|
MENCEGAH SERANGAN Penyakit-penyakit yang biasa menjangkiti kanak kanak termasuk hepatitis B, polio, campak, beguk dan rubela. Mereka berpunca daripada jangkitan virus. Batuk kering, pertusis (batuk kokol), difteria dan tetanus pula berpunca daripada bakteria. Kesemuanya serius kerana mereka merupakan penyakit-penyakit yang boleh menyebabkan kesan kurang upaya jangka panjang atau kematian di kalangan bayi dan anak-anak kecil. Tambahan lagi, tiada rawatan yang berkesan atau rawatan khusus untuk penyakit-penyakit ini. Sehingga kini, ubat berkesan untuk menentang penyakit-penyakit tersebut yang berpunca daripada virus amat berkekurangan. Sekiranya komplikasi timbul, hanya rawatan sokongan yang boleh diberi dan rawatan ini mungkin tidak selesa dan memerlukan kos yang tinggi (seperti rawatan mesin bantuan pernafasan, ubat antivirus, ubat gamma globulin dan ubat anti-sawan). Penyakit-penyakit yang berpunca daripada jangkitan bakteria boleh dirawat dengan antibiotik tetapi ada penykit yang mungkin memerlukan jangkamasa rawatan yang lama (misalnya, 6 bulan untuk merawat batuk kering). Dalam kes pertusis pula, pesakit selalunya tidak menerima rawatan pada peringkat awal yang perlu untuk mengurangkan tahap serius dan tempoh jangkitan. Ada kalanya, rawatan tidak dapat mencegah komplikasi atau masalah serius akibat penyakit (seperti kerosakan jantung atau otak akibat difteria; atau lumpuh otot akibat tetanus). Jangan salah sangka penyakit-penyakit serius seperti ini tidak boleh menjangkiti anak-anak anda atau adalah mudah dirawat. Sebagai ibu bapa, adalah tanggungjawab kita untuk mengambil langkah-langkah untuk mencegah jangkitan penyakit-penyakit ini. Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan supaya ‘menanam cacar’ dan memastikan pelalian dilakukan. Langkah ini adalah alternatif yang lebih bijak, kurang menyakitkan dan lebih murah berbanding dengan rawatan penyakit. Vaksin adalah selamat dan berkesan, walaupun sebilangan kecil kanak-kanak mungkin mengalami tindak balas atau reaksi yang tidak membahayakan. Kebanyakan vaksin diberikan melalui suntikan, tetapi ada juga yang diberi melalui mulut. Vaksin yang diberikan mengandungi organisma mikro yang dilemahkan atau dibunuh, atau sebahagian daripada lapisan luarnya yang terdiri daripada protein. Pelalian ini membolehkan tubuh badan anak anda menghasilkan antibodi yang boleh melindunginya daripada jangkitan jika dia diserang virus atau bakteria itu sekali lagi. Setiap penyakit mempunyai vaksin tersendiri (sila lihat Jadual 2). Walaupun undang-undang tidak mewajibkan ibu bapa memvaksinkan anak-anak, kita seharusnya mengambil iktibar daripada program imunisasi/pelalian kerajaan yang menggalakkan penanaman cacar. Banyak vaksin memerlukan dos disuntik berulangkali untuk mencapai kekebalan atau perlindungan imun yang berkesan. Justeru itu, ibu bapa dinasihatkan supaya mematuhi jadual pelalian yang ditetapkan (sila lihat Jadual 1). Berulangalik ke klinik atau hospital untuk menanam cacar memang menyusahkan, lebih-lebih lagi jika anak anda sudah cerdik dan takut atau meronta-ronta apabila disuntik. Berikut adalah beberapa petua yang dapat membantu anda menjadikan pengalaman tersebut lebih mudah bagi anak anda dan juga anda sendiri. MEMBANTU ANAK ANDA SEMASA SUNTIKAN Jangan sekali-kali cuba menipu anak anda. Beritahu dia awal-awal lagi bahawa dia akan disuntik supaya dia bersedia. Bagaimanapun, anda tidak perlu memberitahunya seminggu sebelum itu, kerana ini boleh menyebabkan dia takut dan resah sepanjang minggu. Beritahu dia pada hari suntikan yang dijadualkan, atau di luar pejabat doktor. Beritahu anak anda bahawa suntikan vaksin yang pertama telah diberi apabila dia dilahirkan. Kanak-kanak biasanya bersikap lebih baik jika mereka tahu apa yang akan berlaku. Beritahu anak anda apa yang akan dilakukan oleh doktor apabila suntikan diberi. Jangan memperdayakan mereka dengan mengatakan suntikan tidak sakit. Sebaliknya, beritahu keadaan sebenar, bahawa suntikan hanya sakit sedikit, tetapi mereka mesti berani menghadapinya untuk menjaga kesihatan. Anda boleh membantu doktor semasa suntikan diberi. Cuba alihkan perhatian anak anda dengan bercakap dengannya, menyanyi bersama atau mengira nombor. Sebelum dia menyedari suntikan dilakukan, segalanya sudah selesai. Puji keberaniannya atau pujuk dia jika dia merasa sakit. PETUNJUK UNTUK IBU BAPA Berbincang dengan ibu-bapa lain yang mempunyai pengalaman membawa anak untuk disuntik vaksin. Ibu-bapa anda, rakan-rakan atau jiran-jiran mungkin boleh memberikan nasihat yang praktikal Jadikan tugas membawa anak ke klinik atau hospital untuk mendapatkan vaksin sebagai satu rutin atau tugas tetap. Letakkan jadual pelalian di dapur atau di tempat yang jelas, dan beritahu suami/isteri anda atau orang lain mengenainya. Mereka mungkin boleh mengingatkan anda jika anda terlupa. Beritahu majikan lebih awal tentang tarikh anda perlu menguruskan suntikan vaksin anak anda. Ambil cuti jika perlu. Jika jadual tugas anda tidak membenarkan anda mengambil cuti, minta bantuan suami/isteri atau saudara mara membawa anak anda ke klinik atau hospital untuk suntikan tersebut. Jangan terlalu bimbang jika anda terlewat sedikit daripada jadual pelalian yang ditetapkan. Ia tidak mengganggu tahap perlindungan imun anak anda atau menyebabkan anak anda terpaksa mengulangi program pelalian dengan dos pertama. Tanam cacar adalah perlindungan terbaik yang dapat anda berikan kepada anak-anak tersayang. Jangan sekali-kali mengabaikannya.
|
No comments:
Post a Comment