Corak tidur bayi akan berubah apabila membesar. Apabila baru dilahirkan, bayi memerlukan kira-kira 15 hingga 18 jam tidur setiap hari. Ini adalah sebab kenapa dia mudah tertidur, terutamanya setelah disusukan. Namun, bayi akan terjaga dalam 3-4 jam kemudian untuk menyusu sekali lagi. Dia mudah lapar disebabkan kapasiti perutnya yang kecil. Selepas bulan ketiga anda akan dapati bahawa bayi tidur kurang daripada sebelumnya. Jangan bimbang kerana bayi telah membesar dan menjadi lebih peka kepada persekitarannya. Jadi, jika dia tidak mengantuk dan ingin memerhati dunia sekelilingnya, biarkan sahaja. Banyak yang mahu dipelajarinya dan anda pasti juga mahu bayi anda membesar menjadi kanak-kanak yang pintar. Apabila bayi mencapai umur 8 bulan dan ke atas, dia biasanya kurang terjaga pada waktu malam. Dia tidak perlu diberi susu dengan kerap lagi di tengah malam. Walau bagaimanapun, bayi masih tetap bayi dan, adakalanya, dia akan terbangun pada waktu malam dan menangis. Pastikan apa yang dia mahu atau perlukan dan, dengan kasih-sayang, cuba memujuknya supaya tidur semula. |
No comments:
Post a Comment