nuffnang

15 Feb 2012

Mencegah Pneumokokus!

Lindungi anak anda daripada bahaya penyakit pneumokokal

Oleh Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Pediatrik dan Neonatologi

Badan anda mempunyai sistem pertahanan semula jadi terhadap organisma berbahaya seperti bakteria dan virus. Apabila kuman ini menyerang badan anda, sistem imun anda akan menghasilkan antibodi yang membantu memusnahkannya. Selepas itu apabila anda terdedah kepada jangkitan yang sama, badan anda mengenali puncanya secara automatik dan menghasilkan antibodi yang sama untuk memusnahkannya!

Imunisasi bertindak dengan cara yang sama. Suntikan vaksin mengandungi kandungan virus atau bakteria yang kecil tetapi selamat yang telah dibunuh atau dilemahkan. Ini membantu badan anda belajar mengesan dan menumpaskan jangkitan jika anda diserang sekali lagi. Bagaimanapun, kemungkinan mengalami jangkitan selepas imunisasi adalah amat rendah, dan jika anda dijangkiti juga, jangkitan tersebut biasanya ringan.

Mencegah Pneumokokus!

Penyakit pneumokokal

Penyakit pneumokokal disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae, yang lebih dikenali sebagai pneumokokus. Kuman ini menyerang beberapa bahagian badan, menyebabkan penyakit serius di kalangan kanak-kanak dan dewasa. Pada amnya terdapat dua jenis penyakit pneumokokal, iaitu penyakit invasif dan penyakit tidak invasif.

Penyakit invasif adalah lebih serius dan menyerang organ utama atau darah dan termasuk:

  • Pneumonia – Dialami apabila pneumokokus menyerang paru-paru.
  • Bakteremia – Dialami apabila bakteria merebak dan menjangkiti darah.
  • Meningitis – Keadaan yang sangat serius apabila selaput otak dan saraf tunjang di-jangkiti.

Bakteremia dan meningitis adalah dua penyakit berbahaya yang boleh meragut nyawa dalam masa beberapa jam sahaja, dan bayi dan anak kecil tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk menghidap penyakit ini!

Sebaliknya penyakit bukan invasif berlaku di luar organ utama dan darah.Ini termasuk:

  • Otitis media – Jangkitan telinga tengah.
  • Sinusitis – Radang sinus.

Penyakit ini tidak begitu teruk berbanding bakteremia dan meningitis; namun begitu, ia masih boleh menyebabkan komplikasi jika tidak dikesan dan dirawat pada peringkat awal.

Cegah menerusi imunisasi

Terdapat lebih 90 jenis pneumokokus yang diketahui, dengan 13 jenis yang menyebabkan 80-92% daripada penyakit invasif di kalangan kanak-kanak kecil di seluruh dunia. Imunisasi pneumokokus adalah cara terbaik untuk mencegah penyakit penumokokal invasif.

Vaksin konjugat pneumokokus(PCV), melindungi bayi dan anak kecil daripada penyakit pneumokokal. Kanak-kanak kecil yang berusia di bawah dua tahun menghadapi risiko paling tinggi dijangkiti pneumokokus. Risiko meningkat terutamanya jika anak dijaga di pusat jagaan harian atau pusat asuhan memandangkan jangkitan boleh disebarkan daripada seorang kanak-kanak kepada yang lain menerusi titisan air daripada bersin atau batuk. Manfaat tambahan vaksin ialah ia membasmi bakteria daripada nasofarinks (di belakang tekak dan hidung) justeru mencegah penyebarannya kepada kanak-kanak dan dewasa lain. Ini dikenali sebagai manfaat tidak langsung vaksin, juga dinamakan pelalian kelompok.

Mengimbangi risiko

Imunisasi adalah kaedah utama untuk mencegah pelbagai penyakit, demi menghindari kesakitan, kehilangan upaya dan mengelakkan kematian. Sesetengah ibu bapa bimbang terhadap kesan sampingan yang mungkin disebabkan oleh proses imunisasi tetapi pada hakikatnya imunisasi adalah pertahanan terbaik menentang penyakit, dan manfaatnya jauh mengatasi risiko.

Kesan sampingan yang biasa dialami daripada imunisasi hanyalah kemerahan atau bengkak ditempat suntikan yang akan hilang secara beransur-ansur. Dalam kes yang jarang berlaku, ada yang mungkin mengalami kesan alahan, tetapi ia boleh dirawat dengan berkesan jika diberi perhatian segera.

Manfaat imunisasi tidak boleh dilihat dengan serta-merta; tetapi dengan imunisasi, anda hampir pasti bahawa anak anda tidak akan diserang penyakit pneumokokal, atau terpaksa dirawat di unit rawatan rapi kerana meningitis. Walaupun imunisasi tidak 100% berkesan bagi semua kanak-kanak, adalah jauh lebih baik untuk mendapatkan vaksin daripada tidak mendapatkannya. Ia merupakan perlindungan terbaik menentang penyakit yang boleh membawa maut atau kehilangan upaya.

No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)