Sejujurnya, kita perlu. Menurut Dr Soo Thian Lian, Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), kebanyakan para ibubapa berfikiran sempit tentang kesihatan. Beliau berkata: “Mereka fikir jika seorang kanak-kanak itu tidak sakit bermakna dia sihat. Sebagai pakar kanak-kanak, kami memilih untuk mengambil pendekatan yang lebih holistik tentang kanak-kanak dari sudut kesihatan dan kesejahteraan.” “Inilah sebabnya mengapa MPA sangat prihatin untuk melakukan lebih dari sekadar merawat dan memulihkan kanak-kanak yang sakit. Kami sangat bersungguh dalam mencapai optimisasi kesihatan dengan mempromosi pencegahan kecederaan, gangguan kesihatan dan penyakit yang boleh membawa kematian atau trauma yang berpotensi menjejaskan kehidupan kanakkanak. Satu lagi langkah yang sama penting adalah untuk menggalakkan perkembangan yang seimbang – dari segi intelektual, sosial dan emosi.” Untuk mencapai matlamat ini, MPA memperkenalkan Positive Parenting pada tahun 2000. Dr Soo berkata: “Program ini bertujuan untuk menyediakan informasi, pengetahuan dan nasihat dari pakar kepada ibubapa untuk membantu mereka memberikan penjagaan optimum kepada anak-anak mereka.” Lima Tahun Pertama Kehidupan “Kehamilan dan tahun-tahun pertama kehidupan adalah antara fasa-fasa yang penting dalam kitaran kehidupan… ketika asas-asas untuk kesihatan dan kesejahteraan masa depan sedang dibina.” – The Child Health Promotion Programme, Department of Health, UK Seluruh zaman kanak-kanak adalah penting tetapi perhatian yang lebih perlu diberikan kepada status kesihatan kanak-kanak dibawah umur lima tahun. Menurut Ketua Jabatan Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, Dr Hussain Imam Muhammad Ismail, fokus ini telah mendorong Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjalankan kajian prospektif secara menyeluruh ke atas insiden ngeri dan kematian dalam peringkat umur ini pada tahun 2006. Beliau berkata: “Statistik yang diperoleh menyediakan petunjuk yang penting ke atas status kesihatan kanak-kanak di negara ini. Tambahan pula, memahami corak kematian boleh membantu kita mencegahnya di mana yang mungkin.” Kajian tersebut mendedahkan bahawa 14.9% daripada kanak-kanak yang meninggal dunia telah mati mengejut (contohnya akibat lemas atau terlibat dalam kemalangan kenderaan bermotor). Bakinya 58.5% ada menerima rawatan tetapi 25.1% tidak. Punca yang paling biasa untuk kegagalan mendapatkan rawatan adalah sikap tidak ambil kisah; para penjaga tidak menyedari bahawa kanak-kanak tersebut mengalami penyakit yang serius. “Ini jelas membuktikan betapa pentingnya untuk mendidik ibubapa tentang kesihatan kanak-kanak, terutamanya di kalangan golongan yang kurang bernasib baik. Terdapat pembahagian bandar-luar bandar yang agak ketara. Walaupun dengan peningkatan perkhidmatan kita, sebahagian besar dari populasi masih tidak mendapat manfaat dari usaha ini. Kita perlu meningkatkan tahap kesihatan kanakkanak dengan cara yang lebih membina dan sistematik,” tambah Dr Hussain. Kajian ke atas Kematian Bawah Lima Tahun di Malaysia pada Tahun 2006 PENEMUAN PENTING : - Kadar kematian di kalangan kanak-kanak bawah lima tahun telah menurun dengan berterusan.
- Pada tahun 2006, kadar kematian bagi kanak-kanak dibawah lima tahun, termasuk bayi baru lahir, adalah 7.2 bagi setiap seribu kelahiran hidup.
- Kebanyakan kematian berlaku pada tahun pertama kehidupan.
