nuffnang

22 Mar 2012

Kuman Gastroenteritis Yang Jahat!

Perut berasa sakit? Ketahui organisma yang boleh menyebabkan sakit perut.

Gastroenteritis adalah disebabkan oleh kerengsaan dan keradangan saluran gastrousus, yang sering menyebabkan cirit-birit, kekejangan abdomen, loya, muntah, dan demam. Jangkitan perut dan usus ini boleh menular, dan boleh merebak melalui sentuhan dengan orang yang dijangkiti, tabiat kebersihan yang tidak baik, dan melalui objek, makanan atau air yang tercemar. Semua orang boleh dijangkiti gastroenteritis. Namun, ia adalah lebih lazim di kalangan bayi dan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah.

Kuman Gastroenteritis Yang Jahat!

Apa yang menyebabkan gastroenteritis?

Gastroenteritis adalah disebabkan oleh jangkitan pelbagai jenis bakteria dan virus. Agen jangkitan ini boleh didapati dari luar badan seseorang, atau disebabkan oleh keadaan dalaman badan seseorang. Antara jenis-jenis bakteria paling lazim yang menyebabkan jangkitan ini adalah:

  • Escherichia coli (E.coli) – menyebabkan keracunan makanan, penyakit disentri, kejadian cirit-birit semasa berkunjung ke luar negara atau kolitis.
  • Salmonella – boleh menyebabkan demam kepialu atau keracunan makanan bukan jenis tifoid.
  • Shigella – boleh menyebabkan penyakit disentri (keradangan usus besar yang menyebabkan cirit-birit berdarah).
  • Campylobacter – dari daging yang kurang masak dan susu tanpa pasteurisasi.

Sebanyak 30 – 40% daripada kes gastroenteritis di kalangan kanak-kanak yang merebak melalui hubungan rapat di pusat-pusat penjagaan anak dan sekolah-sekolah adalah disebabkan oleh virus-virus seperti Rotavirus, Norovirus, dan Adenovirus. Setiap satu daripada organisma ini mengakibatkan gejala yang sedikit berbeza, tetapi mereka berkongsi satu persamaan: cirit-birit akut yang menyebabkan dehidrasi.

Menurut kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia, penyakit cirit-birit merupakan punca kedua utama kematian di kalangan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah di seluruh dunia dan mengakibatkan sebanyak 1.5 juta kematian kanak-kanak setiap tahun. Tidak seperti jangkitan bakteria yang boleh dirawati dengan antibiotik, jangkitan virus tidak bertindak balas dengan antibiotik dan ini menambahkan lagi perangkaan kadar kematian kanak-kanak di dunia, terutamanya di negara-negara kurang maju.

Ketahui virus-virus anda

Ia adalah penting untuk mengenali jenis jangkitan virus yang menyebabkan anak anda kerap berlari ke tandas supaya tindakan segera boleh diambil untuk mengawal dan mencegah penyebaran jangkitan ini.

  1. Rotavirus

    Rotavirus yang menyerupai roda apabila dilihat melalui mikroskop elektron, merupakan virus yang paling lazim dan boleh membawa maut yang khususnya menjangkiti bayi dan kanak-kanak muda. Gejala-gelaja seperti demam, loya, muntah dan cirit-birit dengan najis berair akan muncul dua hari selepas pendedahan kepada virus ini, dan gejala ini mungkin berlarutan selama lapan hari.

    Virus ini merebak melalui laluan lisan-najis. Kuman-kuman daripada virus ini dapat hidup dalam masa yang agak lama pada permukaan seperti alat permainan atau perabot.

    Kebanyakan kanak-kanak sepatutnya telah dijangkiti rotavirus sebelum mencapai usia 5 tahun, di mana jangkitan pertama merupakan jangkitan yang paling teruk. Ini adalah kerana apabila seseorang kanak-kanak pernah terdedah kepada virus ini, pendedahan yang selanjutnya akan mempunyai kesan yang kurang teruk disebabkan imuniti yang dibina terhadap virus tersebut.

