nuffnang

30 Sept 2011

Tujuh sebab bayi menangis dan bagaimana menenangkan mereka Ditulis untuk BabyCenter Malaysia


Apakah sebabnya bayi menangis?

Semua bayi menangis pada masa-masanya. Mereka perlu menangis. Bayi baru lahir yang sihat pun akan menangis juga sebanyak satu hingga tiga jam sehari. Disebabkan mereka tak dapat membuat sebarang apapun untuk diri sendiri, bayi bergantung kepada orang lain untuk memberi mereka makanan, kepanasan dan keselesaan yang mereka perlukan. Tangisan adalah cara bayi memberitahu salah satu daripada keperluan itu.

Sebagai ibu atau bapa baru, ada masanya anda mendapati sukar untuk menentukan apakah yang diperlukan bayi - adakah dia lapar, sejuk, haus, bosan atau mahu dipeluk? Di hari-hari awal, apabila anda belum lagi tahu bagainama untuk menentukan keperluan bayi anda, tangisan ini boleh membuat anda rasa bimbang. Namun begitu, lambat laun anda akan mula mengecam gaya tangisan bayi anda yang berlainan dan, setelah anda lebih mengenalinya, akan dapat mendahului keperluannya.

Semasa membesar, bayi juga akan mempelajari lain-lain cara untuk berkomunikasi dengan kita. Mereka menjadi lebih cekap menyatakan sesuatu dengan menggunakan mata, membuat bunyi-bunyian, dan juga dengan senyuman, semuanya mengurangkan keperluan untuk menangis. Sebab-sebab biasa bayi menangis disenaraikan di bawah. Jika anda mempunyai bayi yang susah untuk ditenangkan, cubalah panduan ini satu persatu. Dengan cara ini, anda akan terasa senang hati sebab anda telahpun cuba memenuhi keperluan dia seberapa banyak yang boleh.

1. Saya perlukan makanan
Kelaparan adalah sebab utama bayi baru menangis. Lebih muda bayi itu, lebih kemungkinan dia menangis sebab dia lapar. Pengecualian kepada ini ialah pada masa sehari dua selepas kelahiran, apabila bayi makan amat sedikit. Jika anda mengamalkan penyusuan badan, anda mungkin sedar akan perkara ini, sebab susu terawal kolostrum yang sangat pekat dikeluarkan dalam jumlah yang sedikit dan anda juga sedar bahawa susu "mula datang" sekitar hari ketiga. Perut bayi yang kecil tidak dapat menyimpan begitu banyak, jadi, jika bayi anda menangis, cuba berikan dia susu, sebab besar kemungkinannya dia lapar. Dia tidak akan berhenti menangis dengan serta merta, tetapi teruskan penyusuan jika dia mahu, dan dia akan mula bertenang apabila perutnya terisi. Walau bagaimanapun, jika bayi anda sudah disusukan dan dia masih menangis, mungkin dia menyatakan keperluan seterusnya.

2. Saya perlukan keselesaan
Bayi sudah tentu akan membantah jika baju mereka terlalu ketat atau jika lampin kotor mengganggu mereka. Setengah bayi tidak membantah jika lampin mereka penuh - ia cuma terasa panas dan selesa bagi mereka - manakala yang lain akan menjerit dan minta ditukarkan dengan serta merta, terutama sekali jika kulit mereka terasa jengkel. Memeriksa lampin bayi dan menukarkannya mungkin akan memenuhi keperluan dia, jadi memang elok mencuba. Ia juga memberi peluang untuk anda memeriksa yang lampinnya tidak terlalu ketat atau tiada perkara lain bersabit pakaiannya yang membuatkan dia tidak selesa.

3. Saya perlu nyaman dan selesa - tidak terlalu panas atau sejuk
Setengah bayi baru lahir tidak suka ditukarkan lampin atau dimandikan - mereka tidak biasa merasakan udara menyentuh kulit mereka dan lebih suka dibalut panas. Jika bayi anda seperti ini, anda akan cepat tahu bagaimana hendak menukarkan lampin dengan segera supaya bayi anda boleh bertenang semula. Namun begitu, berhati-hatilah supaya tidak memakaikan terlalu banyak lapis baju, sehingga dia akan terlalu panas. Satu petua ialah dengan mengingatkan yang dia memerlukan satu lapis pakaian lebih daripada anda untuk selesa.