- Secara keseluruhan, 5 penyebab utama kematian adalah:
- Ketidaksempurnaan pembentukan kongenital, kecacatan dan
keabnormalan kromosom (25.1%) - Sesetengah penyakit berjangkit dan parasitik (18.8%)
- Penyakit berkaitan sistem respiratori (13%)
- Penyakit berkaitan sistem saraf (8.2%)
- Kecederaan, keracunan dan penyebab luaran (7.5%)
| 7 Tunggak Kesihatan Bekas Ketua Pakar Pediatrik, Profesor Datuk Dr Mohd Sham Kasim, berasa gembira dengan penurunan progresif pada kadar kematian tetapi berasa bahawa ada banyak lagi yang perlu dilakukan. “Pada tahun 2004, Malaysia berada pada tahap perkembangan kedua terbaik di dunia. Tetapi, kita tidak boleh berpuas hati dan mesti terus melindungi anak-anak kita, menjaga mereka dengan aktif dan berusaha untuk memelihara kesihatan mereka dengan memberi tumpuan kepada beberapa aspek asas,” beliau berkata. 1. Kehidupan Bayi Baru Lahir Bayi yang baru lahir sangat lemah dan risiko kematian mereka adalah yang paling tinggi pada bulan pertama, di mana kebanyakannya berpunca daripada kelahiran pra-matang, asfiksia kelahiran dan jangkitan. Risiko kesihatan sebegini boleh dikurangkan dengan penjagaan berkualiti ketika hamil, proses bersalin yang selamat dan penjagaan bayi baru lahir dengan teliti yang merangkumi perhatian ke atas pernafasan dan kehangatan, penjagan tali pusat serta kulit yang bersih dan penyusuan susu ibu eksklusif untuk mengelakkan malnutrisi. Tip-tip Permulaan Awal | Pakar Obstetrik dan Ginekologi Profesor Madya Dr Tan Ay Eeng berkata: “Kehidupan seorang kanak-kanak bermula dalam rahim, maka penjagaan perlulah bermula dari saat itu.” Dapatkan kaunseling prenatal dan penjagaan antenatal yang berkala untuk mengetahui apa yang perlu dijangka sepanjang kehamilan dan menghadapinya dengan mudah. - Ambil tambahan asid folik untuk mengurangkan risiko kecacatan tiub saraf (seperti spina bifida) yang boleh menjejaskan otak bayi dan perkembangan saraf tunjang.
- Amalkan cara hidup yang sihat sebelum dan semasa kehamilan. Ianya boleh membawa kepada hasil kehamilan yang lebih baik dan proses bersalin yang lebih cepat. Rujuklah dengan doktor anda sebelum melakukan sebarang senaman.
- Ambil kira umur anda. Rancanglah untuk melengkapkan keluarga anda sebelum umur 35 tahun untuk mengelakkan risiko tinggi komplikasi (seperti keguguran dan kematian bayi dalam kandungan).
- Libatkan bapa bayi sebanyak yang mungkin. Dapatkan pemeriksaan yang berkala dan pergilah bersamanya. Bincangkan dengannya tentang perkembangan bayi anda berdua.
- Elakkan alkohol dan dadah. Berkenaan pengambilan alkohol dan dadah oleh ibu mengandung, walau sedikit sahaja sekalipun sudah dikira banyak untuk bayi.
| 2. Pemakanan Bayi Di Malaysia,kajian seluruh negara pada 2006 menunjukkan bahawa 13.23% kanak-kanak adalah kurang berat, 5.36% terlebih berat manakala 81% adalah normal. Kanak-kanak terbantut pula adalah sebanyak 15.8%. Cara terbaik untuk mewujudkan asas nutrisi yang kukuh adalah dengan menyusukan bayi dengan susu badan (tanpa campuran makanan atau minuman lain) sepanjang 6 bulan pertamanya. Susu ibu adalah makanan yang paling lengkap untuk bayi. Ia mengandungi lipid yang diperlukan untuk perkembangan otak dan antibodi yang melindungi bayi daripada cirit birit dan jangkitan sistem respiratori. Kajian pada tahun 2006 tersebut juga mendedahkan bahawa kebanyakan ibu, terutamanya di kawasan bandar, telah mencuba untuk menyusukan bayi mereka dengan susu badan (94.7% pernah memberi susu badan). Kami harus mempertingkatkan penyusuan ibu dalam masa sejam selepas kelahiran (63.7% pada 2006 berbanding 41% pada 1996) dan penyusuan ibu eksklusif pada 6 bulan pertama (19.3% pada 2006 berbanding 29% pada 1996). Penyusuan ibu perlu diteruskan sepanjang fasa pemakanan tambahan. Para ibu harus mempelajari fasa ini dengan baik, seperti yang dibuktikan oleh kajian pada tahun 2006 yang menunjukkan bahawa hanya 41.5% bayi berumur 6-9 bulan telah