    Vaksin rotavirus telah memainkan peranan yang penting dalam mencegah penyebaran virus ini di kalangan kanak-kanak. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat melaporkan bahawa meskipun jangkitan virus ini masih menjadi masalah kesihatan awam yang penting di seluruh dunia, terdapat pengurangan yang ketara dalam kadar kemasukan hospital dan kematian kanak-kanak berikutan kepada pengenalan vaksin tersebut.

    Dehidrasi yang berpunca daripada cirit-birit boleh dirawati melalui rehidrasi oral. Ini bermakna memberi anak anda lebih banyak cecair untuk diminum dalam bentuk susu atau cecair rehidrasi oral. Kanak-kanak yang telah menerima suntikan vaksin dan diberi susu ibu juga berpeluang baik untuk melawan dengan jangkitan rotavirus.

  2. Adenovirus

    Adenovirus adalah biasa dikaitkan dengan penyakit sistem respiratori atau pernafasan; namun, ia juga mengakibatkan gastroenteritis, konjunktivitis, dan jangkitan pundi kencing. Gejala-gejala jangkitan virus ini merangkumi selesema, radang paru-paru (pneumonia) dan radang saluran pernafasan (bronchitis). Bayi, kanak-kanak muda dan mereka yang mempunyai sistem imun yang terjejas adalah lebih cenderung dipengaruhi oleh kesan-kesan jangkitan ini.

    Seperti Rotavirus, Adenovirus boleh merebak melalui najis-mulut, serta jangkitan secara langsung melalui sentuhan dengan objek dan air yang tercemar. Adenovirus jenis 40 dan 41 khususnya, yang mengakibatkan gastroenteritis di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Jangkitan daripada virus ini biasanya membawa kesan ringan dan tidak memerlukan rawatan aktif, hanya rawatan yang berdasarkan kepada gejala atau komplikasi yang dialami diperlukan. Tiada vaksin dan ubat yang khusus untuk merawati jangkitan jenis virus ini.

  3. Norovirus

    Dahulu dikenali sebagai virus Norwalk-like atau NLV, Norovirus tergolong dalam keluarga virus yang mengakibatkan gastroenteritis. Jangkitan daripada virus ini biasanya berlaku dalam persekitaran yang tertutup atau sesak, seperti di hospital, pasar, atau pusat jagaan orang tua. Jangkitan virus ini berlaku tanpa megira umur, tetapi ia adalah lebih lazim berlaku di kalangan orang dewasa. Gejala-gelaja seperti cirit-birit, sakit perut dan muntah mula berlaku 24-48 jam selepas pendedahan kepada virus ini dan boleh berlanjutan selama beberapa hari.

    Seperti Rotavirus dan Adenovirus, jangkitan daripada Norovirus adalah ringan dan tidak memerlukan terapi, hanya rawatan yang berdasarkan kepada gejala atau komplikasi diperlukan. Tiada vaksin atau ubat yang khusus untuk merawat jenis jangkitan virus ini. Namun, jangkitan virus ini boleh berlaku jikalau sistem imun seseorang adalah tidak cukup kuat untuk melawannya.

Mencegah dan mengawal penyebaran jangkitan: Kaedah penjagaan sendiri

Untuk mengurangkan peluang anak anda menjangkiti gastroenteritis, sentiasa mengamalkan tabiat kebersihan yang baik. Tangan mesti dibersih dengan baik selepas penggunaan tandas, dan sebelum makan atau menyentuh makanan. Bersihkan dan nyahjangkitkan permukaan yang tercemar akibat muntah atau cirit-birit. Cucikan semua pakaian dengan teliti. Pencegahan yang paling baik ialah vaksinasi terhadap virus yang paling lazim – Rotavirus – walaupun ia tidak dapat mencegah jangkitan daripada organisma lain yang telah disebutkan di atas.

Namun, jika anak anda telah dijangkiti virus gastroenteritis, adalah penting untuk memastikan anak anda diganti dengan cecair yang mencukupi. Terdapat pelbagai jenis rehidrasi oral yang boleh didapati di Malaysia. Elakkan daripada memberi anak anda cecair seperti air kosong atau jus epal. Teruskan untuk memberi susu, terutamanya susu ibu. Dapatkan bantuan perubatan yang serta-merta jika anak anda tidak dapat meminum cecair melalui mulut atau mengalami kejadian dehidrasi yang teruk.

1 comment:

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)