Jika dia berada di kot atau raga pembawanya, cuba gunakan cadar atau selimut berlubang-lubang sebagai kain penutup bukan duvet untuk membolehkan anda menambah atau membuangkan satu lapisan apabila perlu. Anda boleh memeriksa samada bayi anda terlalu panas atau sejuk dengan merasa perutnya: jika dia terasa terlalu panas, buangkan satu lapisan selimut, jika dia sejuk, tambah satu. Jangan berpandu kepada suhu tangan atau kakinya, sebab adalah normal bagi kaki dan tangan terasa agak sejuk. Memang mudah untuk membeli termometer di Malaysia (kebanyakan farmasi menjualnya) dan anda boleh menggunakannya untuk mengambil suhu badan bayi anda jika kurang pasti. Kekalkan suhu di bilik bayi anda pada 24 darjah C / 75.2 darjah F, dan letakkan dia menelentang dengan kaki di hujung kot supaya dia tak boleh turun bergeliang geliut sehingga tenggelam di bawah selimut dan menjadi terlalu panas.

4. Saya perlu dipeluk
Setengah bayi sangat perlu dipeluk dan dimanjakan. Bayi yang lebih tua akan menjadi tenang jika dia boleh nampak anda dan mendengar suara anda dalam bilik, tetapi, bayi baru lebih memerlukan sentuhan fizikal untuk menjadi selesa. Jika anda telah memberi bayi makan dan menukar lampinnya, anda akan dapati bahawa sekarang dia hanya mahu dipeluk. Setengah ibu dan bapa bimbang bayi mereka akan menjadi terlalu manja jika dia didukung berlebihan, tetapi semasa bulan-bulan pertama kehidupannya, perkara ini tidak mungkin. Separuh bayi tidak perlu terlalu banyak sentuhan fizikal, manakala yang lain mahu dipeluk hampir sepanjang masa. Jika bayi anda perlu banyak didukung, anda mungkin mahu mencuba gendongan bayi, yang membenarkan bayi anda rapat dengan anda dan membebaskan tangan anda untuk menjalankan kerja lain; ini mungkin penyelesaian yang akan membuat anda berdua bahagia.

5. Saya perlukan rehat
Memang senang untuk menyangkakan yang bayi akan tertidur apabila mereka terasa nak tidur, di manapun mereka berada, sebab kebanyakan bayi berbuat demikian. Tetapi, jika bayi anda telah mendapat terlalu banyak perhatian - mungkin hari itu sibuk dan ramai pelawat datang ke rumah - dia mungkin terlalu terangsang dan mendapati sukar untuk "tutup suis" dan bertenang. Bayi baru lahir mendapati sukar untuk mengurus rangsangan yang terlalu banyak pada satu-satu masa - cahaya lampu, bunyi bising, di hulurkan dari seorang saudara tersayang kepada yang lain - hingga boleh menjadi gelisah. Ramai ibubapa mendapati bayi menangis lebih dari biasa apabila suadara mara datang melawat, atau apabila petang menjelma. Jika tidak ternampak sebab spesifik bayi anda menangis, dia mungkin cuba memberitahu anda, "Saya dah tak tahan lagi". Jika anda bawa dia ke tempat yang tenang dan senyap, kurangkan ransangan secara perlahan, dia mungkin akan mengeskspresikan perasaannya dengan menangis sekejap sebelum betenang dan terus dapat tidur.

