Jika
anda pernah mengalami keguguran, anda tentu menghadapi kesulitan
fizikal dan emosi yang sukar. Ketika ujian air kencing menunjukkan anda
hamil, anda mungkin merasa terlalu gembira dan berkongsi berita baik
dengan kawan rapat serta sanak saudara. Namun, dalam masa yang singkat,
perut anda mula sakit dan faraj anda mula berdarah. Lawatan ke klinik
doktor menunjukkan anda telah keguguran.Walaupun terkejut dan kecewa, anda akhirnya perlu reda dengan apa yang berlaku.
APAKAH itu Keguguran? mengapa ia TERJADI?
Keguguran
ialah kehamilan yang gugur sebelum 20 minggu. Mekanisma persenyawaan
yang menggabungkan sel sperma dan sel telur dan juga proses pembentukkan
janin adalah adalah sangat terperinci dan rumit. Sedikit
ketidaksempurnaan akan menyebabkan kerosakan janin dan ramai
professional perubatan percaya, keguguran adalah satu cara tubuh
berurusan dengan janin yang tidak normal.
Terdapat
dua gejala keguguran iaitu pendarahan dari faraj dan kejang pada perut.
Namun begitu tidak semestinya tanda atau keadaan ini menunjukkan wanita
keguguran kerana terdapat sebilangan besar wanita yang berdarah dan
mengalami sakit perut dapat melalui tempoh kehamilan yang normal dan
melahirkan anak yang sihat.
Sekiranya
anda mengalami pendarahan yang banyak dan tisu seperti daging tiba-tiba
keluar dari faraj, letakkan tisu tersebut di dalam bekas bersih dan
bawalah ia ke klinik doktor seberapa segera untuk memastikan samada tisu
tersebut sebenarnya cebisan tisu janin atau tidak.
Bertindak
segera untuk menghubungi doktor jika mengalami pendarahan atau sakit
perut. Doktor akan memeriksa dan cuba menentukan apa yang terjadi pada
kandungan anda.
siapa yang berisiko ? Apa Punca Keguguran?
Sebahagian
besar keguguran terjadi dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan dan
pada kadar 15 hingga 20 peratus daripada semua kehamilan. Bila terjadi
keguguran, ramai wanita menyalahkan diri sendiri dan cuba mencari alasan
mengapa keguguran terjadi.
Dalam kebanyakan kes, pesakit tidak akan dapat mencari jawapan kerana
punca keguguran biasanya tidak diketahui. Dianggarkan bahawa lebih
separuh daripada semua keguguran disebabkan oleh masalah berkaitan
dengan kromosom janin. Masalah kromosom ini berlaku secara rawak dan
boleh berlaku pada setiap peringkat kejadian janin. Ketika telur dan
sperma bergabung, ribuan langkah perlu berlaku untuk membentuk janin
normal, dan jika masalah berlaku pada jumlah kromosom atau struktur
kromosom, maka keguguran boleh berlaku.
Kajian
menunjukkan sebahagian besar aspek kehidupan seharian tidak
meningkatkan risiko keguguran. Setakat ini tidak ada bukti yang
menunjukan kegiatan seperti bekerja, bersukan, cara pemakanan dan seks
berkait dengan keguguran. Seperti juga masalah emosi, tekanan dan
morning sickness tidak menjurus ke arah berlakunya keguguran.
Dalam hal sebegini, jangan salahkan diri sendiri. Kebanyakan keguguran biasanya berlaku secara kebetulan dan bukan sesuatu anda boleh cegah.
Dalam hal sebegini, jangan salahkan diri sendiri. Kebanyakan keguguran biasanya berlaku secara kebetulan dan bukan sesuatu anda boleh cegah.
Bagaimana diagnosa keguguran dibuat ?
Kadang-kadang
sukar untuk mengetahui adakah kehamilan anda akan mengalami keguguran
atau tidak. Anda dan doktor anda harus memberi perhatian tambahan dalam
tempoh selama beberapa minggu awal kehamilan anda. Kalau masalah seperti
pendarahan dan kejang berterusan, anda mungkin akan diminta untuk
mengurangkan aktiviti fizikal dan mungkin dinasihatkan untuk berehat di
tempat tidur. Dalam tempoh ini adalah penting untuk tidak mengadakan
hubungan seksual. Tindakan pencegahan ini mungkin tidak selalunya
efektif, tetapi ia boleh mengurangkan ketidakselesaan anda dan juga
boleh memberi anda ketenangan fikiran dengan mengetahui bahawa anda
telah cuba melakukan segala yang terdaya untuk mengelak dari keguguran.
Doktor
mungkin akan melakukan pemeriksaan faraj untuk melihat pangkal rahim
bagi mengenal pasti sama ada berlaku sebarang pendarahan aktif atau
terdapat bukaan serviks. Selain itu, doktor akan melakukan US untuk
melihat jantung janin sama ada masih berdegup atau tidak . Sekiranya ada
degupan, ia adalah tanda positif yang janin masih hidup. Jikalau
degupan jantung tidak dikesan, doktor mungkin akan memberikan tempoh
selama 1 minggu lagi untuk membuat ulangan US. Sekiranya masih tiada
pergerakan jantung, kemungkinan besar telah berlaku keguguran.
Andainya
anda tidak ingin menunggu, ada alternatifnya. Doktor mungkin
menyarankan ujian darah kehamilan human chorionic gonadotropin (hCG)
dijalankan. Sekiranya tiada peningkatan memuaskan dalam masa 48 jam,
kemungkinan berlaku keguguran adalah tinggi manakala jika tahap
peningkatan menjadi tinggi dua kali ganda, kemungkinan besar kandungan
anda adalah hidup.
Bagaimana Keguguran dirawat?
Setelah
diagnosa keguguran telah dibuat, rawatan lanjut adalah bergantung
kepada jumlah tisu yang masih ada atau rahim anda sudah bersih
sepenuhnya. Sekiranya sudah dipastikan tisu-tisu janin dan uri telah
tiada, rawatan tidak perlu dilakukan.
Andainya
tisu masih banyak lagi tertinggal, doktor selalunya akan memberi
cadangan untuk menjalani prosedur dilatasi dan kuretaj (D&C) bagi
mengelakkan berlakunya jangkitan kuman. Ia dilakukan di bilik bedah
dalam keadaan di mana anda tidur sepenuhnya dan prosedur ini merupakan
pembedahan yang ringan. Anda boleh pulang ke rumah beberapa jam selepas
prosedur ini dan akan mengalami pendarahan kecil dan sedikit sakit perut
selepas beberapa hari D&C dijalankan, tetapi ia adalah normal.
Selalunya
doktor akan menetapkan temujanji dalam tempoh 1-2 minggu selepas
D&C dijalankan untuk memastikan anda bebas dari sebarang masalah.
Kebanyakkan doktor akan menasihatkan anda berehat selama beberapa bulan
sebelum mencuba sekali lagi untuk hamil. Ini untuk memastikan badan anda
pulih sepenuhnya di samping memberikan masa untuk emosi anda pulih
seperti sediakala.
Dianggarkan
sekitar 90 peratus wanita yang keguguran akan hamil semula. Namun
begitu, terdapat sebilangan kecil yang berkemungkinan untuk mengalami
keguguran lagi, jadi pastikan anda berjumpa doktor dengan serta merta
sekiranya anda hamil lagi.
No comments:
Post a Comment