nuffnang

21 Dec 2011

Miliki Kulit Sihat Sepanjang Kehamilan

Oleh Prof Madya Dr Tan Ay Eeng, Pakar Obstetrik & Ginekologi

Sepanjang tempoh kehamilan, sebahagian wanita kelihatan begitu berseri-seri manakala yang lainnya pula mengalami masalah kulit. Walaupun ia sukar diatasi, ia sebenarnya masalah yang biasa dan tidak membimbangkan.

Perubahan hormon yang berlaku semasa hamil akan menimbulkan masalah kepada kulit anda. Di sini kami senaraikan beberapa masalah kulit yang biasa dialami dan bagaimana anda boleh mengatasinya:

Tompok hitam di dahi, pipi dan leher
Juga dikenali sebagai Melasma atau Chloasma dan biasanya dialami oleh wanita yang berkulit gelap. Ianya akan bertambah teruk sekiranya anda lama berjemur dan terdedah pada cahaya matahari atau sinaran ultraungu (UV).

Penyelesaian: Elakkan daripada terdedah kepada cahaya matahari. Pakai krim penghadang cahaya matahari dengan SPF 15 ke atas apabila berada di
luar rumah.


Bengkak di muka
Berlaku pada tempoh 3 bulan terakhir kehamilan, sesetengah wanita akan mengalami bengkak pada kelopak mata dan muka disebabkan penakungan cecair.

Penyelesaian: Bengkak pada muka akan hilang apabila tiba masanya. Namun, sekiranya ia disertai dengan penambahan berat badan yang mendadak, segera berjumpa dengan doktor. Ia mungkin kerana terdapatnya penakungan cecair berlebihan yang disebabkan oleh tekanan darah tinggi semasa hamil.

Sekelompok kecil kapilari pecah di muka dan dada
Sepanjang kehamilan, peredaran darah di seluruh tubuh meningkat dan ini memberikan tekanan kepada kapilari. Maka, wujudlah jaluran labah-labah saluran darah di sekitar kulit.

Penyelesaian: Elakkan muka dan dada anda daripada terdedah kepada kesejukan atau kepanasan melampau kerana ia boleh lebih memburukkan masalah anda.

Satu jalur hitam di bahagian tengah perut
Linea nigra selalunya timbul pada trimester kedua kehamilan dan ia disebabkan oleh pigmentasi di bahagian tengah abdomen. Ia terjadi apabila berlakunya peningkatan penghasilan hormon rangsangan melanosit.

Penyelesaian: Ia akan pudar beberapa minggu selepas bersalin.

Rasa gatal pada abdomen
Apabila perut anda semakin membesar, kulit anda akan meregang dan menjadi nipis. Kulit juga mudah kering. Kegatalan biasanya akan hilang selepas bersalin.

Penyelesaian: Guna krim pelembap untuk menghilangkan rasa ketidakselesaan. Juga elak daripada terdedah kepada panas keterlaluan kerana anda akan berasa lebih gatal apabila berada di tempat panas. Jika rasa gatal menjadi semakin teruk, doktor akan beri rawatan atau terapi sinaran ultraungu.

Ruam panas
Tindak balas hormon pada kelenjar peluh di seluruh badan menyebabkan wanita lebih banyak berpeluh semasa hamil. Justeru, ruam panas adalah masalah biasa yang dialami oleh wanita mengandung.

Penyelesaian: Sapukan bedak biasa atau bedak tepung jagung selepas mandi untuk mengurangkan rasa panas pada ruam. Elakkan mandi dengan air yang terlalu panas dan pastikan kulit sentiasa sejuk dan kering sepanjang masa.

Tahi lalat dan bintik-bintik
Anda mungkin perasan terdapatnya tahi lalat dan bintik-bintik pada kulit anda. Tahi lalat yang timbul semasa hamil biasanya tiada kaitan dengan barah kulit.

Penyelesaian: Berjumpa dengan doktor sekiranya terlalu banyak tahi lalat yang timbul dan terdapat perubahan saiz dan rupa padanya.

Urat darah kebiru-biruan di kaki
Vena varikos terjadi apabila saluran darah membesar kerana berlakunya peningkatan aliran darah kepada bayi. Walaupun tidak serius, ia boleh menyebabkan rasa tidak selesa dan kesakitan.

Penyelesaian: Elakkan berdiri lama sangat. Sentiasa bersenam atau gunakan sarung kaki yang mampat untuk melancarkan aliran darah di kaki anda.


No comments:

Post a Comment

LINKWITHIN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nera Af9 - Hatimu Milikku (lagu Baru)