menerima pemakanan tambahan pada waktu yang sepatutnya. Pemakanan tambahan hanya patut dimulakan apabila bayi mencapai usia 6 bulan. Pemakanan Bijak untuk Anak Anda | Pakar pemakanan Profesor Madya Dr Norimah A Karim menyatakan bahawa malpemakanan boleh berlaku kepada kanak-kanak dari keluarga yang kaya atau pun miskin. Sama ada mempunyai berat badan normal, terlebih berat atau kurang berat badan, mereka berisiko mengalami kekurangan pemakanan (seperti zat besi, kalsium, iodin dan sebagainya). Ini boleh mengakibatkan masalah kesihatan, malah menjejaskan prestasi mereka di sekolah. Beliau berkata: “Malpemakanan terjadi akibat dari ketidak seimbangan dan kekurangan kepelbagaian makanani dalam diet kanak-kanak tersebut.” Beliau menasihati: “Ibu tidak perlu membeli makanan yang termahal untuk anak anda. Makanan yang diperlukan oleh anak seperti – nasi, buah-buahan dan sayuran, daging, ikan dan ayam, kekacang, susu dan hasil tenusu – biasanya mampu dibeli oleh kebanyakan keluarga. Buatlah pilihan makanan yang bijak dan betul untuk anak. Pupuklah tabiat pemakanan sihat supaya dapat dipraktikkan sepanjang hayatnya.” | 3. Jangkitan Jangan sesekali mengabaikan demam yang dialami bayi atau kanak-kanak. Pastikan doktor anda mengesahkan puncanya dan memberikan rawatan yang sepatutnya kerana ia mungkin menjadi lebih serius. Pertimbangkan cadangan dan nasihat doktor, walaupun ianya mengaitkan prosedur invasif (seperti pengambilan cecair tulang belakang sekiranya disyaki menghidapi penyakit meningitis). Jangan menegaskan untuk diberi antibiotik jika doktor anda tidak menyarankannya. Berhati-hati dengan penyakit radang paru-paru, penyebab terbesar kematian dibawah umur lima tahun; pengetahuan tentang faktor-faktor tinggi risiko (seperti malnutrisi dan pencemaran udara dalam rumah) adalah penting untuk pencegahan, disamping melakukan vaksinasi. Penyakit berkaitan cirit birit adalah penyebab utama penyakit dan kematian di kalangan kanak-kanak di negara membangun. Penyusuan ibu eksklusif membantu mencegah ciritbirit di kalangan bayi. 4. Immunisasi Kebanyakan bayi di Malaysia menerima imunisasi wajib yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Pastikan vaksin (seperti untuk penyakit tuberkulosis, hepatitis B, campak, beguk, rubella, polio dan pertussis) adalah antara disahkan selamat atau hanya membawa risiko paling minimum, tidak seperti yang anda telah dapati dari media (contohnya berkaitan MMR, polio dan pertussis). Manfaat yang lebih besar juga boleh diperoleh sekiranya para ibu mendapatkan imunisasi sebelum mencuba untuk mendapatkan anak; ini biasanya membantu melindungi bayi yang baru lahir dari sesetengah jangkitan neonatal (seperti Hepatitis B dan tetanus neonatal). Ada juga peranan yang dimainkan oleh vaksin opsyen lain bagi kanak-kanak (contohnya untuk menentang pneumokokus, rotavirus atau cacar air) dan patut dipertimbangkan untuk meningkatkan perlindungan. Tiada vaksin yang 100% berkesan. 5. Kesihatan Pergigian Kanak-kanak perlu diajar supaya membersihkan gigi mereka sejak usia muda tetapi ketika kecil mereka memerlukan bantuan dan pengawasan. Diet yang baik, rendah gula dan kebersihan pergigian akan merendahkan risiko gigi rosak. Pemeriksaan setiap tahun adalah penting. Untuk masalah pergigian dan periodontal, rujuklah dengan doktor gigi atau pakar periodontal. 6. Pencegahan Kecederaan Kecederaan dan keracunan adalah punca nombor satu yang membawa masuk kanak-kanak ke dalam hospital-hospital kerajaan dan penyebab utama kematian di kalangan kanak-kanak di Malaysia. Kebanyakan trauma adalah disebabkan patah, kecederaan intrakranial (dalam tengkorak), melecur dan kakisan. Kemalangan motor dan jalan raya memainkan peranan yang penting. Ramai juga kanak-kanak yang meninggal dunia akibat lemas. Di antara kanak-kanak yang berusia kurang setahun, pembunuhan dan trauma lain menyumbang kepada 0.7% kematian pada 2004. Walaupun bilangannya kecil, ianya masih tragik. Ibubapa perlu memberi lebih perhatian kepada kecederaan pada kanak-kanak dan mendapatkan nasihat pakar pediatrik tentang cara-cara mengelakkannya. Kanak-kanak juga memerlukan pengawasan ketika melayari internet. 