nuffnang

23 Dec 2011

Menghadapi Selsema Dan Sakit Tekak

Memang lazim kanak-kanak dalam usia pra sekolah jatuh sakit beberapa kali setahun. Dari aspek positif, serangan penyakitpenyakit ini merangsangkan tubuh badan mereka untuk membina antibodi dan daya ketahanan perlindungan imun semulajadi untuk menentang jangkitan yang sama pada masa hadapan.

Bagaimanapun, anda masih perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, khususnya jangkitan penyakit biasa seperti selsema dan sakit tekak. Kebanyakan daripada penyakit penyakit ini boleh dirawat di rumah. Walaubagaimanapun jika keadaan anakanak anda bertambah buruk, mereka memerlukan rawatan doktor.


Selsema
Anak-anak dalam usia pra-sekolah mudah mendapat jangkitan saluran pernafasan, yang biasanya dipanggil selsema. Walaupun orang dewasa juga boleh mendapat selsema, kanak-kanak lebih kerap mendapat jangkitan penyakit ini dan boleh menjadi lebih serius. Kanak-kanak mungkin mengalaminya lima hingga lapan kali setahun (atau lebih) sehingga mereka dapat membina antibodi dan daya pertahanan sistem imun yang secukupnya untuk menentang jangkitan penyakit selsema berulang; pada biasanya menjelang usia enam tahun.

Virus selsema yang berlainan membawa gejala-gejala yang berbeza. Gejala penyakit biasanya termasuk demam, pening kepala, batuk, sakit tekak, hidung berair dan sengal otot. Demam mungkin berlarutan sehingga tiga hari, hidung berair dan sakit tekak sehingga sepuluh hari dan batuk sehingga tiga minggu.

Sejak kecil kita telah diasuh supaya jangan bermain dalam hujan, kerana takut mendapat selsema. Tanggapan ini tidak tepat, kerana kanak-kanak tidak mendapat demam selsema kerana berdiri dalam hujan, bernafas dalam udara sejuk atau kekurangan tidur (walaupun ini boleh merendahkan pertahanan badan dan meningkatan kecenderungan menghadapi jangkitan). Sebaliknya, virus selsema biasanya disebarkan melalui sentuhan tangan, bersin dan batuk.

Justeru, jangkitan selsema boleh dikurangkan jika tadika atau nurseri menjaga kebersihan dan mengenakan peraturan kesihatan yang ketat dengan tidak membenarkan kanak-kanak yang sakit datang ke sekolah. Sebagai ibu-bapa, kita perlu mengasuh anakanak kita supaya kerap mencuci tangan. Di samping itu, jangan galakkan mereka berkongsi cawan, gelas, sudu, garpu atau pinggan, kertas tisu dan tuala dengan rakan-rakan sekelas mereka.

Apabila anak anda dijangkiti selsema, pastikan dia mendapat rehat secukupnya dan biarkan sistem imun bertindak melawan jangkitan, kerana sehingga kini masih tiada sebarang rawatan atau ubat yang dapat mempercepatkan pemulihan. Bawalah dia berjumpa doktor jika selsema berlarutan lebih seminggu atau jika anak anda hilang selera makan, muntah-muntah, sakit perut, sentiasa rengsa, sering mengantuk, sakit kepala teruk, sering menangis, sukar menelan, sakit tekak, sukar bernafas atau sakit telinga.

Sakit Tekak
Sakit tekak yang berpunca daripada bakteria Streptokokus biasanya menyebabkan kesakitan apabila menelan, demam, sakit kepala, sakit perut, tonsil dan kelenjar limfa bengkak. Bahagian belakang tekak akan menjadi merah dan bertompok-tompok putih.

Anda boleh membantu anak-anak anda mengelakkan penyakit sakit tekak dengan mengasuh mereka supaya tidak berkongsi sudu, garpu, tisu, sapu tangan atau tuala dengan kanak-kanak lain. Bagaimanapun, kanak-kanak yang mendapat sakit tekak perlu dirawat dengan betul, kerana mereka boleh menghadapi risiko komplikasi demam reumatik, keadaan yang berbahaya dan boleh menyebabkan penyakit jantung reumatik.

Pengesahan diagnosis penyakit sakit tekak dilakukan dengan mengambil cecair dari belakang tekak dengan secebis kapas steril. Rawatan untuk sakit tekak biasanya menggunakan penisilin atau antibiotik lain. Anda boleh menghantar anak anda ke tadika semula selepas dia mengambil ubat selama sekurang-kurangnya dua puluh empat jam dan tidak demam lagi.

No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)