paling banyak gula. Satu cara yang baik untuk menambah khasiat ialah dengan menambah buah-buahan seperti pisang atau epal ke dalam bijirin tanpa gula untuk melazatkannya dan memberikan pelbagai rasa. Tahap kandungan gula dalam jenama bijirin yang berlainan adalah berbeza. Sebenarnya, berapa banyakkah gula yang terdapat dalam bijirin anda? Ingatlah: lima gram gula adalah bersamaan dengan satu sudu teh. Jadi, pilih bijirin yang mengandungi kurang daripada lima gram gula tetapi diperkaya dengan vitamin dan zat galian. Jangan percaya seratus peratus tuntutan yang dibuat oleh pengilang bijirin. Label pemakanan di kotak bijirin merupakan sumber maklumat kesihatan yang paling penting. Belajar untuk membaca label pemakanan supaya anda boleh memahami kandungannya. Juga, pastikan jumlah serat makanan yang terkandung di dalam bijirin sarapan yang dipilih. Akhir sekali, perkara yang perlu diingati bila memilih bijirin yang lebih sihat untuk anak anda ialah: tanya diri anda sama ada ANDA SENDIRI akan memakannya. Jika jawapannya tidak, besar kemungkinan anak anda juga tidak mahu memakannya. |
No comments:
Post a Comment