6. Saya perlukan sesuatu untuk membuat saya rasa lebih sejahtera
Jika anda telahpun memberi bayi makan dan memastikan dia selesa, tetapi dia masih terus menangis, anda mungkin tertanya-tanya samada dia sakit atau mengalami kesakitan. Mereka, ibubapa buat pertama kali, sering mendapati sukar untuk mengetahui samada bayi menangis sebab dia sebenarnya seorang yang bersifat sedih (separuh bayi begitu, dan mereka mengambil masa yang panjang untuk menyesuaikan diri untuk hidup di dunia) atau samada memang ada sesuatu yang tak kena. Bayi yang sakit lazimnya menangis dengan suara yang berlainan daripada tangisan biasa - ianya mungkin berbunyi cemas atau nyaring. Begitu juga dengan bayi yang sering menangis; sekiranya dia mula berdiam ini mungkin petanda yang dia kurang sihat. Yang paling penting untuk diingati ialah tiada siapa yang mengenali bayi anda seperti anda sendiri. Jika anda rasakan mungkin ada masalah tertentu, hubungilah ahli pediatrik atau doktor keluarga anda. Ahli kesihatan profesional lazimnya akan mempertimbangkan kebimbangan anda secara serius, dan anda akan merasa lebih tenang jika diberitahu tiada sebab fizikal bayi anda menangis. Anda mestilah memanggil doktor jika bayi anda mengalami kesesakan nafas apabila dia menangis, atau jika tangisan diikuti dengan:Lihat artikel kami tentang bila harus memanggil doktor untuk panduan lanjut.

7. Saya perlukan sesuatu ... tetapi saya tak tahu apa yang saya mahu
Kadangkala anda mungkin tidak dapat menduga apakah masalahnya apabila bayi anda menangis. Ramai bayi baru lahir melalui masa-masa bilamana dia meragam dan tidak senang untuk dipujuk. Ketidak gembiraan boleh berbeza antara tangisan yang berlanjutan beberapa minit dan tidak boleh dipujuk kepada tangisan beberapa jam pada satu-satu masa, tangisan yang tak berhenti-henti yang kadangkala dikenali sebagai kembung kolik. Kolik didefinisikan sebagai tangisan yang tidak dapat ditenangkan yang berlalu selama sekurang-kurangnya tiga jam sehari, tidak kurang dari tiga hari dalam seminggu. Ramai ibubapa mendapati sukar untuk menguruskan bayi yang menghidap kolik, dan keadaan itu boleh menyebabkan ketegangan bagi seluruh keluarga. Tiada rawatan ajaib bagi kolik, tetapi keadaan itu tidak akan berlanjutan lebih dari tempoh tiga bulan. Jika anda sentiasa boleh mengingatkan bahawa keadaan bayi anda itu akan pulih apabila dia membesar, itu mungkin membantu.

Anak saya sedang menangis - apa harus saya lakukan?

Ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk cuba menenangkan bayi yang menangis. Tidak semuanya berkesan untuk semua bayi, jadi anda perlu memahami bayi anda sedikit demi sedikit untuk mengetahui apa yang sesuai baginya dan bagi anda.

Selimutkan dia dan peluk dengan rapi
Bayi baru lahir menunjukkan kegemaran untuk rasa rapat dan selamat, sama seperti masa di dalam rahim, jadi anda mungkin mahu cuba membedungkan bayi anda dengan selimut dan memerhatikan samada dia suka dibedung. Ramai ibu dan bapa juga mendapati bahawa memeluk bayi rapat, terutama sekali apabila bayi boleh mendengar denyutan jantung ibubapa, atau meletakkan bayi dalam gendongan menyamankan. Bayi lain mendapati bedung terlalu menyekat dan lebih sukakan lain cara untuk ditenteramkan seperti dibuai atau dinyanyikan.

Dapatkan ritma yang teratur
Dalam rahim, bayi anda boleh kedengaran denyutan jantung anda: itu satu sebab bayi masih suka dipeluk rapi. Walau bagaimanapun, lain bunyi yang teratur dan berulang boleh juga mendatangkan kesan tenteram. Anda boleh cuba memainkan muzik yang lembut atau menyanyi senandung buaian. Ramai ibubapa mendapati yang bayi mereka boleh mendengar ritma mesin basuh kain yang teratur atau bunyi bercorak 'hingar putih' yang dihasilkan oleh pembersih vakum atau pengering rambut, yang akan menidurkan dia dalam sedikit masa. (Jangan sekali-kali meletakkan bayi anda di atas mesin basuh atau pengering kain - bila-bila masapun, letakkan dia atas lantai berdekatan dengan mesin itu.)

