nuffnang

21 Dec 2011

Menguruskan Anak Yang Sedang Membesar

Sepanjang beberapa tahun pertama hayat si manja, anda bukan sahaja sibuk
menguruskan makan minumnya, tetapi juga mengawasi tatalakunya.
Anda boleh menguruskan tingkah laku si manja tanpa menjejaskan perkembangannya.

Oleh Cik Cheong Sau Kuan, Ahli Psikologi Klinikal

Kanak-kanak peka dengan keadaan di sekeliling mereka dan tidak dapat menahan keinginan untuk meneroka dan bergerak ke sana sini, terutama sekali pada tahun-tahun awal hayat mereka. Justeru, anda mungkin ingin membatasi pergerakan si manja anda disebabkan keselamatan, disiplin atau mungkin juga kerana kurang kesabaran. Namun, anda tentu tidak mahu menjejaskan perkembangannya sematamata disebabkan kekangan yang anda kenakan. Berikut beberapa cara bagaimana anda boleh menguruskan tingkah laku si manja yang sedang membesar.

1. Tetapkan Jangkaan Yang Munasabah
Anda perlu fikirkan kemajuan dan perkembangan si manja bila menguruskan tingkah lakunya. Ada kalanya ibu bapa lupa anak-anak mereka hanya boleh melakukan perkara tertentu apabila mencapai usia tertentu. Lazimnya, bayi berusia lima bulan sudah tentu tidak boleh diharap untuk

mengikut arahan tetapi kita boleh membentuk kelakuan tertentu seperti mengaturkan jadual tidurnya. Tambahan pula, kanak-kanak juga peka terhadap perubahan perasaan. Maka, sebelum mereka mula berbahasa, anda boleh menggunakan perasaan untuk membentuk perangainya. Jika si manja melakukan sesuatu yang berbahaya atau salah, katakan “Tidak” secara tegas dengan isyarat badan yang sesuai. Asuhan yang lebih tegas untuk membentuk tabiatnya boleh mula apabila si manja mencapai usia 18 bulan.

2. Imbangi Kasih Sayang dan Batasan
Secara kasar, kedua-duanya nampak bertentangan tetapi sebenarnya amat berkaitan antara satu sama lain. Kanak-kanak perlu tahu bahawa kasih sayang ibu bapa tanpa syarat tetapi ada batasannya. Kita tidak boleh menunjukkan kasih sayang dengan mengikut segala kemahuan si manja. Sikap kuku besi juga tidak sesuai dalam pengurusan tingkah laku anak-anak. Kita perlu tegas dan menetapkan peraturan yang munasabah dan padahnya jika mereka tidak berkelakuan baik, tetapi jangan sama sekali lupa untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak.

3. Kerja, Kerja, Tanpa Bermain?
Bermain adalah masa untuk kanak-kanak belajar, mengembangkan kreativiti, fantasi dan memainkan peranan. Permainan simbolik (seperti ‘masak-masak’ atau ‘pondokpondok’) boleh membantu mereka memahami dunia dengan lebih baik lagi. Anda mungkin rasa tidak selesa dengan permainan seperti ini tetapi ia sebenarnya adalah sebahagian daripada proses membesar dan mengasah bakat dan kreativiti mereka. Jangan tegur kesilapan bila mereka sedang bermain kerana tindakan sedemikian boleh membatasi imaginasi mereka dan membuat mereka takut untuk bermain. Kerja juga penting untuk perkembangan mental anak-anak. Dengan memberi sedikit kerja yang mudah tetapi bermakna seperti menyimpan permainannya akan mengajar si manja untuk bertanggungjawab, berdikari dan membina harga diri. Si manja juga akan merasa berguna di kalangan orang dewasa. Jangan lupa untuk memuji si manja setelah tugas mereka siap. Ini menceriakan mereka dan membuat mereka rasa bangga.

4. Mengapa? Apa? Bagaimana?
Kanak-kanak berusia empat tahun ke atas biasanya tidak putus-putus bertanya dan menyoal tentang keadaan di sekeliling mereka. Ini biasanya menyebabkan ibu bapa hilang kesabaran dan menepikan. Pelbagai soalan yang bertalu-talu diajukan. Namun, anda boleh menggalakkan mereka berdikari dan menyelesaikan masalah dengan membimbing mereka, bukan menyempurnakan atau menjawab segala persoalan untuk mereka. Cari jawapan bersama dengan membuka kamus, membawa mereka ke perpustakaan atau melayari laman web!

Cari Masa untuk Berehat!

Menguruskan anak-anak kecil memang memenatkan. Ingatlah, anda juga perlu berehat. Jika anda suri rumah sepenuh masa, lelapkan mata seketika bila si manja tidur. Jika boleh, mintalah bantuan saudara mara yang anda percayai untuk menjaga si manja beberapa jam seminggu supaya anda boleh berehat atau melakukan aktiviti yang anda ingini. Dengan cara ini, anda akan merasa kurang tertekan dan lebih gembira.

No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)