7. Perkembangan, Bermain Dan Belajar Ibubapa perlulah mengetahui apa yang normal pada perkembangan kanak-kanak dan mempelajari bagaimana caranya untuk merangsang kanak-kanak pada usia yang berbeza. Kepentingan bermain dalam perkembangan kanak-kanak tidak boleh diambil ringan. Bermain perlu diselaraskan dengan belajar dan bukan menggantikannya terus. Apabila ibubapa terlalu obses dengan pencapaian akademik, anak-anak mereka akan berasa lebih tertekan. Kanak-kanak perlulah digalakkan untuk memikirkan sebab, menganalisa, berbincang dan menjadi lebih kreatif. Kesemua kebolehan ini akan mempertingkatkan perkembangan pemikiran mereka. Sekadar menghafal untuk lulus dalam peperiksaan sahaja tidak akan dapat membantu mereka pada masa akan datang. Tiada apa yang dapat menggantikan senaman yang kerap, udara yang segar dan interaksi sosial yang berterusan. Penjagaan Awal Kanak- Kanak akan Membentuk Kanak-Kanak yang Baik Secara Menyeluruh | Puan Norsheila Abdullah, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia percaya bahawa asuhan tidak boleh diperoleh dari sumber luar. Beliau berkata: “Atas sebab komitmen terhadap kerjaya, ianya mungkin perlu bagi ibubapa untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat penjagaan tetapi mereka mestilah selalu berhubung dengan pusatpusat tersebut untuk memastikan anak-anak mereka mendapat penjagaan yang sebaiknya.” Beliau mengingatkan ibubapa supaya memilih pusat penjagaan yang berdaftar dan mempunyai kakitangan terlatih untuk menjalankan program-program yang telah dibentuk mengikut umur kanak-kanak. | Menjadi Ibubapa Yang Lebih Baik Penjagaan kanak-kanak bermula dengan hubungan yang baik di antara anak-anak dan ibubapa dan amalan asuhan yang baik akan menyumbang kepada pembentukan fizikal, emosi dan sosial yang optimal. Demikianlah ujar Pakar Pediatrik Datuk Dr Zulkifli Ismail, mantan presiden MPA dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Positive Parenting. Beliau menjelaskan: “Pendidikan asuhan mungkin agak asing bagi kebanyakan ibubapa tetapi ianya perlu untuk membina pengetahuan dan kemahiran untuk membesarkan anak-anak. Terdapat banyak cara untuk ibubapa mempelajarinya. Mereka boleh mendapatkan maklumat dari Positive Parenting dan program-program pakar yang lain. Laman-laman web oleh organisasi perubatan dan kesihatan bersekutu adalah sumber yang baik juga; kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat melaporkan bahawa 50% daripada para responden menggunakan internet untuk mendapatkan informasi perubatan dan 30% lagi untuk mengetahui tentang penyakit-penyakit akut tertentu atau masalah kesihatan yang kronik. “Satu lagi sumber untuk pendidikan asuhan adalah dengan membincangkan perkara tersebut dengan doktor anak-anak mereka. Bincangkan tentang masalah pencegahan. Ini bukan saja merangkumi langkah-langkah pencegahan tetapi juga cara mengendalikan sebarang masalah yang mungkin dihadapi kanak-kanak. Informasi perlu dikongsi dengan kanak-kanak sekiranya mereka sudah boleh memahami apa yang diperkatakan.” Perkongsian tiga-penjuru (doktor, ibubapa dan anak) telah terbukti berkesan dalam meningkatkan pencegahan dan hasil rawatan. Ini adalah kesedaran yang telah mendorong lebih ramai pakar pediatrik hari ini untuk bukan saja mendengar apa yang dikatakan ibubapa tetapi juga cerita dari anak itu sendiri tentang apa yang dialaminya. Datuk Dr Zulkifli mengingatkan semua ibubapa untuk menjadikan anakanak sebagai keutamaan dalam kehidupan mereka. Beliau berkata: “Ianya bukan tentang menjadualkan anak anda ke dalam rutin harian tetapi sentiasa bersedia untuk memberikan kasih sayang yang diperlukan oleh anak anda.” |
No comments:
Post a Comment