Buai-buaikan bayi
Kebanyakan bayi suka dibuai perlahan, dan anda akan mendapati bahawa bayi anda akan bertenang akibatnya, samada anda berjalan-jalan sambil menghayunkan dia atau duduk dengannya atas kerusi goyang. Buaian khas bayi boleh menenangkan setengah bayi, tetapi bayi lain lebih selesa dengan keadaan yang lebih pantas dan akan tidur sebaik saja mereka dibawa berjalan dalam kereta.

Cubakan urutan
Memberi bayi anda urutan atau menggosok belakang atau perutnya dengan perlahan boleh membantu menenangkan dia. Jika dia ternampak seakan-akan kesakitan disebabkan angin, cuba menyusukan dia dalam posisi tegak dan menepuk dia selepas penyusuan dengan menyandarkan dia di bahu anda. Bayi yang menghidap kolik kadangkala terasa reda jika perut mereka digosok, dan anda pun akan berpuas hati sebab sekurang-kurangnya telah mencuba membantu bayi yang cemas.

Biarkan dia menghisap sesuatu
Bagi setengah bayi baru lahir, dorongan untuk menghisap amat kuat dan menghisap puting atau jari (yang bersih) atau ibu jari boleh mendatangkan ketenangan yang banyak. "Hisapan penyelesa" boleh mengaturkan kadar denyutan jantung bayi, merelakskan perutnya dan membantu dia bertenang.

Jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap diri anda
Bayi yang menangis tidak berhenti-henti tidak akan memudaratkan dirinya dalam jangka masa panjang, tetapi mungkin menyebabkan banyak stres dan kebimbangan bagi ibubapanya. Jika bayi anda kelihatan tidak gembira berada di sini dan menolak sebarang usaha anda untuk menceriakan dia atau menenangkan dia, ini akan menyebabkan anda merasa tidak disayangi selain kecewa. Ibubapa sering menyalahkan diri sendiri, merasakan yang ketidakcekapan mereka sebagai ibibapalah yang menyebabkan tangisan itu, tetapi ini bukan hakikatnya. Jika anda sudah pasti keperluan bayi anda telah dipenuhi, dan tiada perkara fizikal yang menyebabkan bayi anda menangis, dan jika anda telah mencuba segalanya untuk menenangkannya tetapi tiada yang berhasil, sudah tiba masanya bagi anda menjaga diri sendiri supaya anda tidak terasa tertewas. Di sini diberikan beberapa cadangan:

• Tarik nafas panjang.

• Letakkan bayi anda di satu tempat buat sementara dan biarkan dia menangis untuk seketika tanpa didengari oleh anda.

• Jika membantu, mainkan muzik yang nyaman dan relakslah sendiri untuk 10 minit.

• Panggil kawan atau saudara untuk mendapatkan sokongan. Berehatlah buat sementara dan biarlah orang lain menjaga bayi anda untuk sekejap.

• Berbincanglah dengan doktor dan kumpulan sokongan dan kumpulan ibu-dan-bayi di mana anda boleh berkongsi pengalaman dan berbincang dengan lain-lain ibu dan bapa cara menangani tangisan itu.

• Ingatkan diri anda bahawa bayi anda tiada mempunyai sebarang masalah dan tangisan itu tidak akan mencederakan dia. Kadangkala cuma dengan menerima kenyataan yang anda mempunyai bayi yang banyak menangis akan membantu, sebab anda tidak akan membuat diri anda letih dengan mencari-cari sebab-sebab tangisan itu, menyalahkan diri anda, atau melakukan pelbagai rawatan yang tidak berkesan.

• Ingatkan diri anda bahawa ini fasa sementara dan akan berlalu.

Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir merupakan tugas yang berat. Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir yang banyak menangis adalah tugas yang lebih berat lagi. Dapatkan bantuan dan sokongan apabila anda memerlukannya, jangan menunggu sampai masalah itu menjadi teruk. Dan bertenanglah dengan mengingatkan bahawa setiap hari, apabila bayi semakin membesar, dia akan mempelajari cara-cara baru untuk mengkomunikasikan keperluan dia kepada anda. Dengan perlahan, apabila dia mula berbuat demikian, tangisan itu akan berhenti.

No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)